Proses anak-anak kecil kita membesar adalah waktu paling menggembirakan. Sebagai ibu bapa, kita seharusnya mencorakkan momen indah dan penuh kegembiraan buat mereka. Sesekali berbelanjalah lebih buat anak-anak. Belikan mainan atau buku-buku kegemaran mereka. Malah belikan sahaja makanan kegemaran mereka asalkan tidak memudaratkan.
Jangan berkira dengan isteri dan anak-anak. Inilah kunci kepada kebahagiaan dan rezeki yang berpanjangan. Perkongsian suami ini, Zul Fikarullah yang berkongsi pesanan isterinya banyak benarnya dalam kehidupan kita. Ya benar, jangan pernah berkira dengan anak-anak dan isteri kita. Hati lebih terasa bahagia bila melihat anak-anak dan isteri gembira.
Isteri saya selalu cakap,
“Jika rasa nak makan sesuatu, beli je bang, duit boleh cari tapi esok belum tentu kita hidup lagi.”
“Kalau anak nak makan pun beli je bang. Selagi mereka sihat dan ada selera nak makan tu, penuhilah keinginan mereka. Rezeki kan Allah yang bagi.”
“Jika sedara mara datang melawat, belanjalah mereka makan sedap sekali sekala. Bukan selalu mereka datang melawat.”
Saya ni jenis orang yang jimat cermat, Itu dalam bahasa murninya, dalam bahasa realitinya kedekut amat, dengan diri sendiri juga berkira. Tetapi saya bersyukur sebab Allah bagi saya seorang isteri yang sangat pemurah.
Duitnya banyak dihabiskan kepada orang lain berbanding dirinya.
Kini saya latih diri untuk nikmati hidup ini sebaik-baiknya. Jika terasa nak makan Subway, saya akan terus beli dan makan. Terasa nak minum Cappucino Costa Coffee maka saya akan terus beli dan nikmati kopi tersebut.
Jika ada masa free, saya bawa anak-anak pergi berjalan walaupun duit tak berapa ada. Cuba lawan perasaan resah tentang duit akan habis. Sekali-sekala belanja kawan-kawan tanpa mengharapkan apa jua balasan. Saya belajar untuk terus memberi dan memberi.
Saya buat perlahan-lahan walaupun terkadang hati runsing memikirkan tentang baki duit yang ada. Saya juga manusia biasa.
Setiap kali hati berasa resah, saya akan bayangkan wajah cinta hati dan ingat kembali kata-kata isteri saya bahawa rezeki itu Allah bagi. Usah takut.
Itulah hebatnya seorang wanita yang bernama isteri. Hebat mana pun seorang lelaki itu pasti ada wanita yang hebat dibelakangnya.
Saya bukan orang yang hebat. Masih banyak kekurangan yang diri ini sedang berusaha untuk perbaiki.
Usahlah berkira demi keluarga tercinta. Usah terlalu simpan duit, bimbang kita tidak sempat merasainya.
Imam Ghazali yang dirahmati Allah ada menyebutkan bahawa rezeki seseorang itu ada 3, iaitu
1. Apa yang dimakan
2. Apa yang dipakai
3. Apa yang disedekahkan
Itu yang sebenar-benarnya rezeki bagi setiap orang. Duit yang disimpan itu belum tentu menjadi rezeki kita. Kita hanya tolong simpankan sahaja. Ianya mungkin rezeki mekanik, rezeki doktor atau rezeki anak.
Usahlah terlalu berkira dengan anak isteri. Sebenarnya apa yang kita perolehi hari ini berkait rapat dengan mereka juga. Doa mereka mungkin asbab atas rezeki yang sedang kita perolehi.
Cubalah untuk tunaikan apa yang anak isteri inginkan, insyaAllah, Allah akan membalasnya berlipat kali ganda lagi dari nilai yang kita belanjakan.
Usah juga dilupakan jasa ibu bapa yang membesarkan kita. Usah berkira dengan mereka. Kita berjaya hari ini adalah asbab dari pengorbanan mereka jua. Tidak ada banyak, bagilah sedikit.
Sesungguhnya sampai mati kita tidak akan mampu membalas jasa mereka. Usah sesekali rasa diri sudah mampu balas jasa ibu bapa. Tidak pernah sama.
Senyuman dan kegembiraan mereka itu juga adalah nikmat yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Bahagiakanlah mereka selagi masih berpeluang untuk berbuat demikian.