Ada sebabnya kenapa anak perempuan perlu rapat dengan ayah sejak dari kecil. Bukan hanya berperanan sebagai hero yang melindungi, tapi sebagai pembentuk karakter hebat.
Tidak dapat disangkal lagi pengaruh seorang ayah sangat kuat kepada pembentukan diri anak perempuan. Kalau betul cara dan didikannya, anak perempuan boleh jadi wanita yang hebat & berkeyakinan diri. 5 tips yang dikongsikan ini boleh dijadikan panduan.
Ayah, watak lelaki pertama yang hadir dalam diri anak perempuan. Ayahlah lelaki pertama dalam hidup anak perempuan, yang mempunyai perkaitan yang rapat dan memberikan pengaruh besar dalam segenap segi dalam kehidupan pada masa akan datang.
Jadi, ia bukanlah sekadar hubungan biasa-biasa. Kalau nak anak perempuan menjadi orang hebat, si ayah mesti mulakan dari awal lagi. Kaunselor, Puan Farhan berkongsi tentang hal ini. Pengalamannya sendiri turut dikongsikan bagi memberikan gambaran yang jelas tentang perkaitan antara hubungan anak perempuan dan ayah serta kasih sayang yang tertanam dalam diri anak kepada ayahnya. Berikut ialah perkongsian beliau;
[Pengaruh ayah kepada anak perempuan]
“Ibu, kakak nak kahwin dengan abi”
“Hahh..heyy mana boleh, abi tu kan suami ibu”
“Haaa, tak kira kakak nak kahwin juga dengan abi…?”
Dialog saya diatas bersama Aufa berakhir begini
“Kakak, dengar sini. Kakak tak boleh kahwin dengan abi. Tapi kakak boleh kahwin dengan orang yang sama karakter dengan abi”
“Lepastu Aufa boleh kahwin dengan siapa?”
” Erm, contohnya kawan kakak kan ada. Kawan boleh. Yang penting bukan ahli keluarga macam abi, dan adik”
“Owh, macam tu.Ok ibu” Kata Aufa sambil malu malu kucing.
Dialog di atas adalah perbualan saya dan Aufa tempoh hari. Tidak pelik pun apabila anak perempuan yang masih KECIL berkata begitu. Sebenarnya, apa yang dia katakan itu merujuk kepada rasa kasih dan sayang yang tidak berbelah bagi seorang anak kepada ayahnya.
Kiranya tidak ada lelaki lain yang boleh menandingi ayahnya.
#1: TEMPAT BERPAUT
Seorang ayah yang penyayang dan baik akan memberi impak yang sangat besar kepada seorang anak perempuan. Tahukah anda, seorang anak perempuan sangat memerlukan figure seorang ayah yang baik dan bertanggungjawab untuk dia berpaut.
#2: HERO YANG SENTIASA MELINDUNGI
Anak perempuan yang membesar dengan seorang ayah yang mempunyai ciri ciri di atas akan sangat rapat dengan ayahnya. Sebelum datang lelaki lain (iaitu suami) ayah lah adalah lelaki yang paling utama dalam hidupnya. Baginya ayah adalah hero yang akan sentiasa menjaga dan melindunginya. Kehadiran ayah itu akan membuat dia merasa selamat.
#3: BERI PUJIAN SUPAYA JADI YAKIN
Fungsi ayah juga adalah untuk menyokong proses anak perempuan membesar. Segala bentuk belaian, kata-kata pujian ini akan membentuk seorang anak perempuan yang kuat dan mempunyai keyakinan terhadap dirinya.
#4: ELAK MASALAH FATHER-HUNGER
Anak perempuan yang membesar tanpa sentuhan seorang ayah akan mengalami masalah father-hunger. Dimana anak ini akan membesar menjadi seorang anak yang sentiasa dahaga kasih sayang seorang ayah. Hasilnya dia akan tercari cari sentuhan itu melalui orang sekeliling contohnya teman lelaki.
Malang sekali, mengikut satu kajian, anak perempuan yang tidak mendapat sentuhan seorang ayah akan menjadi gopoh dan tergesa gesa dalam mencari kasih sayang yang hilang itu.
Akibatnya mereka mudah menyerah kepada lelaki yang memberi perhatian kepada mereka. Hasilnya mereka lebih mudah terlibat dengan hubungan luar nikah dan aktiviti yang tidak bermoral bersama seorang lelaki yang pada sangkaannya adalah tempat dia meneguk kasih sayang yang dia tidak berjaya dapat melalui seorang ayah. Namun hakikatnya bukan.
#5: MENJADI KAYU UKUR
Situasi ini berbeza dengan anak perempuan yang sudah cukup kasih sayang seorang ayah. Selain lebih yakin, mereka juga akan lebih berhati hati dalam mencari kasih sayang seorang lelaki selain ayahnya. Ayah akan menjadi kayu ukur kepada pemilihan yang akan dilakukan untuk memilih teman hidupnya.
Seandainya ayahnya seorang yang suka berjenaka, dia akan mencari lelaki yang juga suka berjenaka.
Seandainya ayahnya seorang yang suka membantu membuat kerja rumah, dia juga sedaya upaya akan mencari lelaki yang rajin membuat kerja rumah.
Tak dapat banyak pun sedikit.
Hasilnya anak ini akan lebih bahagia dalam kehidupannya.
Begitulah pentingnya watak seorang ayah dalam hidup seorang anak perempuan.
Jadi ibu ibu, sentiasalah berpesan kepada pasangan anda agar menunjukkan contoh terbaik kepada anak perempuan agar dimatanya ayah adalah hero dan segalanya untuk dia.
Untuk anak perempuan yang mungkin sudah kehilangan ayah, watak lelaki lain seperti bapa saudara dan datuk masih boleh menjadi hero kepada mereka. Asalkan namanya itu lelaki.
[Lepas baca, jangan lupa pesan pada suami masing ya]
Sumber: Puan Farhan
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI