
Kadang bila kita sibuk, kita hulurkan telefon pada anak. Suruh dia tengok video supaya kita boleh siapkan kerja. Kadang bila anak merengek, kita buka kartun untuk tenangkan dia. Lama-lama, anak mula cari skrin dulu sebelum cari pelukan.
Kita tak salah. Kita manusia biasa yang penat, perlukan ruang, dan buat apa yang termampu. Tapi penting untuk kita ingat, anak kecil perlukan sentuhan fizikal lebih daripada apa-apa. Pelukan, ciuman, belaian rambut — semua tu adalah bahasa cinta yang paling difahami oleh hati anak.
Setiap kali kita peluk anak, badan dia hasilkan hormon oksitosin. Itu hormon kasih sayang. Hormon yang buat dia rasa selamat, diterima dan disayangi. Bila kita peluk anak waktu dia marah, hormon tu bantu dia tenang. Bila kita peluk dia waktu dia sedih, hormon tu bantu dia rasa okay.
Anak yang selalu dipeluk lebih mudah kawal emosi. Dia kurang meragam. Dia lebih yakin diri. Tapi yang paling penting, dia tahu siapa tempat dia berpaut bila dunia dia tak stabil.
Gajet bukan musuh. Tapi kalau ia jadi pengganti pelukan, itu bahaya. Kita tak boleh lawan teknologi, tapi kita boleh seimbangkan. Bila anak bangun pagi, peluk dulu sebelum hulur susu. Bila dia balik dari sekolah atau taska, peluk dia dulu sebelum tanya soalan. Bila dia nak tidur, peluk dia lama-lama. Biar dia rasa kehadiran kita melekat dalam hati dia.
Anak-anak kita sedang membesar dalam dunia yang makin laju. Tapi mereka tetap perlukan ruang untuk rasa dicintai tanpa syarat. Dan cara paling mudah untuk tunjuk cinta tu ialah peluk — dengan hati yang penuh kasih.
Tak ada ibu bapa yang sempurna. Tapi pelukan yang ikhlas tak pernah gagal untuk sembuhkan hati kecil anak yang sedang belajar faham dunia.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak Lasak, Tak Nak Duduk Diam, Itu Tanda Dia Makin Bijak, Mama & Papa Banyakkan Sabar

Bila anak lasak dan tak nak duduk diam itu tandanya mereka semakin bijak. Mama dan papa usahlah marah bila anak lasak. Banyakkan bersabar. Mama dan papa sepatutnya bersyukur sebab anak lasak itulah tanda bahawa tumbesaran minda, sensori dan emosi anak sihat dan sedang pesat dinaik taraf.
Anak Lasak, Tak Nak Duduk Diam, Itu Tanda Dia Makin Bijak
Ya memang tak dinafikan bila anak mula lasak, mama dan papa akan mudah letih dan akhirnya melenting. Mana tidaknya, ada-ada sahaja perkara yang ingin dilakukan si anak sampai tak terkejar mama dan papa dibuatnya.
Ketahuilah mama dan papa, semakin lasak anak, makin bijaklah mereka. Jika anak tak lasak, ketika itulah kita patut marah.

Mama & Papa Banyakkan Sabar
1 – Bila anak anak tak aktif, tak melompat, tak berguling, asyik duduk mengadap gajet itu bahaya. Lima sensori penting seperti penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau dan rasa boleh tumpul dan terbantut perkembangannya.
2 – Anak cuma ada masa 6 tahun sahaja dari 0 – 6 tahun untuk membentuk 90 peratus dari keseluruhan otak mereka. Tak aktif masa ini maka makin kecil dan makin lemah prestasi otak mereka berbanding anak-anak yang lasak dan gasak selama 6 tahun pertama.
3 – Otak emosi (amygdala) adalah otak pertama yang anak anak ada. Mereka belum boleh berfikir secara rasional lagi, sebab itu mereka tidak boleh dimarah dan dihukum bila buat salah. Sebaliknya kita yang sudah matang fikiran ini yang kena banyak bersabar dan tunggu sehingga otak fikir (cortex) mereka mula aktif pada umur 7 tahun ke atas baru boleh marah dan hukum.

4 – Lasak dan gasak itu fitrah kanak kanak. Mereka tak belajar dari dengar nasihat dan arahan, mereka belajar dengan teroka dan alami sendiri rangsangan dari tubuh mereka. Tubuh adalah alat belajar utama mereka.
5 – Kita patut marah pada diri sendiri jika kita letak mindset bahawa anak yang “baik” akan selalu dengar kata dan senang duduk diam. Sebaliknya itu tanda ada gejala 3F ( Fight, Flight, Freeze ) yang sedang berlaku dalam otak mereka.
Kelasakan dan keganasan anak anak itu bukan malapetaka tapi itu adalah mukjizat besar dalam kehidupan mereka.

