Tidak dinafikan, ada kalanya si kecil sering membuat perangai, sampai pening parents nak menghadapnya. Apakah mungkin terdapat cara mengatasi anak tantrum?
Menangani anak tantrum
Anak tantrum, buat perangai, merengek, meragam, tidak mendengar kata, bahkan mengamuk boleh dikatakan perkara biasa untuk terjadi.
Namun dalam keadaan anda sebagai ibu bapa yang mungkin letih dan penat bekerja, apa yang dilakukan anak itu boleh menyebabkan hilangnya rasa sabar.
Tetapi mengapa anak berkelakuan sebegitu? Apakah sebabnya?
Untuk menjawab persoalan itu memerlukan anda untuk menyiasat, mencari punca yang mencetuskan perangai si kecil yang menjengkelkan itu.
Apakah ia disebabkan oleh sikap dan kesilapan anda sendiri?
Cara mengatasi anak tantrum
Jangan terkejut ya jika sikap anak yang suka memberontak itu hakikatnya berpunca daripada diri anda sendiri sebagai parents mereka.
Berikut antara beberapa kesalahan ibu bapa dan cara mengatasi anak tantrum:
1. Ibu bapa jauh
Ibu bapa dalam kategori ini kewujudannya ada secara fizikal tetapi lebih sibuk menghadap telefon, tugasan kerja atau hobi.
Mereka hanya memenuhi keperluan fizikal anak seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal serta tidak mengendahkan keinginan emosi anak untuk berasa dikasihi dan dilindungi.
Anak-anak kerap berasa tidak selamat, kurang keyakinan diri dan cenderung bersikap agresif. Cara mengatasi anak tantrum: Berikan mereka kasih sayang secara fizikal dan emosi.
Ads
2. Terlalu mengawal
Anda mungkin berasa sikap terlalu mengawal ini adalah untuk melindungi anak. Tetapi anak yang dibesarkan dengan cara ini dipercayai lebih kerap memberontak terhadap ibu bapa mereka, selain sering mengalami kegelisahan dan ketakutan untuk membuat kesilapan.
Untuk menangani anak tantrum ini adalah dengan elakkan daripada terlalu mengawal pergerakan anak. Biarkan anak bebas beraktiviti tetapi masih tetapkan had untuk mereka ikuti.
3. Kurangkan menjerit sebagai cara mengatasi anak tantrum
Kesalahan paling biasa dilakukan ibu bapa adalah menengking anak. Sebagai ibu bapa, kita mungkin berasa jeritan sebagai cara terbaik untuk mendisiplinkan anak.
Tetapi hakikatnya kanak-kanak yang sering ditengking sering berasa tidak selamat serta lebih agresif secara fizikal dan lisan.
4. Ganjaran
Setiap ibu bapa pasti mempunyai pengalaman anak mengamuk ketika berada di mall. Antara cara menangani anak tantrum yang sering digunakan adalah ‘merasuah’ mereka dengan sesuatu agar rengekan atau amukan berhenti, betul tak?
Tetapi ia cumalah penyelesaian sementara sahaja. Apa kata anda fokus untuk lebih mendengar anak secara aktif dan memahami keperluan mereka.
Ads
Hadkan pemberian ganjaran sebagai balasan untuk kelakuan baik mereka. Berikan lebih pujian untuk tingkah laku positif dan baik.
5. Tiada batasan
Mungkin kedengaran idea yang baik untuk membiarkan anak bebas meneroka tanpa batasan. Tetapi kesannya boleh mengakibatkan mereka ralat dalam memikul tanggungjawab, sukar mengawal dan mendisiplinkan diri.
Cara mengatasi anak tantrum: Wujudkan batasan tetapi bukan mengawal. Ia mengajar anak untuk menguruskan kehidupan berdasarkan peraturan di sekeliling mereka.
6. Menjadi sahabat anak? Ini bukan cara mengatasi anak tantrum
Apabila cuba menjadi sahabat dan bukannya ibu bapa, secara tidak langsung tiada lagi keperluan untuk anak menganggap anda sebagai contoh teladan untuk diikuti.
