Anak-anak dilahirkan dengan sifat semulajadi yang membezakan setiap seorang daripada mereka. Kadang-kadang apabila kita membanding-bandingkan mereka, secara tidak sengaja kita menggunakan label yang ‘negatif’ sebagai diskripsi diri mereka contohnya malas, kedekut, lembap, lembik, serabut, cemerkap, degil, buas dan bermacam-macam lagi kosa kata negatif yang sudah sebati dalam masyarakat.
Adakalanya kita menggunakan label negatif ini dengan tujuan untuk memotivasikan anak supaya anak berubah. Ini adalah kaedah yang salah.
Berikut perkongsian dari Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK), Puan Noor Afidah Abu Bakar
“A child will behave better when the child feels better”.
Seorang anak akan berkelakuan baik jika dia merasa senang dengan dirinya dan bukannya dengan merasakan dirinya tidak berguna.
Kepercayaan dan konsep diri seorang anak terbentuk sejak anak berusia lingkungan 5 tahun lagi. Jika label negatif ini diberikan oleh individu yang terdekat dan dipercayai oleh anak, anak akan percaya dengan label tersebut dan akan merasakan diri tidak mempunyai harapan untuk berubah. Berpandukan label-label ini, anak akan percaya apa yang diperkatakan tentang dirinya.
“Itulah saya!”
Lihatlah pembawaan anak dari kaca mata yang positif. Gunakanlah label yang positif untuk menerangkan tentang anak tersebut apabila berada di hadapan anak dan apabila menceritakan perihal anak kepada orang lain di hadapan anak. Ini bukanlah bermakna anda perlu bercerita berlebih-lebihan tentang anak sehingga membosankan orang lain.
‘Be realistic’.
TUKARKAN LABEL:
1) BUAS KEPADA BERTENAGA
Semua kanak-kanak mempunyai banyak tenaga. Malah kita perlu memupuk keupayaan fizikal anak sehingga boleh mencapai tahap yang maksima kerana perkembangan fizikal adalah penting untuk perkembangan-perkembangan yang lain.
Walau bagaimanapun sesetengah anak mempunyai tenaga yang lebih berbanding anak yang lain. Mereka dilahirkan dengan keupayaan fizikal yang berbeza dan luar biasa. Bagi anak yang sebegini, ibubapa perlu membantu anak menyalurkan tenaganya melalui saluran yang betul.
Jika anak suka memanjat, bawalah dia ke taman permainan atau pusat rekreasi yang sesuai. Tahukah anda semua kanak-kanak mempunyai kecenderungan fizikal untuk memanjat, berguling, melompat, dan berlari? Itu sifat yang normal pada kanak-kanak. Jika kecenderungan ini tidak dibimbing dengan betul, sudah tentulah dia melompat atas sofa rumah atau memanjat gril pintu rumah.
Marah atau menengking tidak akan menyelesaikan masalah tersebut. Makin dihalang makin dibuatnya. Ibubapa yang bijak dan kreatif tahu bagaimana mempositifkan setiap cabaran dan situasi supaya dapat dimanfaatkan oleh anak. Ibubapa yang bijak akan melengkapkan diri dengan ilmu perkembangan kanak-kanak kerana mereka ingin memahami kenapa tingkah laku anak mereka sedemikian.
2) SUKA BERKHAYAL KEPADA KREATIF
Keperluan yang penting bagi anak yang suka berkhayal adalah pensil, kertas, blok binaan, berus, warna, kertas lukisan, dan alat muzik.
Mereka selalunya memiliki kecerdasan bahasa atau linguistik, kecerdasan visual atau artistik, atau kecerdasan muzik. Kenalpasti apakah yang mengisi khalayan mereka dan beri anak-anak ini peluang untuk meluahkannya melalui saluran kreativiti. Beri anak peluang untuk meluahkan apa yang dikhayalkan. Mungkin mereka memikirkan satu inovasi atau falsafah yang boleh mengubah dunia satu hari nanti.
