Anak Pun Dah Mula Bosan, Covid-19 Buat Psikologi Kanak-Kanak Turut Terkesan!

Share

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu dan kini memasuki Fasa Ketiga sebenarnya bukan hanya memberikan kesan kepada aktitivi dan pekerjaan seharian kita malah turut memberi kesan kepada emosi. Kanak-kanak antara yang turut terkesan dengan tempoh ini.

PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April ini sebenarnya membuat kehidupan kanak-kanak mula berubah. Mereka dilanda kebosanan melampau kerana tidak dapat bermain dengan bebas seperti sebelum ini. Malah bagi yang bersekolah pula, aktiviti bersama rakan-rakan yang sebelum ini menjadi rutin harian mereka juga terpaksa dilupakan.

Menurut Pakar Psikologi di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Profesor Datin Dr Mariani Md Nor, sikap kanak-kanak berbeza mengikut peringkat umur.

“Bagi kanak-kanak yang berumur antara tiga hingga lima tahun tidak kira sama ada yang memang tinggal di rumah atau di hantar ke taska, mereka mungkin tidak terlalu terasa perbezaan rutin harian mereka. Malah mereka yang sebelum ini di hantar ke taska atau pusat jagaan harian, mungkin lebih seronok dapat berada di rumah.

“Namun berbeza dengan kanak kanak yang di peringkat pra-sekolah dan sekolah rendah. Tempoh PKP ini lama-kelamaan akan membuatkan mereka berasa bosan dan gelisah akibat terlalu lama ‘terperuk’ di rumah. Tidak dapat ke sekolah dan bermain dengan kawan-kawan.

Tidak hanya aktiviti, emosi kanak-kanak juga akan turut terkesan kerana sudah mula berasa bosan dengan keadaan.

“Emosi mereka boleh terjejas. Rasa bosan dan tidak puas hati akibat terkongkong boleh menyebabkan jiwa memberontak jika tidak difahami dengan baik oleh ibu bapa,” katanya berkongsi.

Di sinilah ibu bapa dapat memainkan peranan yang lebih penting. Menurut Dr Mariani yang juga Timbalan Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Majlis ECCE), adalah penting bagi ibu bapa untuk merancang dan mengisi masa anak-anak dengan pelbagai aktiviti sepanjang tempoh PKP.

Masa anak-anak akan menjadi lebih bermanfaat dan dapat mengelakkan mereka bosan sekiranya ibu bapa menyediakan jadual di rumah iaitu peruntukan masa untuk bermain, belajar dan melakukan aktiviti sampingan.

Ibu bapa pula disaran untuk menjadi lebih kreatif di rumah demi memastikan anak-anak seronok dan teruja untuk melakukan aktiviti yang dirancang. Belajar untuk tambahkan keseronokkan dalam aktiviti.

“Boleh fokus kepada perkara yang menjadi minat mereka dan dalam masa sama selitkan juga aktiviti sampingan lain atau ilmu dalam subjek yang mereka kurang minat bagi menambah pengetahuan.

“Ibu bapa juga boleh menyediakan ruang khas untuk anak-anak melakukan aktiviti di rumah seperti melukis, mewarna, membuat kerja seni, aktiviti berkhemah secara indoor dan bermain permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban serta board games,” katanya.

Bukan itu sahaja, ibu bapa juga disarankan untuk mempelbagaikan aktviti termasuklah aktiviti yang melibatkan pergerakkan di dalam rumah seperti mencuba resipi baharu, mengatur pinggan mangkuk, menghias rumah, menyiram pokok bunga dan berkebun. Semua ini sedikit sebanyak memberi kelainan dalam rutin anak-anak. Anak-anak pasti tertarik apabila melakukan perkara yang berbeza daripada rutin kebiasaannya.

Sumber: Bernama

Published by
SRM