Ia juga meletakkan anda setara dalam hubungan dengan anak-anak daripada mempunyai hubungan ibu bapa-anak.
Sebaiknya, walaupun akan ada masanya timbul perselisihan faham dengan anak, teruskan untuk menjadi ibu bapa dan bukannya rakan mereka.
Ads
7. Memalukan anak
Berkongsi gambar anak dengan momen yang kurang menyenangkan boleh menjadi perkara yang memalukan buat mereka.
Ia bukan sahaja merosakkan harga diri anak, tetapi menyebabkan mereka cenderung memberontak. Bahkan ini boleh menjejaskan hubungan anda dengan anak.
Anda juga harus mengelak daripada menuturkan ayat seperti “Mama penat melayan kerenah awak” atau “Awak budak yang nakal”.
Anda mungkin tidak sengaja memalukan anak apabila berada dalam kekecewaan. Apabila itu berlaku, cara mengatasi anak tantrum disebabkan kesilapan tersebut adalah meminta maaf dengan segera.
8. Sentiasa melayani bukan cara mengatasi anak tantrum
Anda mungkin berasa ia adalah tugasan ibu bapa untuk sentiasa melayan anak setiap masa agar mereka tidak meragam atau tantrum.
Hakikatnya, anak perlu dibiarkan untuk berasa bosan. Kebosanan yang melanda anak akan membuatkan mereka mencipta permainan baru melibatkan kreativiti mereka dan belajar untuk menghiburkan diri sendiri.
Anak juga dapat berinteraksi dengan lebih baik bersama adik-beradik atau rakan mereka apabila perlu bekerjasama untuk mengurangkan kebosanan.
Tiada ibu bapa yang sempurna. Normal untuk anda melakukan kesilapan, berasa menyesal dan mungkin mengulanginya berulang kali kerana kita semua manusia biasa.
Namun cara mengatasi anak tantrum yang terbaik adalah untuk belajar daripada kesilapan dan mengubah tabiat anda sebelum ia boleh menjejaskan kehidupan mereka.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Menunggu hari demi hari untuk anak autisme kita bercakap memang menyukarkan. Malah penuh emosi. Jangan paksa si kecil anda kerana mereka perlukan masa untuk memahami ayat dan mengumpul perkataan.
Jangan paksa tetapi kita tetapi boleh praktiskan cara seperti yang dikongsikan oleh ibu Asdayati Buang ini di facebooknya. Daripada tidak memahami percakapan, kini anak kecilnya petah bercakap.
Ibu jangan patah semangat, ayuh cuba cara ni.
Tips latih anak autisme mula bercakap
✅Bercakaplah dengan dia sebanyak yang mungkin.
Seperti yang saya pernah beritahu sebelum ini, anak saya diagnos sebagai autisme agak lewat iaitu lebih kurang masa umur 3 tahun setengah. Masa tu memang tiada perkataan bermakna yang keluar dari mulut AA.
AA hanya mengajuk ayat-ayat yang dihafal daripada tv tanpa mengetahui maksudnya.
Masa tu saya dah buntu, saya hubungi seorang rakan saya yang bertugas sebagai speech therapy. Beliau mencadangkan kepada saya supaya saya lebihkan berborak bersama AA.
Mulanya saya keliru dan pelik. ‘AA ni tak faham satu apa pun yang saya cakap, macam mana saya nak bercakap dengan dia?’
Menurut sahabat saya itu, anak-anak autisme ini kekurangan “verbs” untuk bercakap. Kita sebagai orang yang paling rapat dengan mereka perlu bantu mereka untuk menambahkan “verbs” mereka.
Sebagai contoh, ketika memakaikan mereka pampers.
