Anak Malaysia Hebat! SK Putrajaya Presint 11(1) Dinobat Sekolah Terbaik Dunia

Share

Anak Malaysia hebat! Itulah ungkapan paling tepat apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) berjaya mencipta sejarah sebagai Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat.

Pengiktirafan ini mengharumkan nama negara apabila buat pertama kali sebuah sekolah di Malaysia dinobat sebagai juara dunia dalam pertandingan berprestij tersebut. Kemenangan ini membuktikan bahawa anak-anak Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan murid dari seluruh dunia apabila diberi peluang, sokongan dan bimbingan yang tepat.

Kemenangan Bersejarah

Melalui laporan Sinar Bestari, kejayaan luar biasa ini, SK Putrajaya Presint 11(1) menerima hadiah kemenangan bernilai AS$50,000 (RM235,000) serta dijemput menghadiri Persidangan Sekolah Dunia yang bakal berlangsung di Abu Dhabi pada 15 dan 16 November 2025.

(SK) Putrajaya Presint 11

Lebih membanggakan, pengiktirafan bertaraf antarabangsa ini diraih hasil inovasi murid-murid sendiri yang berjaya membangunkan aplikasi mudah alih dikenali sebagai Helpie.

Aplikasi Helpie, Dicipta Oleh Murid

Helpie bukan sekadar aplikasi digital biasa. Ia direka sebagai platform sokongan emosi dan psikososial untuk rakan sebaya, di mana murid boleh berkongsi masalah dengan selamat, mendapatkan bimbingan kaunseling dan berinteraksi melalui elemen gamifikasi yang menyeronokkan.

(SK) Putrajaya Presint 11

Pendekatan inovatif ini menjadi jawapan kreatif dalam menangani isu kesihatan mental kanak-kanak, sesuatu yang semakin diberi perhatian di Malaysia dan seluruh dunia.

Menteri Pendidikan: Detik Istimewa Buat Malaysia

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan kemenangan ini sebagai satu momen bersejarah yang mengangkat nama Malaysia ke persada dunia.

“Malaysia sudah beberapa kali diiktiraf sebagai finalis, namun kali ini lebih bermakna kerana buat pertama kali kita berjaya muncul pemenang. Tahniah buat seluruh warga sekolah!” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Helpie hadir pada masa yang sangat tepat, seiring dengan usaha meningkatkan kesejahteraan murid melalui pendekatan teknologi dan kreativiti.

Kejayaan Bersama

Lebih indah, penghargaan ini bukan milik murid semata-mata, tetapi hasil usaha seluruh komuniti sekolah — guru, ibu bapa, kakitangan sokongan, pengawal keselamatan, pengusaha kantin hingga petugas kebersihan. Semua bersatu hati menjayakan ekosistem pendidikan yang unggul.

Kejayaan SK Putrajaya Presint 11(1) membuktikan bahawa apabila ada kerjasama erat antara sekolah dan keluarga, tiada yang mustahil untuk dicapai.

Inspirasi Untuk Semua

Kisah ini menjadi inspirasi kepada seluruh ibu bapa bahawa setiap anak memiliki potensi luar biasa. Apa yang mereka perlukan hanyalah sokongan emosi, peluang mencuba sesuatu yang baru, serta bimbingan berterusan daripada guru dan keluarga.

Tahniah SK Putrajaya Presint 11(1)! Anda telah membuktikan bahawa anak Malaysia bukan sahaja hebat, malah mampu menjadi pencetus perubahan di pentas dunia.

Published by
Nana