Apa yang penting adalah memastikan masa yang diambil untuk anak berkhayal tidak berlanjutan sehingga mengabaikan rutin harian yang perlu dilunaskan. Biarlah khayalan itu ada kandungan dan batasannya.
Kenalpasti potensi anak melalui tingkah laku anak yang mungkin tidak menyenangkan kita. Lihatlah potensi itu sebagai satu kelebihan anak yang harus dipupuk. Jika kita mencari dan melihat yang positif, maka positiflah yang akan kita jumpa sebaliknya jika ia dilihat sebagai negatif, kita akan gagal untuk menyaring potensi anak.
3) DEGIL KEPADA TEGAS (ASSERTIVE)
Satu sifat penting yang perlu ada pada anak-anak kita adalah ‘assertive’. Anak yang ‘assertive’ adalah anak yang teguh mempertahankan pendiriannya dan tidak mudah dipermain-mainkan oleh orang lain.
Anak yang kita labelkan sebagai degil merupakan seorang yang kental apabila berhadapan dengan cabaran dan mempunyai percaya diri yang tinggi.
Bagi anak yang sebegini, peraturan memainkan peranan yang sangat besar untuk memastikan mereka degil bertempat. Ibubapa tidak boleh menjadi permisif iaitu mengizinkan apa saja yang ingin dilakukan anak. Batasan perlu diwujudkan untuk memastikan mereka selamat dari segi fizikal dan mempunyai pemikiran dan amalan yang bersesuaian dengan nilai dan budaya. Tanpa peraturan, anak ini boleh menjadi degil yang biadap dan tidak kena tempat.
Pemikiran mereka harus diasah dan dipupuk supaya mereka berupaya menjadi seorang yang tegas dengan prinsip yang dipegang.
Anak yang ‘assertive’ ini perlu dipuji dan sifat mereka harus digalakkan lagi kerana itulah diri mereka.
Beri mereka peluang untuk membuat keputusan kerana peluang yang sebegini akan membantu memperkayakan proses pemikiran mereka.
Bagi anak yang sering berbeza pendapat dengan kita terutamanya yang sudah remaja, itu adalah perkembangan yang normal kerana peringkat pemikiran mereka melangkah ke tahap ‘Formal operational stage’ dari ‘Concrete operational stage’. Mereka berupaya untuk menganalisa dan mengamati sesuatu yang abstrak.
Jika mereka ‘assertive’, bekalkan mereka dengan adab kiranya tidak bersetuju dengan sesuatu pendapat dan bimbinglah mereka dengan adab untuk berdebat secara berhikmah.
Anak-anak sebegini perlu dilatih untuk mempunyai empati yang tinggi supaya dapat menjadi seorang individu yang mempertahankan hak dan maruah oleh lain yang ditindas dalam masyarakat.
4) KEDEKUT KEPADA BERJIMAT-CERMAT
Usah terlampau ringan mulut melabelkan anak sebagai seorang yang kedekut jika amalan berbelanja anak tidak sama seperti diri kita. Mungkin anak mempunyai tafsiran yang berbeza tentang berbelanja dan berkongsi. Ingatlah anak-anak bukan kita. Ramai kanak-kanak yang suka menabung walaupun tanpa disuruh oleh ibubapa. Sifat itu seakan-akan lahir dengan sendirinya dalam diri anak. Inilah yang dinamakan pembawaan. Mereka lahir dengan sifat sebegitu walaupun ayah dan ibu adalah dari kalangan mereka yang suka berbelanja tanpa batasan. Mungkin juga anak belajar dari ibubapa dan bertekad mahu mengamalkan sesuatu yang berbeza.
Individu yang berjimat cermat sifatnya tidak membazir. Dia berbelanja untuk keperluan dan bukannya kemahuan semata-mata. Dia berjaya mengekang keinginan untuk memiliki sesuatu dengan ‘delayed gratification’. Dia sabar menunggu ganjaran.
Latihlah anak-anak ini untuk memberi dan menyumbang kepada mereka yang memerlukan. Latih mereka membantu dengan apa saja kelebihan yang dimiliki.