Situasi 1
=======
“Sekarang Aiman baring. Baring atas tilam ni. Mak ambil pampers. Mak letak pampers bawah punggung Aiman. Mak letak bedak dulu. Lepastu mak lekatkan pelekat pampers ni supaya pampers tak bocor. Barulah Aiman selesa nak main nanti”
Situasi 2
======
“Ok Aiman, jom pakai pampers”
Jika kita lihat perbezaan bilangan perkataan antara situasi 1 dan 2 amat banyak. Anak-anak kita ini agak perlahan untuk belajar. Kita perlu bantu mereka.
Kalau boleh setiap cerita yang kita gunakan adalah cerita yang sama setiap hari supaya minda mereka dapat “tangkap” setiap perkataan kita dengan lebih mudah.
Maksud saya di sini ialah kita sediakan satu cerita semasa pakai pampers, satu cerita semasa pakai baju, satu cerita semasa pakai kasut dan lain-lain situasi juga.
Pada permulaan sesi “bercakap banyak” ini mungkin anda akan berasa janggal kerana percakapan anda tiada balasan. Tapi percayalah dan yakinlah anak-anak anda sedang mendengar dan belajar daripada anda.
InsyaAllah bila anak dah mula bercakap, anak akan kurang sedikit tantrum tak tentu pasal. Ini kerana mereka tantrum kerana mereka nak beritahu kita sesuatu tetapi kita tak faham.
Sama juga dengan kita yang bukan autisme ni. Kalau dah ulang bercakap ayat yang sama 2-3 kali tapi masih orang depan kita tu tak faham apa yang kita cakap, mesti kita marah kan?
Begitulah anak-anak kita. Jom kita sama-sama bantu mereka. Sekarang Aiman dah pandai membebel sampai mak pula tak tahan nak dengar.
Asdayati Buang
Ibu Amirul Aiman
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Proses untuk melahirkan buat seorang wanita hamil memang berbeza-beza. Ada yang akan mengalami kontraksi dalam tempoh yang lama, malah ada juga yang hanya sakit sekejap sahaja dan terus bersalin.
Namun sebelum memasuki bilik bersalin atau labour room, ibu hamil juga perlu membuat persediaan supaya segala proses berjalan lancar. Seperti apa yang dikongsikan oleh Yasmin Hanani apa yang perlu dibuat oleh ibu-ibu sebelum masuk ke bilik bersalin.
Menurut Yasmin, tip yang dikongsikan ini untuk memastikan keselesaan si ibu dan juga petugas hospital yang terlibat nanti.
Bersihkan apa yang patut
“Hormati doktor dan petugas kesihatan ketika mahu bersalin dengan membersihkan diri terlebih dahulu.
“Sebelum ditolak masuk ke wad bersalin, perkara yang wajib saya buat ialah berhias dan berdandan. Nak bersalin pun nak berhias?
“Jangan salah faham, kita kena pastikan diri kita presentable kpd misi dan doktor untuk memudahkan kerja mereka. Janganlah jadi serabai melainkan anda nak bangun pun dah tak larat. Suami pun tolonglah bersihkan isteri.
Pertama
“Sambil melayan sakit contraction jika belum kerap (kita boleh agak the baby is coming), saya akan pastikan saya tidak kelaparan sebab saya perlu kan energy untuk meneran.
Kedua
“Setengah jam selepas makan, saya wajib ke tandas dan membuang apa yg patut agak tidak terbuang air besar ketika proses bersalin. Sebelum itu, makanlah makanan yg mudah hadam elakkan daging yg sukar dihadam. Wajib makan untuk tenaga tapi jangan makan telur mentah!
Ketiga
“Usai membuang, biasanya saya akan mandi sebelum ke wad, sikat rambut dan berminyak, jika panjang, anda sanggul. Kadang-kadang sanggul boleh terlepas, maka lebih selamat anda jalin tocang jika rambut anda panjang. Gosok gigi jangan lupa! Emak saya memang pesan, bersihkan apa yg patut sebelum bersalin agar memudahkan urusan dan kerja doktor dan trimlah apa-apa yg wajib tu. Takkan nak suruh misi trim kan kot. Malu la cik kak… Pesanan itu mmg saya wajib buat setiap kali ke hospital.
