Anak Pencinta Bunga & Tanaman, Biar Minat Anak Bercambah, Galak & Sokonglah!

Share

Anak kita berbeza-beza. Ada yang takut pada binatang, ada pula yang pencinta haiwan. Minat dan kemahuan anak-anak kecil bukan dipaksa tetapi adalah naluri mereka sendiri. Kita sebagai ibu bapa harus menyemai minat anak-anak kecil ini untuk mereka meneroka lebih jauh lagi.

Perkongsian saudara Yaqzan Yaziq mengenai anaknya yang cukup sukakan pada tanaman, bunga dan haiwan ini sememangnya cukup unik. Maka bantulah anak kita untuk mengembangkan minatnya. Bukan hanya mampu mencipta bonding bahkan banyak manfaat lain dalam mendorong minat anak, lebih-lebih lagi yang suka menanam pokok dan cintakan alam.

Tip yang dikongsikan ini boleh mak ayah jadikan panduan untuk membantu minat anak.


Anakanda ini sifatnya naturalist. Habis semua pokok, bunga dan haiwan ditanyanya. Ayahanda bukannya tahu sangat, banyak kena google dan gebang.

Ini Auni Al Humayraa’ binti Mohammad Yaqzan. Umurnya 5 tahun. Di rumah dipanggil kakak. Di luar dipanggil Auni. Di tadika dipanggil Humayraa’. Di kisah media sosial dipanggil anakanda.

Jangan salah faham. Anakanda memang memanggil ayahnya ayahanda dan ibunya bonda. (Saya berjiwa klasik).

Ini suatu momen di Taman Tasik Cempaka. Pagi yang segar, disebabkan demam on off kerana virus, saya rehatkan beliau dan bawa beliau berjogging di taman.

2020 ini saya telah berjaya capai satu impian apabila mula bekerja sendiri untuk Dewdemy. Saya sudah ada banyak masa berkualiti dengan anak.

Seronok betul bila jumpa bunga kemboja. Anakanda panggil bunga sakura (sebab asalnya ayahnya tak tahu nama bagitahu je lah nama bunga sakura 🤣) Habis semua bunga yang gugur dikutipnya, masuk dalam beg Ayahanda!

Tahun lepas kami buat projek jurnal tanaman. Projek Jurnal Tanaman ini sesuai untuk anak naturalis.

1. Beli biji benih pelbagai jenis yang senang dan cepat tumbuh di Eco Shop seperti bayam, kangkung, sawi dll.

2. Beli set alatan menanam di Eco Shop juga.

3. Beli baja dan tanah sesuai.

4. Beli cawan plastik, buat isi tanah dan baja.

5. Sediakan timeline projek. Diskas secara matang dengan anak tentang misi projek dan hasil yang mahu dicapai.

6. Dari hari pertama, buat bersama anak gaul tanah dan baja, cucuk lubang pada cawan, tanam biji benih dan siram. Serta label jenis pokok.

7. Ajar anak siram sendiri setiap pagi sebelum ke sekolah dan petang selepas pulang, hingga menjadi rutin.

8. Sediakan buku sketch. Suruh anak lukis apa-apa perubahan berlaku, hari demi hari. Buat seperti jurnal.

9. Bila benih bercambah anak memang rasa sangat puas dan suka. Lukis lagi dan track lagi hari demi hari.

10. Pupuk rasa kasih sayang pada alam. Pupuk rasa ingin tahu dan belajar bersama sekalipun guna google dan youtube.

11. Sentiasa memuji anak. Peluk dan high five. Sentiasa dorong anak setiap kali berbuat baik kepada tumbuhan.

12. Dilarang marah. (Aku pantang parents marah anak perkara bodoh depan khalayak ramai)

Tamatkan timeline projek. Anak memang seronok lihat hasilnya sebab anak track dan follow up hari demi hari.

Kembangkan lagi ilmu anak. Cerita asal usul sayuran setiap kali mahu memasak dan beli barang di pasar. Ada masa saya tulis lagi.

Yang penting, ibubapa mesti turut serta. Letaklah sekejap laptop di tepi, file kerja di meja dan phone di tangan, fokus sejenak 200% untuk anak.

 

Tidak lama tidak mengapa. Yang penting masa berkualiti walaupun sedikit.

Kita tidak kaya. Kita tidak berpangkat besar. Tetapi kita punya harta anak yang tiada tanding nilainya.

“Setiap anak adalah bintang dengan caranya sendiri. Tergantung kita orang tuanya, bagaimana menemukan bintang itu dalam diri anak. Karena tak jarang orang tualah yang memadamkan sinar bintang anaknya sebelum bintang itu benar-benar terlihat bersinar”
– Bunda Erysha

Yaqzan Yazed
Ini cerita tentang Big Why

Artikel berkaitan: Belikan Anak 1 Pokok Kecil, Bagi Dia Jaga & Semai Cara Untuk Ajar Anak Erti Sabar

Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
SRM