Anak Masih Menyusu Badan Dan Tak Boleh Berjauhan, Punca Leez Rosli Lebih 4 Tahun Tak Berlakon

Share

Demi kasih seorang ibu yang masih menyusukan anaknya, Leez Rosli sanggup melupakan seketika minat dalam bidang lakonan.

Selepas bergelar isteri kepada vokalis Drama Band, Aepul Roza, bakat yang dicungkil menerusi program realiti, Akademi Fantasi ini mula menyepikan diri dari bidang lakonan sejak lebih empat tahun.

Leez mengakui sebenarnya dia rindu untuk kembali berlakon, tetapi terpaksa menolak sebarang tawaran kerana sukar berjauhan dengan anaknya, Nur Saffiya Alisha, 2, selain sibuk menguruskan perniagaan tudung secara online yang baru diceburi.

Memikirkan jadual penggambaran yang pasti akan mengambil masa panjang, Leez yang juga tidak mempunyai pembantu rumah lebih selesa menguruskan sendiri anaknya selain tidak boleh berjauhan dengan anak tersayang.

“Susah untuk tinggalkan Alisha kepada orang lain kerana dia masih menyusu badan. Tunggu sedikit masa lagi apabila saya betul-betul bersedia.”

Walau bagaimanapun Leez bersyukur dengan kehidupan yang dilalui sejak bergelar isteri dan ibu.

Perniagaan tudung Saffiya by Leez Rosli yang diusahakan sejak Disember lalu semakin mendapat sambutan dan membuatkan dia perlu ligat dan aktif menguruskan permintaan pelanggannya.

Malahan sepanjang bulan Ramadan ini, Leez turut sibuk berniaga di Festival Ramadhan Putrajaya 2018 menjual tudung bawal yang sering digayakan olehnya sendiri.

Nampaknya walaupun komitmen terhadap keluarga dan perniagaan membataskan dirinya untuk aktif dalam bidang seni, namun pelakon yang juga masih meminati bidang nyanyian ini mengakui kehidupan yang dilalui hari ini lebih baik dan tiada apa lagi yang hendak dicari lagi.

Sumber: Berita Harian & Instagram leezrosli_officialmy

 

Published by
Hasnita Sawal