Tukar Pakaian Bersih
Keempat
“Selesai mandi dan mengemaskan rambut, saya akan tukar pakaian yg besih, saya memang akan spare baju wad yg bersih takdela misi dan doktor pengsan dgn bau saya nanti. Jika anda pakai seluar mama pride, sediakan dua atau tiga seluar sebab jika seluar itu basah terkena air ketuban, maka anda boleh ganti dengan yg lain. Bersalin, baju kena kering dan bersih.
Kelima
“Beri henpon dan bahan berharga pada suami, bawa diapers sekeping sahaja dan duduk lah atas wheelchair dan anda akan ditolak masuk ke bilik bersalin. Sambil-sambil ulang lah hafazan surah maryam anda. Tetapi lain hospital lain keperluan yg perlu dibawa. Jadi bertanya lah dahulu do’s and don’t setiap hospital.
“Bila sudah wangi dan happy, anda pun rasa semangat nak bersalin kan. Dan selepas bersalin pun saya akan terus mandi selepas boleh bangun. Kadang-kadang nurse biarkan dahulu 3 jam kita di bilik bersalin, kalau bilik bersalin yg ada bilik air, mmg saya akan terus mandi. Bila naik wad dgn baby kita pun dah wangi hehe. Apa pun, tanya misi kadang-kadang kita tak kuat lagi misi tak bagi mandi takut jatuh dalam bilik air. Masa ni tenang nak mandi sbb baby baru lahir biasa dia lena ja…
Suka Pakai Baju Hospital
“Selepas mandi, apa lagi memang saya akan makan dan minum, lapar beb lepas meneran! Untuk tenaga yg cepat biasanya saya dah sediakan jus mangga (asli lagi bagus) kalau takde kurma pun boleh. Biasa hospital bagi milo dan biskut pun ok la. Masa ni rasa macam makan kuda pun boleh kan…
“Saya mmg suka pakai banyak baju di hospital. Saya mmg suka nampak presentable dan pilih pakaian paling baik. Pernah sekali saya pakai kasut ke wad bersalin sbb saya tak suka pakai selipar, sejuk, misi tanya, “amboi cantiknya kasut bersalin macam kasut kerja.” Saya jawab, nak bersalin kenala cantik-cantik macam nak pi kerja kan misi hehe.
“Ini contoh vanity beg yang wajib saya bawa ke hospital… Biasanya banyak lagi mendanya hehehe…”
Semoga apa yang dikongsikan oleh Puan Yasmin akan memberi manfaat kepada bakal ibu yang sedang menunggu hari melahirkan. Bolehlah membuat persediaan dari sekarang.
Anak menangis ada yang kata jangan angkat, nanti manja, asyik nak berdukung je. Pernahkah anda mendengar nasihat seperti ini: “Jangan angkat bayi yang menangis. Nanti dia jadi manja dan asyik nak berdukung sahaja.”?
Anak Menangis Ada Yang Kata Jangan Angkat
Bagi sesetengah orang, kata-kata ini kedengaran logik. Namun, adakah betul untuk membiarkan bayi menangis tanpa perhatian?
Kenyataannya, nasihat ini tidak berasas dan bertentangan dengan naluri seorang ibu, sains, serta nilai keibubapaan yang penyayang. Bayi menangis bukan kerana mahu dimanjakan, tetapi kerana mereka mempunyai keperluan yang perlu kita penuhi.
Nanti Manja, Asyik Nak Berdukung Je
Berikut perkongsian daripada Pun Wawa Shauqi, seorang penulis buku yang berkisar tentang ilmu keibubapaan.
Beberapa tahun lalu, saya pernah ditegur oleh seorang wanita di Klinik Kesihatan. Katanya, “Jangan angkat bayi yang menangis. Nanti dia jadi manja dan asyik nak berdukung sahaja.” Kata-kata itu membuatkan saya berkerut. Biar betul?
Adakah kita perlu membiarkan bayi menangis sehingga berhenti sendiri? Wanita itu menerangkan lagi, “Lama-kelamaan bayi akan faham, walau menangis macam mana sekalipun, dia takkan dilayan.”