Ini kerana kelasakan dan keganasan itulah yang akan membantu anak kita menguatkan otot, mendewasakan tubuh dan mematangkan fikiran mereka menjadi anak yang lebih sihat fizikal dan mental.
Masalahnya ialah kita mampu ke tidak nak melayan kelasakan anak-anak ini. Tenaga mereka ini, bukan ‘biasa-biasa’ banyak ya amat tenaga, tak reti penat, gunung pun boleh terbalik kalau dapat pada mereka.
Nak tak nak, kita kenalah bersenam, mula jaga pemakanan dan tambah stamina dari sekarang. Bila kita tak cepat letih, maka tak adalah kita cepat nak marah-marah nanti. Sabar perlukan kekuatan!
Kredit: Mohd Fhais, Parenting Influencer
Artikel berkaitan: Anak Nakal & Lasak Itu Normal, Tapi Lasak Jenis Ni Mak Ayah Perlu Lebih Perhatian, Jangan Biarkan!
Lain Macam Aura Anak Lelaki. Memang Lasak, Tapi Cukup Sayang Ibu Dia!
Anak Tengah Lasak, Bersepah Tandanya Dia Sihat. Tahu Cara Ni, Mudah Urus!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tip Bercakap Dengan Anak Bawah 2 Tahun, Rangsang Kemahiran Komunikasi Awal

Tip bercakap dengan anak bawah 2 tahun, rangsang kemahiran komunikasi awal. Bercakap dengan anak di bawah usia 2 tahun adalah langkah penting dalam membantu perkembangan bahasa dan komunikasi mereka.
Tip Bercakap Dengan Anak Bawah 2 Tahun
Pada usia ini, otak anak-anak adalah seperti span yang menyerap segala yang mereka dengar dan lihat.
Berikut adalah beberapa tip yang boleh membantu ibu bapa dan penjaga berkomunikasi dengan anak-anak kecil mereka dengan berkesan.

Rangsang Kemahiran Komunikasi Awal
1. Gunakan Bahasa Yang Sederhana Dan Jelas
Gunakan ayat yang ringkas dan mudah difahami. Elakkan menggunakan perkataan yang terlalu kompleks. Contohnya, jika anda mahu anak anda mengambil bola, katakan “Ambil bola” bukannya “Boleh kamu tolong ambilkan bola itu?”.
2. Bercakap Dengan Nada Yang Menyenangkan
Nada suara yang lembut dan menyenangkan akan menarik perhatian anak-anak. Mereka lebih cenderung untuk mendengar dan memberi respons apabila nada suara anda mesra dan penuh kasih sayang.
3. Gunakan Isyarat Dan Bahasa Badan
Anak-anak kecil sangat responsif terhadap isyarat dan bahasa badan. Gunakan gerakan tangan, ekspresi wajah, dan isyarat visual untuk membantu mereka memahami apa yang anda katakan. Contohnya, tunjukkan objek sambil menyebut namanya.

4. Berikan Respons Kepada Cubaan Berkomunikasi Anak
Walaupun anak anda mungkin belum dapat bercakap dengan jelas, mereka tetap berusaha untuk berkomunikasi melalui bunyi, gerakan, atau mimik muka. Berikan perhatian dan respons positif kepada setiap cubaan mereka untuk berkomunikasi.
5. Bacakan Buku Kepada Anak
Membacakan buku kepada anak adalah cara yang baik untuk memperkenalkan mereka kepada perkataan baru dan struktur ayat. Pilih buku bergambar dengan cerita yang ringkas dan menarik. Arahkan perhatian mereka kepada gambar dan sebutkan apa yang dilihat.
6. Gunakan Lagu Dan Rima Kanak-kanak
Lagu dan rima kanak-kanak adalah alat yang hebat untuk membantu perkembangan bahasa. Melalui lagu, anak-anak belajar tentang intonasi, ritma, dan perkataan baru. Menyanyi bersama mereka juga menjadikan aktiviti ini lebih menyeronokkan.
7. Berbual Sepanjang Aktiviti Harian
Gunakan setiap kesempatan untuk berbual dengan anak anda. Ketika memberi mereka makan, mandi, atau bermain, ceritakan apa yang sedang anda lakukan. Contohnya, “Sekarang kita mandi, airnya sejuk ya?” atau “Mari kita makan nasi”.

