Anak perempuan boleh jadi asbab mak ayah masuk syurga. Dalam Islam, kedudukan anak perempuan diangkat tinggi dan diberi keistimewaan yang besar. Rasulullah SAW telah mengajarkan umatnya untuk menghargai dan memuliakan anak perempuan, kerana mereka boleh menjadi asbab kepada ibu bapa untuk masuk syurga.
Tanggungjawab menjaga dan mendidik anak perempuan bukan sahaja suatu kewajipan, tetapi juga satu amanah yang mendatangkan ganjaran besar di sisi Allah SWT. Dengan membimbing anak perempuan ke arah ilmu pengetahuan dan keimanan, ibu bapa bukan sahaja menyediakan anak-anak mereka untuk dunia, tetapi juga untuk akhirat. Anak perempuan yang berakhlak mulia dan berilmu tinggi akan terus memberi manfaat kepada ibu bapanya, bahkan setelah ibu bapa mereka tiada lagi di dunia ini.
Ustaz Khairul Anuar Basri berkongsi tentang kisah mak ayah yang ada anak perempuan. Kenapa anak perempuan ini perlu dikasihi, dijaga dengan baik. Sebab mereka boleh jadi asbab untuk mak ayah masuk ke syurga.
Kongsi Ustaz,
Semalam saya berbual dengan seorang Ustaz ni tentang anak perempuan.
Biasanya kita dengar, ibu bapa sahaja asbab anak-anak masuk syurga.
Rupa-rupanya, anak perempuan ni boleh jadi asbab ibu bapa masuk syurga tau!
Nak tahu tak macamana?
Macam ni…
Anak-anak ni kan anugerah terindah dari Allah buat pasangan yang telah berumahtangga. Setiap pasangan suami isteri menginginkan zuriat, tak kiralah lelaki atau perempuan.
Ada pasangan suami isteri yang dikurniakan Allah SWT zuriat yang ramai. Ada juga sebahagian pasangan suami isteri yang tidak dikurniakan zuriat langsung.
Kedua-dua baik di sini Allah dan mempunyai kelebihan masing-masing.
Zaman jahiliyyah dulu, anak-anak perempuan dibunuh. Bila isteri bersalin saja, berita baik akan bertukar buruk bila anak yang dilahirkan itu perempuan.
Muka si ayah akan kehitaman menahan marah dan malu. Nak pelihara anak tersebut dan dapat malu ke nak tanam anak tu hidup-hidup [Surah An-Nahl, ayat 58 & 59].
Sampai macam tu sekali keadaanya bila dapat anak perempuan.
Tapi, bila Islam datang, Islam mengangkat darjat dan martabat orang perempuan.
Rasulullah SAW Pesan Jaga Elok-elok Anak Perempuan
Rasullullah SAW sendiri pesan; jaga elok-elok anak perempuan, jaga elok-elok anak perempuan.
So, pagi ini saya yang berkongsi serba-sedikit bagaimana ibu bapa boleh memanfaatkan anak-anak perempuan sebagai jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Pelindung dari api neraka.
Bila ibu bapa yang berjaya mendidik anak-anak perempuannya dengan baik, maka anak-anak perempuannya itu akan menjadi pelindung dari api neraka di akhirat kelak.
Tanda-tanda didikan yang baik akan kelihatan pada akhlak mulia anak-anak perempuan tersebut.
Hatinya lembut.
Percakapannya baik.
Auratnya terpelihara.
Pergaulannya terjaga.
Berbakti kepada kedua orang tua.
Sabda Rasulullah SAW; Siapa yang diuji dengan kehadiran anak perempuan, maka anak itu akan menjadi pelindung baginya dari api neraka [Hadith riwayat Ahmad].
Dekat dengan Rasulullah SAW.
Ibu bapa yang sabar menanggung nafkah anak-anak perempuannya sehingga mereka baligh, akan duduk berdekatan dengan Rasulullah SAW di hari akhirat kelak.
Rasulullah SAW menunjukkan jari-jemarinya yang dirapatkan kepada para sahabat RA untuk membuktikan betapa dekatnya ibu bapa tersebut dengan Baginda SAW.
Sabda Rasulullah SAW; Siapa yang menanggung nafkah 2 anak perempuannya sampai baligh, maka pada hari kiamat antara saya dan dia seperti ini, lalu Baginda SAW menggabungkan jari jemari
Baginda SAW [Hadith riwayat Muslim].
Jalan masuk ke dalam syurga.
Ibu bapa yang menjaga anak perempuannya dengan baik :
Tidak menanamnya hidup-hidup (seperti orang kafir jahiliyyah).
Malah tidak menghinanya.
Tidak membezakannya dengan anak lelaki yang lain.
Allah akan masukkan ibu bapa tersebut ke dalam syurga.
Sabda Rasulullah SAW; Siapa yang memiliki anak perempuan lalu dia tidak menanamnya hidup hidup, tidak menghinanya dan tidak lebih mengutamakan anak lelakinya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga @[Hadith riwayat Abu Daud].
Pelindung di hari kiamat.
Anak perempuan ini banyak ujiannya. Jika ibu bapa dapat :
Bersabar. Memberi makan dan minum dengan baik. Menyediakan pakaian yang secukupnya.
Maka, semua usahanya itu akan menjadi penyelamat bagi mereka di akhirat kelak.
Sabda Rasulullah SAW; Siapa yang memiliki 3 anak perempuan, lalu dia bersabar, memberinya makanan, minuman dan pakaian dari hasil usahanya, maka semuanya akan menjadi pelindungnya pada hari kiamat [Hadith riwayat Ibnu Majah]?
Asbab untuk berbuat kebajikan.
Anak-anak perempuan, bukan saja perlu disantuni dengan kasih sayang ketika mereka masih kecil, tetapi juga perlu diperlakukan dengan baik walaupun mereka telah dewasa.
Balasan syurga akan menanti ibu bapa yang tetap melayan anak-anak perempuan mereka dengan baik walaupun anak-anak perempuan tersebut telah dewasa dan berkahwin.
Sabda Rasulullah SAW; Tidaklah seorang muslim yang memiliki 2 anak perempuan yang telah dewasa lalu dia berbuat baik pada keduanya kecuali akan dimasukkan ke dalam syurga.
Jadi para ibu bapa sekelian, jom kita beri perhatian yang lebih terhadap anak-anak perempuan kita.
Mereka boleh jadi pelaburan akhirat yang baik untuk kita, dengan syarat kita mendidik mereka dengan baik, menjaga mereka dengan penuh kasih sayang dan menyantuni mereka dengan santunan yang terbaik.
Sumber: Khairul Anuar Basri
Kredit foto: Instagram Fizz Fairuz
Baca artikel lain juga: Anak Perempuan Suka Perhatikan Apa Saja Yang Ibunya Buat, Patutlah Perangai Sama
Anak Perempuan Rapat Dengan Ayah, Tak Nak Berenggang. Ini Sebab Kena Tahu!
Ikhtiar Dapatkan Anak Perempuan, Doktor Ini Kongsikan Cara Boleh Buat. Ada 2 Syarat Penting!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my