Sebelum ini isterinya disahkan mengidap Hemolytic Uremic Sindrome (HUS) atau sel darah pecah. Kali ini Mohd Nizrul Abdul Khair, 33 sekali lagi diduga apabila anak tunggalnya, Nur Rasysha Adellia, tiga tahun turut mengalami penyakit yang sama.
Dalam Laporan sebuah akhbar, Menurut Nizrul, ia bermula ketika Hari Raya Aidilfitri yang lalu dimana Rasyha mengalami cirit-birit hingga mukanya menjadi pucat lesu. Keadaan itu berterusan selama beberapa hari menyebabkan dia dan isteri Nor Aini Mohd Tamin, 31 terpaksa membawa anak mereka ke klinik berdekatan.
Namun penyakitnya hanya dapat dikesan selepas menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Parit Buntar, Perak namun kerana ketiadaan pakar di hospital berkenaan, kes anaknya itu dirujuk ke Hospital Taiping untuk pengesahan.
“SEBELUM ini isteri, kini anak pula menderita akibat penyakit yang sama…saya reda dengan ujian ini dan berdoa semoga usaha mencari dana buatnya dipermudahkan,” kata Mohd Nizrul.
Mohd Nizrul yang bekerja sebagai juruukur di Shah Alam buntu memikirkan nasib anak tunggalnya, Nur Raysha Adelia, tiga tahun yang menghidap hemolytic uremic sindrome (HUS) atau sel darah pecah.
Berikutan penyakit itu, Nur Raysha memerlukan sebanyak RM720,000 bagi menampung kos 18 suntikan eculizumab bernilai RM40,000 setiap satu yang bertujuan untuk menghalang sel darah daripada pecah dan menyelamatkan buah pinggangnya daripada gagal berfungsi.
Menurut Mohd Nizul, pengambilan suntikan itu juga disyorkan sebagai alternatif bagi menggantikan rawatan plasmapheresis yang hanya dapat memberi kesan sementara.
“Memandangkan keadaannya yang tidak stabil, Nur Raysha dirujuk pula dan dimasuk ke wad Hospital Pulau Pinang sebelum ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang ke rumah kira-kira dua minggu kemudian,” katanya lagi.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu dimasukkan semula ke PPUM pada Ogos dan setakat ini sudah menjalani 17 sesi rawatan plasmapheresis.
Mohd Nizrul berkata, isterinya turut menghidap penyakit sama dan kini menjalani rawatan dialisis disebabkan masalah buah pinggang yang kronik akibat HUS.
Keadaan itu menyebabkannya terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama dua bulan bagi memantau keadaan Nur Raysha yang masih berada di wad.
“Buat masa ini, anak saya dalam keadaan sedar dan buah pinggangnya juga masih berfungsi tetapi belum boleh menjalani rawatan dialisis kerana usianya yang masih kecil.
“Saya pula tidak sampai hati meninggalkanya bersama isteri yang perlu menjalani rawatan dialisis setiap hari sejak penyakitnya bertambah kronik.
“Disebabkan tiada pilihan, saya ambil keputusan untuk memohon cuti tanpa gaji dan mujurlah majikan faham dan beri kelulusan.”
Menurut Mohd Nizrul, dana terkumpul setakat ini sebanyak RM60,000 dan diperoleh hasil sumbangan keluarga, rakan dan orang ramai.
“Terkejut juga bila doktor memaklumkan kos yang diperlukan untuk suntikan berkenaan.
“Namun, saya bersyukur kerana ramai prihatin dan berterima terima kasih kepada semua yang menghulurkan sumbangan.
“Selain sumbangan itu, saya turut berikhtiar dengan cara lain antaranya dengan memohon bantuan Lembaga Zakat Selangor, Tabung Pesakit Kementerian Kesihatan (KKM) dan platform pendanaan awam dalam talian, Kitafund.
“Diharapkan, usaha itu berhasil kerana apa yang saya mahukan adalah melihat Nur Raysha sembuh,” katanya.
Bagi yang ingin menghulurkan bantuan, orang ramai boleh menghulurkan sumbangan ke akaun RHB, 11816100032652 atas nama Mohd Nizrul Abdul Khair.
Sumber: Harian Metro