Ibu bapa mana yang tidak risau apabila melihat anak tiba-tiba kebiruan akibat tahan nafas. Lebih teruk lagi jika perkara ini sering menjadi punca anak pengsan.
Mungkin ada ibu bapa yang beranggapan bahawa anak mereka sengaja tahan nafas, maka reaksi pertama adalah memarahi mereka.
Namun, apa yang anda perlu tahu adalah perbuatan ini bukannya sengaja dilakukan. Fenomena ini dikenali sebagai breath holding spells atau raungan senyap kebiruan.
Ia merupakan satu refleks di luar kawalan badan. Ini bermakna, anak anda tidak boleh mengawalnya namun ia akan kembali normal dalam tempoh kurang daripada seminit selepas itu.
Dalam kebanyakan situasi, fenomena ini boleh diramal dan selepas faktor pencetusnya dikenal pasti, ia boleh dihindari.
Baca artikel ini yang dikongsi oleh Hello Doktor untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Ketahui jenis raungan senyap kebiruan
Dalam situasi anak menahan nafas sehingga nampak kebiruan, bukan semuanya akan menjurus mereka untuk pengsan.
Ia boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang berusia di antara 6 bulan hingga 6 tahun namun lazimnya dialami oleh mereka yang berusia 2 tahun.
Jika terdapat sejarah masalah kesihatan ini dalam kalangan ahli keluarga, kanak-kanak tersebut lebih berisiko untuk mengalaminya.
Terdapat dua jenis raungan senyap kebiruan yang mempunyai punca berbeza:
- Raungan senyap kebiruan sianotik – keadaan ini boleh berlaku apabila kanak-kanak berhenti bernafas dan wajah mereka bertukar menjadi biru. Ia sering berpunca daripada perkara yang membuatkan mereka sedih seperti dimarahi. Semasa anak anda sedang menangis, mereka hanya menghembus nafas dan tidak menarik nafas. Ia boleh menyebabkan wajah mereka bertukar menjadi warna biru atau ungu (lebih serius).
- Raungan senyap kebiruan pallid (tak bermaya) – keadaan ini lebih jarang berlaku dan lebih sukar untuk dijangka berbanding dengan fenomena sianotik. Berbeza dengan jenis sebelum ini, ia berlaku apabila kanak-kanak sedang dalam ketakutan atau mereka terkejut. Wajah mereka akan menjadi pucat lesi dan bertukar putih semasa ia sedang berlaku.
Kedua-dua jenis raungan senyap kebiruan boleh menyebabkan kanak-kanak berhenti bernafas dan kadangkala mereka boleh pengsan.
Jika keadaan ini terlalu ekstrem, ia boleh menyebabkan masalah sawan.
Apa yang ibu bapa perlu lakukan jika anak menahan nafas hingga biru?
Perkara penting yang anda perlu faham adalah ia bukannya sesuatu yang disengajakan.
Ramai ibu bapa yang akan panik dan mula memarahi anak mereka walhal ia di luar kawalan badan mereka.
Antara tanda yang boleh dialami oleh anak anda semasa episod kebiruan adalah:
- Tangisan berhenti secara tiba-tiba
- Kulit dan bibir menjadi kebiruan
- Berhenti bernafas semasa ia sedang berlaku
- Tubuh menjadi kaku dan mereka tidak bergerak
Dalam kebanyakan situasi, anak anda akan kembali normal beberapa saat selepas kebiruan.
Namun, ada juga yang kekal biru walaupun sudah lama mereka berada dalam keadaan begitu.
Keadaan ini boleh berlaku terutamanya jika ibu bapa kerap memarahi anak ketika mereka berada dalam episod tersebut.
Apa yang anda perlu lakukan adalah:
- Anda perlu bertenang, jangan panik, berhenti daripada membuatkan anak anda sedih seperti marah dan cuba untuk menenangkan mereka.
- Jangan goncang tubuh anak anda dan ketika badan mereka menjadi kaku, baringkan mereka dalam posisi mengiring.
- Pastikan tiada makanan atau objek lain di dalam mulut anak anda untuk mengelakkan daripada tercekik.
- Pastikan tiada perabot atau objek berbahaya berdekatan dengan anak jika mereka mula mengalami simptom sawan.
- Jika anak masih tidak bernafas melebihi 1 minit, lakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR). Ia merupakan satu prosedur kecemasan yang dilakukan dengan cara memberi tekanan pantas dan berterusan di kawasan dada mangsa dengan/tanpa memberi bantuan pernafasan secara berkala.
- Bawa anak ke hospital dengan kadar segera jika keadaan menjadi lebih serius.
Cara menghindarkan episod berhenti bernafas
Bagi kebanyakan kanak-kanak, fenomena kebiruan akan hilang apabila usia mereka meningkat.
Apa yang lebih mencabar bagi ibu bapa adalah mencari jalan untuk mendisiplinkan anak mereka tanpa mencetuskan kebiruan semasa mereka sedih.
Dalam banyak keadaan, perkara ini memerlukan rujukan doktor bagi mengenal pasti jalan terbaik bagi anda dan anak anda.
Fenomena anak tidak bernafas ini tidak boleh menjadi alasan untuk ibu bapa menuruti kehendak dan melayan segala kerenah anak-anak tanpa batasan.
Mereka memerlukan tunjuk ajar dan cara untuk beradaptasi dengan perubahan emosi yang berlaku.
Fenomena kebiruan mungkin nampak berbahaya namun dalam kebanyakan masa, ia hanya memerlukan kesabaran dan teknik yang betul dalam menguruskan episod kebiruan.
Konklusi
Episod kebiruan yang melibatkan anak tahan nafas di luar kawalan boleh membuatkan ibu bapa panik.
Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, ia akan beransur pulih dengan sendiri dalam tempoh kurang daripada 1 minit.
Jika keadaan berlarutan, rujukan kepada doktor boleh membantu mengenal pasti punca yang menyebabkan ia menjadi serius.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI