Anak Lelaki Lain Sikit Cara Nak Handle. Untuk Jadikan Mereka Lebih Sensitif Dan Peka, Ini 5 Perkara Yang Perlu Anda Buat

Share

Bukan satu rahsia anak lelaki sememangnya lantang, aktif, lasak dan sukar dijaga. Sebelum anda naik darah, berikut beberapa tip yang ingin Pa&Ma kongsikan agar anda kekal waras ketika membesarkan mereka.

Sebelum mempunyai anak, kita pastinya mengidamkan anak-anak yang mudah dijaga. Bergelar ibu bapa, kita dengan pantas akan menyedari anak lelaki biasanya bertenaga, agresif dan lebih banyak akalnya berbanding anak perempuan.

PANTAU TAHAP AGRESIF ANAK

Ia perkara normal apabila anak lelaki suka bermain dengan senjata (pistol, pedang dan sebagainya), dan kemudian beraksi seolah-olah mereka membunuh orang jahat. Jika anak lelaki anda pernah bermain begini, ia menujukkan impian mereka untuk menjadi penyelamat dan menegakkan keadilan. Melakonkan watak sebagi polis dan penjahat atau bermain ala-ala situasi berdepan zombi dapat menggalakkan anak anda untuk bertindak mengikut logik (yang mana betul dan salah). Setiap kali mereka bermain begini, anda memainkan peranan penting untuk memantau dan menegur jika ia keterlaluan.

Banyak menonton rancangan di televisyen juga boleh menjadi faktor mereka bermain dengan kasar. Oleh itu, anda harus sentiasa peka dengan cara mereka bermain dan pastikan mereka tahu sejauh mana mereka boleh bermain secara kasar dan agresif.

Tidak perlu marah, cukup sekadar menerangkan perkara yang harus mereka tahu supaya mereka faham dan bukannya mengelak daripada melakukannya kerana takut dimarahi anda.

TUNJUKKAN CONTOH YANG BAIK

Anak lelaki biasanya lebih banyak menyimpan memori dan sentiasa ingat apa yang berlaku di persekitaran mereka. Untuk membentuk sahsiah diri yang baik dalam diri mereka, anda harus menjadi contoh terbaik. Bapa terutamanya digalakkan untuk melayan isteri, ibu dan adik-beradi perempuan dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang agar anak-anak dapat menjadikan anda contoh. Salah satu cara yang baik untuk mengajar anak lelaki cara untuk melayan orang lain dengan baik adalah dengan sentiasa bercerita kepada mereka akan kepentingan serta ganjaran menjadi manusia yang sentiasa baik dengan orang lain.

TEKANKAN CIRI-CIRI KEBAIKAN DAN SENSITIVITI

Untuk mengembangkan sisi sensitif anak lelaki anda, jelaskan kepada mereka kepentingan berkongsi alat mainan dengan rakan atau berbuat baik kepada haiwan. Anda juga boleh mebacakan cerita tentang lelaki dalam sejarah yang memperjuangkan keamanan dan kebaikan. Cari peluang untuk mewujudkan peranan sebagai lelaki yang positif dengan menghabiskan masa berkualiti dengan mereka atau mengalakkan mereka untuk menyertai kerja-kerja amal.

Meraikan anak lelaki dengan kasih sayang dan penghargaan juga boleh menjadikan mereka lebih mudah mendengar kata.

GALAKKAN EKSPRESI EMOSI

Sentiasa galakkan anak-anak anda untuk meluahkan perasaan mereka. Biasanya anak lelaki lebih suka memendam perasaan mereka, tetapi sebagai ibu bapa anda harus peka dan bijak untuk menggalakkan mereka bercerita. Anda boleh bercerita dan minta pendapat mereka tentang seusatu hal. Ini memberi mereka satu perasaan dihargai dan menjadikan mereka lebih bersikap terbuka untuk berkongsi sebarang masalah. Jangan menghakimi tetapi galakkan mereka untuk berceritadengan memberi pendapat yang neutral dan tidak menyalahkan mereka.

BERI ANAK RUANG

Anak lelaki suka bermain secara bebas. Mereka tidak selesa dikawal dan dikongkong. Beri ruang kepada mereka untuk bermain dengan menyediakan satu kawasan khas untuk mereka bermain. Di situ, biarkan mereka untuk menjadi diri sendiri tanpa dihalang untuk berbuat apa saja. Sesekali sertai mereka dan sediakan aktiviti yang boleh dibuat bersama.

Jika bermain dengan ayah, banyakkan permainan survival. Ibu pula boleh banyakkan bermain dengan aktiviti skil harian.

Jika diberi peluang dan ditunjukkan cara sebenar untuk membesar menjadi anak yang menyenangkan, ibu bapa harus mengambil inisiatif untuk melatih anak-anak sedari kecil. Elakkan terlalu banyak memarahi mereka kerana ia akan memberi impak kepada emosi serta tumbesaran mereka.

Published by
Emy H