Alahan ubat berlaku apabila seseorang mengalami reaksi yang negatif terhadap ubat-ubatan yang diambil. Apabila anda ada alergik ubat, sistem imun badan akan cuba untuk melawan alergi tersebut dengan mencetuskan tindak balas tertentu.
Walau bagaimanapun, bukan semua alergik ubat adalah berbahaya. Kadangkala, reaksi alergi yang dialami tidak teruk dan akan hilang dalam masa beberapa hari.
Namun, itu bukan bermaksud alergi ubat merupakan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Ada juga reaksi alergi yang amat serius dan memerlukan pemeriksaan pakar secepat mungkin.
Alahan ubat dalam kalangan kanak-kanak
Alahan ubat akan jadi semakin teruk jika yang mengalaminya adalah kanak-kanak. Simptom seperti ruam, gatal-gatal, cirit-birit merupakan antara tanda anak anda mempunyai alahan ubat.
Namun, ibu mana yang tidak keliru ketika anak mereka diserang alahan. Sebagai ibu bapa yang prihatin, pasti pelbagai soalan bermain di minda anda.
Sebagai contoh, ibu bapa pasti tertanya-tanya sama ada reaksi yang dialami anak disebabkan oleh alahan atau kesan sampingan ubat? Perlukah anda hentikan pemberian ubat tersebut ataupun tidak?
Tenang! Semua persoalan ini sebenarnya boleh dijawab dengan baik oleh doktor yang merawat anak anda.
Walau bagaimanapun, doktor mungkin perlu melakukan lebih banyak ujian untuk menentukan sama ada anak anda mengalami alahan ataupun tidak.
Apakah simptom alahan ubat?
Selalunya, simptom yang lazim untuk alahan ubat ialah gatal-gatal, ruam, sesak nafas dan bengkak pada kawasan muka, tangan atau kaki.
Kadangkala, pesakit mungkin akan mengalami simptom lain seperti muntah-muntah, cirit-birit dan pening kepala.
Tetapi, bagaimana hendak pastikan simptom tersebut berlaku disebabkan alahan ubat?
Untuk pengetahuan anda, reaksi alergi akibat alahan berlaku dalam masa 2 jam selepas pemberian sebarang ubat-ubatan.
Walau bagaimanapun, tidak mustahil untuk ibu bapa jadi terkeliru antara reaksi alergi dan sakit biasa.
Oleh sebab itu, penting untuk ibu bapa membawa anak mereka berjumpa doktor sejurus selepas si kecil mengalami simptom-simptom di atas.
Bukankah lebih mudah jika elakkan ubat pada masa hadapan?
Tidak semudah itu! Ibu bapa perlu tahu ubat seperti penicillin, amoxicillin dan Augmentin adalah antara antibiotik yang lazim dibekalkan kepada kanak-kanak jika mereka mengalami sebarang jangkitan.
Jika anda mengelakkan ubat-ubatan ini, doktor mungkin terpaksa memberi preskripsi antibiotik yang kurang efektif tetapi lebih mahal atau antibiotik yang mempunyai spektrum yang lebih luas.
Antibiotik yang mempunyai spektrum yang lebih luas boleh membunuh lebih banyak bakteria. Namun, ia juga boleh menyebabkan bakteria jadi semakin rintang terhadap antibiotik tersebut.
Anak anda mungkin sebenarnya tidak mengalami alahan ubat
Selain itu, hampir 90% ibu bapa yang fikir anak mereka mengalami alahan sebenarnya sihat dan tidak mengalami alergik ubat seperti yang mereka sangka.
Statistik di atas dikuatkan lagi dengan dapatan dalam sebuah kajian yang diterbitkan di dalam jurnal Paediatrics.
Di dalam kajian tersebut, pakar telah menjalankan ujian ke atas 100 kanak-kanak yang dikatakan mengalami alahan oleh ibu bapa mereka.
Walau bagaimanapun, kanak-kanak ini berada di bawah kategori ‘risiko rendah’. Mereka mengalami simptom seperti gatal-gatal, muntah, loya, hidung berair dan batuk-batuk setelah mengambil ubat seperti antibiotik.
Malah, kajian ini turut melibatkan kanak-kanak yang dikatakan mengalami alergi disebabkan faktor genetik atau secara turun-temurun.
Apa yang memeranjatkan, setelah doktor melakukan ujian, mereka mendapati tidak ada seorangpun kanak-kanak tersebut mengalami alergik ubat!
Kesimpulan
Alergik ubat merupakan satu keadaan yang sangat serius, lebih-lebih lagi jika ia berlaku kepada kanak-kanak.
Ibu bapa manalah yang sanggup melihat anak kesakitan disebabkan reaksi alergi. Oleh sebab itu, jika anak anda menunjukkan sebarang tanda alahan ubat atau reaksi negatif, pastikan anda berjumpa dengan doktor secepat mungkin.
Dengan bantuan pakar, kondisi anak anda dapat diteliti. Doktor juga boleh menentukan sama ada anak anda mengalami alahan ataupun tidak setelah melakukan diagnosis yang bertepatan.
_
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Dah masuk hujung tahun ni, biasanya mama papa pasti buat persediaan anak-anak masuk ke sekolah. Apa yang patut kita nak buat supaya anak-anak tak kekok dan teruja nak ke sekolah?
Jom ikuti perkongsian ilmu bermanfaat dari Dr Tengku Putri Zainab Ab Malek (Pakar Perunding Pediatrik), Pn Nurul Sheriena Musa (Konsultan Perkembangan Kanak-kanak & Terapis Cara Kerja) serta sharing dari selebriti Yana Samsudin bagaimana dia melatih anaknya untuk belajar tiga bahasa. Daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/tip-a-z-anak-ready-ke-sekolah/