Anak amanah yang tidak boleh diambil mudah. Melihatkan dunia hari ini, hati ibu bapa ada kala bergetar dan timbul kebimbangan. Anak yang diasuh dengan berkiblatkan Barat dan kemodenan yang melampau akhirnya menjadi mangsa salah didikan. Hanya dengan Islam anak-anak boleh dijinakkan.
Menurut Prof Madya Dr Mohd Noor Mamat, ibu bapa perlu tahu anak sama ada lelaki dan perempuan mereka wajib dididik dan ditanamkan dengan kepercayaan kepada Allah dalam diri mereka. Apabila mereka sudah dekat dengan Allah, maka lebih mudah bagi kita mencuit hati mereka untuk pembinaan ibadah dan akhlak.
USIA DUA HINGGA EMPAT TAHUN IALAH WAKTU KRITIKAL BAGI PSIKOLOGI ANAK DI MANA MEREKA AKAN MENIRU DAN MENGIKUT PERBUATAN APA YANG DISURUH.
Jika kita lihat, waktu inilah mereka bercakap dan bertanya dengan banyak. Ibu bapa perlulah bersedia untuk menjadi model yang baik untuk anak-anak. Sediakan persekitaran yang islamik. Bagi ibu bapa yang bekerja, dapatkan penjaga yang mempunyai akhlak dan menjaga ibadah kerana ia memberikan impak yang besar dalam perkembangan dirinya.
ASUHAN ANAK LELAKI ANAK PEREMPUAN
Kedua-duanya mempunyai karakter yang berbeza dan keadaan fizikal yang berbeza. Asuhan antara keduanya perlulah spesifik dan tentulah tidak sama. Apa yang perlu dibangunkan dalam diri anak lelaki dan perempuan ialah:
Anak lelaki
Berikan mereka tanggungjawab atau tugas yang sesuai dengan karakter lelaki yang lasak.
Tidak perlu menunjukkan kasih sayang tetapi memberikan penghormatan menerusi puji-pujian. Berikan kepercayaan.
Membelikan alat permainan yang berkonsepkan intelektual dan memerlukan dia berfikir.
Anak perempuan
Melayani dengan penuh kasih sayang kerana anak perempuan tetapi dalam yang sama tegas.
Perlu menunjukkan perbuatan yang menunjukkan kasih sayang seperti memberi ciuman, pelukan dan menerusi percakapan.
Mengasuh mereka tentang aurat dan batas pergaulan dengan bukan muhrim. Perlu rapat dengan ibu bapa dan perlukan lebih banyak perhatian berbanding anak lelaki. Berikan alat permainan yang membabitkan emosi seperti anak patung.
WUJUDKAN IMAN, IBADAH & AKHLAK DALAM DIRI ANAK
Didikan si manja seharusnya bermula daripada alam rahim lagi dengan memperdengarkan Al-Quran dan amalan-amalan yang lain. Hal ini diteruskan selepas kelahiran untuk membentuk kekuatan spiritual di dalam diri anak-anak. Hal ini akan sebagai platform untuk pembinaan kekuatan spiritual dan cinta Allah.
Didikan awal yang bersesuaian dengan karakter dan sifat semula jadi mempengaruhi pembentukan diri anak-anak menjelang remaja. Ia mustahak untuk mengekang pelbagai masalah sosial seperti kecelaruan gender dan pergaulan bebas. Dengan adanya benteng keimanan serta kecintaan Allah dan pengukuhan ibadah dan akhlak, si manja akan lebih bersedia menghadapi cabaran langit dunia terbuka pada masa akan datang.
Elemen penting yang perlu dikukuhkan dalam diri anak ialah :
Iman (akidah)
Hal ini adalah untuk mentauhidkan Allah dalam diri anak-anak. Ia menjadi perkara pokok pertama yang sangat penting dan boleh ditanam di dalam diri anak sejak daripada alam rahim. Selepas lahir, dia akan mula melihat apa yang dilakukan oleh ibu bapa dan orang di sekelilingnya dan menyerapnya. Justeru, amat mustahak untuk kita menyediakan persekitaran yang positif selaras dengan kehendak Allah serta mempraktikkan segala suruhannya. Sentiasa mengaitkan Allah dalam apa juga yang dilakukan dan dilihat. Apabila iman ini sudah subur, hatinya mudah kita cuit untuk pengisian ibadah dan akhlak.
Ibadah
Si manja kini sudah tahu tentang Allah, maka pengukuhan ibadah menjadi lebih senang. Misalnya untuk mengajarnya untuk solat tahajud, anda bolehlah berkata begini “Aqil nak jadi pandai, Aqil dengan kena doa pada Allah. Allah suka kalau kita minta apa-apa dari Dia. Waktu doa yang paling Allah suka ialah waktu sahur. Jom esok kita bangun sama-sama ye solat dan doa waktu sahur. Nanti mama kejutkan Aqil ye”.
Begitu juga dengan ibadah-ibadah yang lain seperti puasa, solat dan lain-lain. Hati yang sudah basah dengan keimanan mudah untuk kita cuit untuk melakukan ibadah wajib dan sunat.
Akhlak
Akhlak juga berkait rapat dengan akidah. Si kecil yang sudah mempunyai asas akidah yang kuat tidak mudah tergelincir untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum Allah. Mereka dengan sendirinya tahu apa yang tidak boleh dan apa yang boleh. Ibu bapa perlu memandu mereka daripada peringkat awal dan membimbing dengan cara yang santai dan penuh kasih sayang. Gunakan waktu makan, waktu di dalam kereta dan semasa menonton rancangan kegemarannya untuk memberikan dakwah santai.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI