“Anak Lelaki Tak Boleh Nangis.” Selalu Pesan Macam Ni, Bila Besar Anak Tiada Perasaan Sensitif

Share

Bila anak lelaki menangis, perkataan yang selalu keluar dari mulut ibu bapa adalah “alaa, anak lelaki mana boleh nangis. Tak malu ke orang tengok.” Tujuan asal ibu bapa bertindak begini sebab nak anak lelaki jadi kuat. Tapi di sebalik tindakan kita, ia sebenarnya memberi satu pandangan negatif bila anak membesar nanti.

Berdasarkan perkongsian Pengasas Parent Connect, Puan Noor Afidah Abu Bakar, ibu bapa kena ubah tanggapan ini jika mahu anak lelaki mempunyai sikap empati yang tinggi dan emosi positif setelah mempunyai keluarga sendiri.

Berikut antara perkongsiannya:

BE A MAN!!

“Boys sepatutnya ‘tough’”
“Boys mana boleh merengek. Lembik”.
“Tak ‘macho’ lah kalau boys tak patah tangan kaki”. “Paling-paling pun luka”.
“Biasalah boys kena buli. Barulah anak jantan”.
“Boys don’t cry”.

BE A MAN

Kita sering berkata “Boys will be boys”, “Boys memang macam tu”.

Itu adalah sebuah penerimaan tentang ‘boys’ dalam masyarakat. Berpandukan kata-kata ini, anak lelaki dari usia kecil lagi akan membina konsep diri (self concept/self belief), nilai dan persepsi tentang bagaimana seharusnya mereka berkelakuan dan bagaimana seharusnya mereka respon kepada situasi yang menekan. Mereka terpaksa jadi ‘tough’, ‘be like a man’ sehingga terpaksa mengorbankan sisi sensitif dalam diri mereka.

Mereka dipaksa menyembunyikan emosi negatif kerana tidak mahu dikatakan lembik sedangkan sisi lembut dan sensitif inilah yang sangat diperlukan dalam membina perhubungan yang sihat apabila berkahwin dan berkeluarga kelak.

Sisi sensitif inilah yang menjadi benteng dari menjadi pelaku keganasan rumahtangga dan apa saja bentuk kezaliman fizikal, mental, emosi dan seksual dalam keluarga dan masyarakat. Akibat dari penindasan sisi sensitif inilah boys malu untuk mendapatkan bantuan apabila emosi mereka terganggu, baik daripada ibu, ayah, guru, kaunselor, kawan, atau sesiapa saja yang rapat dengan mereka kerana bukankah mereka tidak patut rasa sedih? Bukankah mereka tidak ‘macho’ apabila beremosi?

Kita selalunya lebih terbuka untuk berbicara tentang isu perasaan dengan anak perempuan. Kita tidak bercakap tentang perasaan dengan anak lelaki.
Menangis adalah urusan orang perempuan, kata kita.
Orang perempuan suka beremosi, kata kita.
Anak lelaki lantas menyembunyikan perasaan mereka kerana adalah menjadi satu kesalahan apabila anak lelaki menunjukkan emosi dan berbicara tentang perasaan mereka.

Mereka tidak meluahkan kesedihan, kekecewaan dan kemarahan mereka dan membiarkan ia terus membarah dalam jiwa. Lama-kelamaan mereka menjadi tertekan kerana tidak tertanggung perasaan itu. Dalam keadaan tertekan itu akan ada yang mencuba penyelesaian pintas mengambil nyawa sendiri. Ada juga yang menjadi pembuli kerana mereka perlu buktikan kepada orang lain yang mereka ‘tough’ dan ‘be a man’ untuk menutup kesedihan mereka.

Anak-anak tidak dilahirkan dengan skil untuk mengurus emosi. Mereka perlu diajar cara untuk mengendalikan emosi mereka. Emosi mereka perlu diakui. Mereka harus faham apa yang mereka rasa. Emosi yang tidak dilayan hanya akan meletup suatu masa nanti. Dan apabila ia meletup, mereka tidak bersedia untuk menghadapinya kerana mereka tidak pernah diajar cara untuk mengendalikannya.

Menurut Dr. Christia Brown, seorang pakar dalam bidang Developmental Psychology dari University of Kentucky, sebelum usia baligh, kanak-kanak lelaki lebih terdedah kepada depresi berbanding kanak-kanak perempuan. Kita selalu menekan dan menidakkan perasaan mereka.

‘Boys don’t cry’ adalah berlawanan dengan perkembangan semulajadi emosi manusia.

“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis.”
(Surah An Najm : 43)

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Published by
Wan Amy