Anak Pertama Yang Indah & Teristimewa. Dialah Pembuka Rezeki & Jadikan Diri Lebih Sabar

Share

Apabila kita hamil anak kedua dan seterusnya, maka anak pertama akan jadi sasaran kemarahan kita. Letih melayan macam-macam karenah yang menyakitkan hati. Maka kita tengking-tengking dan marah, kita cubit dan pukul.

Kemudian di malam hari kita mula sebak melihat wajah kecil, mula menyesal dan taubat, lalu berharap dan berjanji kita tak buat lagi. Namun di lain hari, kita lupa dan mengulangi.

Ingatlah bahawa yang pertama itu yang paling istimewa. Dialah tempat kasih pertama tercurah, Dialah peneman tatkala sunyi dan lara. Dialah penghibur tiada pengganti. Dialah yang pertama menghuni rahim mulia ini.

Sudah-sudahlah kita marahkan dia kerana kita yang tersilap mendidik. Kita yang salah, kita yang belum pandai. Ingatlah sentiasa, si kecil ini adalah ujian untuk membawa kita ke syurga mahupun neraka.

Dia permata hati, pengikat kasih sayang, melaluinya Allah salurkan rezeki tak putus-putus, Allah kuatkan semangat dan sabar kita, Allah buatkan kita rajin usaha dan yakin dengan janji Allah.

Ajarlah dia tentang tauhid, membesarkan Allah. Ajarkan dia takut hanya kepada Allah. Mohon apa sahaja hanya kepada Allah. Syaitan musuh yang nyata. Jangan ikut syaitan

Buat baik Allah sayang. Orang yang Allah sayang, akan masuk syurga. Sayang adik, kasihan adik, maafkan adik. Rajin belajar, Allah suka. Syukur walau dapat sedikit, orang yang syukur, Allah akan tambah lagi banyak

Pujuk dia dengan kasih sayang, doakan dia dengan kasih sayang, tegur dia dengan kasih sayang, tegas bukan tengking, tegas bukan kasar, tegas bukan cubit sakit-sakit, tampar wajahnya…Allah….kasihani dia….

Dia anak pertama, dahulu dia tiada, kita harap dia ada, lalu bila Allah beri dia kepada kita, mengapa kita tak jaga baik-baik. Mengapa mudah geram dan marah? Adakah dia menyenangkan kita atau menyusahkan kita? Jika menyusahkan, bukankah lebih baik jika Allah ambil dia semula??? Senang hati, tentu kita boleh tersenyum lebar kan….?

Wahai ibu & ayah,
Dia anak, dia penuh karenah, itulah ujian. Bukan menghukum, mendenda tak henti-henti, lalu memujuk ambil hati semula…Berdoalah dengan doa surah Al Furqan ayat 74.

Sayangi dia sepenuh hati. Sayangi dia kerana Allah. Sayangi dia bukan kerana dia baik dan dengar kata. Tapi sayangi dia kerana dia permata pertama anugerah terindah dari Allah, melaluinya kita belajar mengenal kasih tuhan….Uruskan dia dengan sabar. TAUBAT dan teruslah TAUBAT kerana kita ibu & bapa mulia yang penuh kasih sayang, bukan kasar dan bengis….

Kredit: Ustazah Noor Laila Aniza Binti Zakaria

Published by
Wan Amy