Anak Mengamuk, Kawal Dulu Perasaan. Ibu Ini Kongsi Kesilapannya Yang Buat Dia Tersedar

Share

Tahap stres ibu sebenarnya berlaku disebabkan beberapa faktor. Antaranya penat menguruskan anak dan rumah tangga, keluar bekerja awal pagi sampai di rumah lewat petang dan bila anak mula buat drama yang tak tahu puncanya.

Percayalah jika ibu stres, yang mempunyai sifat lemah lembut pun boleh berubah 100 peratus kerana emosi dan fizikal terlalu penat.

Bila anak buat tak kena sikit, mulalah kita bersuara lantang dan cepat je tangan nak pukul atau cubit. Betul tak?

Apabila cara kita buat anak jadi takut, alhamdulillah tapi tanpa tak sedar anak pun akan tiru gaya yang sama kita lakukannya pada adik beradiknya yang lain. Perkongsian dari Azlinda Hamid, ibu kepada tiga orang anak memang sangat betul.

Saat bayi hingga umur 4 tahun sungguh senang menjaga kamu.

Sehingga la Amani lahir pada tahun 2015 Nahdan bertukar menjadi cepat mengamuk, mengamuk susah nak pujuk, mengamuk tapi tak tahu nak apa.. Senang cerita TANTRUM.

Setahun juga ibu stress uruskan Nahdan terutama bersiap untuk ke sekolah. Dari kejutkan, mandikan, bersiap pakai baju & pujuk memujuk.

Sampai satu tahap stress ibu tak tertahan maka ibu akan cubit @ tolak dia. (nak nangis bila ingat balik sebab menyesal)

Kalau cerita kat orang sekeliling mesti ramai tak percaya & cakap ye ke Kak Linda kan lembut orangnya.

Korang jangan tak tahu betapa stress nya bila kena uruskan 3 orang anak tanpa bantuan bila suami out station & lagi teruk jika ada yang kuat ragam.

Pernah juga dah tak tahu nak buat apa last-last menangis tepi Nahdan tapi dia tengok je macam tak ada perasaan.

Ketika Nahdan berumur 6 tahun (tahun lepas) ibu perasan kalau Nahdan main dengan Amani tangan dia tu mesti nak cubit @ tolak Amani.

Astargfirullahhalazim.. Baru la ibu perasan apa yang dia buat pada Amani sebiji dia tiru apa yang ibu buat pada dia. Mengucap panjang ibu dengan kesilapan ibu. 

Selepas pada itu ibu pun gali la parenting skill yang boleh ibu tebus di atas segala kesilapan ibu.

Alhamdulillah melihat moment di dalam gambar ibu tahu Nahdan dah banyak berubah dan in shaa Allah akan menjadi abang yang baik buat Amani.

Antara yang ibu lakukan untuk betulkan keadaan adalah:

  • berhenti cubit & tolak (serta seangkatan dengannya)
  • perbanyakkan pelukan (pergi sekolah, balik sekolah, sebelum tidur, bila2 masa)
  • sentiasa ucapkan rasa sayang pada dia
  • bila rasa marah/geram tarik nafas dalam-dalam & istighfar
  • nampak je dia nak gaduh dengan adik beradik terus cakap ‘jangan gaduh-gaduh, korang kan adik beradik’
  • nampak dia buat baik pada adik beradik terus puji perbuatan dia
  • sentiasa ucapkan terima kasih pada dia sebab banyak perubahan baik
  • Dan jangan lupa berdoa pada Allah SWT moga dipermudahkan kita dalam mendidik anak.

Sekarang Nahdan telah berjaya atasi tantrum dia. Walau ada masa keluar juga perangai tantrum tapi alhamdulillah ibu dah dapat baca & tahu cara nak pujuk. In shaa Allah moga baik-baik kamu adik beradik. 

Sumber: Azlinda Hamid @ Diari Keluarga HasLin

Published by
Wan Amy