Namun, apabila saya mendalami ilmu daripada pakar seperti Puan Amizamzuri N Uswatun, seorang pakar tidur dan tangisan bayi, saya temui jawapan yang tepat. Dalam bukunya, beliau menegaskan bahawa:
“Nasihat seperti ini adalah nasihat paling teruk, tidak berasas, kejam, dan bertentangan dengan nilai kemuliaan agama.”
Mengapa Nasihat Ini Tidak Boleh Diikuti?
Mari kita fahami mengapa pendekatan membiarkan bayi menangis, juga dikenali sebagai teknik “Cry It Out”, perlu dielakkan.
1. Tangisan Adalah Refleks Semula Jadi Bayi
Bayi yang baru lahir dilengkapi dengan sekurang-kurangnya 75 jenis refleks, dan tangisan adalah salah satu daripadanya. Refleks ini adalah tindak balas automatik untuk memastikan kelangsungan hidup.
Sepanjang tiga bulan pertama, tangisan bayi adalah cara mereka berkomunikasi. Mereka menangis untuk menyatakan rasa lapar, tidak selesa, letih, atau sakit.
Pada tahap ini, bayi tidak menangis secara sengaja atau “berlakon”.
2. Melawan Fitrah Ibu Dan Bayi
Allah telah mencipta ibu dengan naluri yang kuat untuk bertindak balas apabila mendengar tangisan bayi.
Apabila bayi menangis, tubuh ibu secara automatik menghasilkan hormon:
Oxytocin: Merangsang ibu untuk mendukung dan menenangkan bayi.
Prolaktin: Menggalakkan pengeluaran susu untuk menyusukan bayi.
Jika kita membiarkan bayi menangis tanpa bertindak, kita melawan fitrah semula jadi ini.
3. Kegagalan Teknik “Cry It Out” Berdasarkan Sains
Ada yang mendakwa bahawa membiarkan bayi menangis akan membuatkan mereka berhenti. Namun, bayi yang berhenti menangis bukan kerana mereka faham, tetapi kerana keletihan melampau.
Kesan negatifnya:
Hormon Kortisol (Hormon Stres): Meningkat ketika bayi menangis terlalu lama, mengganggu perkembangan fizikal dan emosi mereka.
Sikap Bayi: Mereka mungkin menjadi lebih kuat menangis (kerana sedar hanya tangisan yang kuat akan menarik perhatian) atau “shut down” (tidak menangis lagi kerana sudah tiada harapan untuk dipedulikan).
Pentingnya Secure Attachment
Tindak balas ibu bapa terhadap tangisan bayi sangat penting untuk membentuk Secure Attachment – rasa aman dalam diri anak.
Bayi yang mendapat perhatian dan respons positif:
Membesar dengan keupayaan untuk mengurus emosi dan menghadapi tekanan.
Lebih tahan terhadap cabaran, trauma, atau krisis pada masa dewasa.
Sebaliknya, bayi yang dibiarkan menangis tanpa perhatian mungkin kurang berkeyakinan, sukar mempercayai orang lain, atau menghadapi masalah emosi.
Nasihat untuk membiarkan bayi menangis tanpa diendahkan bukan sahaja tidak berasas, tetapi juga bertentangan dengan naluri keibuan, sains, dan nilai agama. Setiap tangisan bayi membawa mesej, dan sebagai ibu bapa, adalah tanggungjawab kita untuk mendengar dan bertindak.
Jika ada yang memberi nasihat seperti ini lagi, senyum sahaja. Kemudian, teruskan dengan cara yang anda yakini dapat memberikan yang terbaik untuk anak anda. Kerana setiap bayi berhak rasa disayangi dan dilindungi.
Suami isteri terkejut duit raya anak cecah lebih RM2000. Sepasang suami isteri terkejut apabila mendapati anak mereka yang baru berusia lima tahun berjaya mengumpul duit raya sebanyak RM2,000 selepas sambutan Aidilfitri yang lalu.