8. Berikan Pujian Dan Galakan
Berikan pujian dan galakan setiap kali anak anda berusaha untuk bercakap atau berkomunikasi. Ini akan meningkatkan keyakinan diri mereka dan menggalakkan mereka untuk terus mencuba.
9. Jadi Pendengar Yang Baik
Dengarkan anak anda dengan penuh perhatian. Tunjukkan bahawa anda menghargai setiap bunyi dan perkataan yang mereka cuba ungkapkan. Ini akan memberi mereka keyakinan bahawa komunikasi mereka penting dan dihargai.
10. Bersabar Dan Konsisten
Pembangunan bahasa adalah proses yang memerlukan masa. Bersabar dan konsisten dalam usaha anda. Teruskan bercakap dan berkomunikasi dengan anak anda setiap hari, walaupun anda tidak melihat perubahan yang cepat.
Komunikasi dengan anak di bawah usia 2 tahun adalah asas penting bagi perkembangan bahasa dan kemahiran sosial mereka. Dengan menggunakan bahasa yang mudah, nada yang menyenangkan, dan memberi respons positif, anda boleh membantu anak anda membangun kemahiran komunikasi yang kukuh sejak awal.
Ingatlah bahawa setiap anak adalah unik dan perkembangan mereka mungkin berbeza, jadi teruskan usaha dengan penuh kasih sayang dan kesabaran.
Baca artikel lain juga: Tip Cara Bercakap Dengan Anak Yang Lambat Bercakap
Dia Guna Tak Kira Masa Mata Anak Jadi Juling Akibat Main Gajet Lebih 3 Jam Sehari!
Mama, Ini Cara Elak Garang Macam Singa Bila Nak Suruh Anak Buat Sesuatu
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Mommy Is A Singa.” Anis Kiss Tegas, Suami Manjakan Anak. Gaya Parenting Lebih Balance!

Sebagai pempengaruh media sosial yang aktif berkongsi kisah dirinya dan anak-anak, Anis Kiss bukan nama asing dalam dunia digital. Anak kepada pasangan terkenal, Datuk Rosyam Nor dan Datin Runika Mohd Yusof ini punya karakter tersendiri dalam keibuan – tegas, jelas dengan prinsip, dan komited dalam mendidik anak-anak agar membesar sebagai individu yang berdikari dan yakin diri.

Didik Dua Anak, Dua Gaya
Membesarkan dua anak dengan karakter yang sangat berbeza bukan satu tugas mudah. Si abang, Raees Mikael mempunyai sifat lembut, penyayang dan senang diurus, manakala si adik, Nur Hulya Tihani pula lebih bebas, aktif dan suka mencuba benda baru.

Anis memahami bahawa setiap anak ada ‘bahasa’ sendiri dan sebagai ibu, dia perlu fleksibel dalam pendekatan – satu proses yang membentuknya jadi lebih sabar dan tajam dalam memahami keperluan anak-anak.
Berdikari Itu Warisan Darah
Anis membesar dengan melihat seorang wanita cekal mengurus keluarga – ibunya. Dalam keadaan ayah sering di luar kawasan kerana komitmen kerja, ibunya memainkan peranan tunggal di rumah. Dari situ, Anis belajar bahawa kekuatan wanita bukan terletak pada fizikal semata-mata, tapi dari semangat dan kemampuan untuk bangun dan teruskan hidup walau sendirian.
Ayah Jauh Di Mata, Dekat Di Jiwa
Walaupun tidak selalu berada di sisi kerana kerja, figura seorang ayah tetap besar dalam hidup Anis. Setiap detik bersama ayahnya menjadi sangat berharga – dari saat kecil hingga dewasa.

“Yang paling saya ingat, masa duduk di rumah kondo. Papa baru balik dari shooting. Selalu mama yang hantar, tapi papa berkeras nak hantar.”
Dia belajar bahawa kasih sayang itu tidak semestinya ditunjukkan setiap hari, tapi melalui usaha dan pengorbanan yang diam-diam tapi bermakna.
“Saya rasa kasihan sangat bila tengok papa penat macam tu, rasa sedih. Tulah yang buat saya salute mama sebab dia boleh buat semuanya sendiri.”
Gajet Perlu Pantau, Bukan Bebas Tanpa Sempadan
Sebagai ibu generasi digital, Anis tak menolak keperluan screen time dalam kehidupan anak-anak. Tapi semuanya perlu dengan kawalan. Kandungan ditapis, masa dihadkan, dan disiplin tetap jadi tunggak utama. Bila perlu, gajet akan ‘disorok’ sebagai satu bentuk pengajaran.

“Kalau anak tantrum nak phone, saya akan sorok seminggu dan tak bagi mereka Tapi ni cara saya lah.”
Baginya, teknologi bukan musuh – tapi ia perlu diurus dengan bijak, supaya anak-anak membesar dengan seimbang antara dunia digital dan realiti.
“Secara jujurnya, saya memang beri anak untuk tengok phone tapi saya pantau. Kalau saya nampak apa yang saya tak suka, saya akan terus block. Sebab jujurnya susah untuk saya kalau saya tak bagi lagi pula kalau anak duduk bersama sepupu yang lain.”
Top Mom Influencer Pa&Ma 2025 melihat kekuatan Anis bukan hanya pada gaya hidup atau statusnya sebagai anak selebriti, tetapi pada nilai keibuan yang dia bawa – real, penuh disiplin, dan berpaksikan kasih sayang.
Dalam dunia penuh perubahan, Anis berdiri teguh sebagai seorang ibu yang mendidik bukan sekadar dengan kata-kata, tapi dengan contoh hidupnya sendiri.
Tonton video ini;
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