Melabel mereka dengan label ‘kedekut’ hanyalah satu penghinaan buat anak ini kerana mereka mempunyai agenda mereka yang tersendiri. Cuba fahami agenda mereka walaupun ia mungkin bertentangan dengan agenda kita. Ada pelbagai sebab manusia berjimat cermat.
5) PEMALU KEPADA BERHATI-HATI
Jika dilihat pada otak mereka, anak yang pemalu mempunyai aktiviti yang lebih pada otak kanan mereka. Mereka lebih cenderung kepada aspek kreativiti dan aestetik. Mereka mengambil masa untuk menyesuaikan diri, tidak selesa dalam situasi yang baru dan selalunya sangat sensitif. Mereka berbeza daripada anak-anak yang mudah berkawan dan sesuaikan diri. Mungkin mereka bukan ‘ekstrovert’ seperti ibubapa, namun itu tidaklah bermakna mereka tidak berupaya untuk keluar menyumbang dalam masyarakat. Terimalah diri mereka seadanya.
Ibubapa perlu mengingatkan diri sendiri bahawa anak-anak ini adalah pemerhati yang sangat baik. Itu kelebihan mereka. Anak-anak ini mendekati orang lain dan menyesuaikan diri dengan sesuatu situasi dengan lebih berhati-hati. Mereka tidak terburu-buru dalam mengambil keputusan. Itu juga adalah satu kelebihan. Anak memerlukan peluang untuk melatih diri sendiri untuk lebih ke hadapan. Ramai anak yang pemalu dan tidak banyak bercakap tetapi mereka berupaya berada di atas pentas apabila perlu tanpa sebarang ketakutan.
Mereka memerlukan kaedah latihan yang berbeza. Ibubapa haruslah kreatif dan tidak memaksa mereka untuk menjadi seperti anak yang lain. Paksaan hanya akan meletihkan mereka dan membuatkan mereka berputus asa kerana merasakan diri gagal. Dengan memberi penekanan kepada kelebihan anak, anak akan lebih yakin dengan diri sendiri.
6) CEREWET KEPADA MEMPUNYAI CITARASA
Setiap individu mempunyai citarasa yang berbeza-beza. Kita tidak boleh memaksa seseorang untuk menyukai sesuatu yang kita suka. Anak-anak yang cerewet dalam memilih sesuatu adalah anak yang mempunyai citarasa dan gaya yang tersendiri. Mereka mungkin lebih kreatif atau menilai sesuatu dari kaca mata yang berbeza daripada kita. Mungkin juga cara berfikir mereka dan persepsi mereka berbeza. Gaya pembelajaran mereka juga mungkin berbeza daripada orang lain. Perbezaan ini tidaklah menjadikan anak itu anak yang tidak baik. Fahami pemikiran anak tersebut dengan banyak bersoal jawab dan berinteraksi dengan anak.
Jika perspektif mereka cuba untuk difahami, dan berlakunya toleransi dua hala, anak akan menjadi lebih terbuka untuk menerima pilihan dari perspektif orang lain. Anak yang cerewet tentang pemakanan perlu dilatih dengan adab supaya bersyukur dengan rezeki yang ada. Dengan itu walaupun makanan itu bukannya citarasa anak, dia tetap menjamahnya kerana perspektifmya telah berubah.
Anak yang cerewet ini selalunya sukar untuk menjadi seorang pengikut atau ‘follower’ secara membabi buta. Mereka tidak ada perasaan FOMO (Fear of Missing Out) atau takut ketinggalan berbanding orang lain kerana citarasa mereka berbeza. Lihatlah sifat ini sebagai satu kelebihan pada diri anak.
KESIMPULANNYA
Ibubapa perlu positif dan kreatif dalam menilai sifat semulajadi anak. Lebih mudah untuk anak membina jati diri dan keyakinan diri apabila label yang digunakan untuk menerangkan tentang anak adalah sesuatu yang positif seperti kreatif, bertenaga dan berprinsip..
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)