Anak Sakit Tapi Mak Tak Boleh Cuti, Tebus Rasa Bersalah Anda Dengan Tip Ini
Anak bila sakit, tentulah mak-mak yang paling risau. Paling sedih bila anak sakit tapi maknya pula tidak dapat cuti kerana kekangan tugas yang perlu dilunaskan segera. Ramai mak-mak yang ingin menjaga sendiri anak-anak yang sakit namun apakan daya kekangan kerja menjadi halangan.
Nak tak nak, anak perlu dihantar ke rumah pengasuh. Situasi anak sakit ini mungkin kerap di alami oleh mak-mak yang bekerja. Ingin ambil cuti tapi faktor kesibukan menyebabkan mak-mak terpaksa meletakkan anak di bawah pengasuh atau taska untuk dijaga. Hanya telefon menjadi penghubung untuk memantau keadaan anak.
Sedih, sayu dan rasa bersalah sebab terpaksa tinggalkan anak sakit tanpa mak-mak yang jaga. Kerja memang kenalah kerja tetapi janganlah sampai anak demam atau sakit terpaksa serahkan kepada pengasuh atau taska. Inilah masanya untuk mak-mak dekati anak-anak dengan jaga kerenah sepanjang anak tidak sihat.
Walau bagaimanapun, untuk mengurangkan rasa kegusaran dan bersalah, ada cara yang boleh mak-mak lakukan semasa anak tidak sihat. Kalau cuti jadi punca, apa kata anda cuba usahakan cara di bawah:
1. MINTA BANTUAN ORANG YANG TERDEKAT
Sudah tentu kerja yang banyak di pejabat membuatkan mak-mak tidak dapat ambil cuti kecemasan. Jadi, mintalah orang yang dipercayai, sudah tentu pengasuh atau pusat taska (jika jauh dari keluarga). Tetapi jika tinggal berdekatan dengan ibu bapa, mintalah mereka menjaga buat sementara waktu ketika mak-mak pergi bekerja.
2. BERBINCANG DENGAN SUAMI
Bukan semua tanggungjawab rumah tangga di bahu mak-mak. Ada kalanya, mak perlukan bantuan orang lain atau lebih dekat lagi, suami. Cubalah bincang bersama suami agar mendapat keputusan terbaik. Jika mak tak dapat cuti, mintalah bantuan suami suapaya dia cuti untuk menjaga anak, esoknya mak pula yang cuti.
3. BERBINCANG DENGAN PENGASUH ANAK
Berbincanglah dengan pengasuh anak anda. Minta pengasuh berikan perhatian lebih pada anak anda yang tida sihat. Bagaimanapun anda perlulah sentiasa memantau keadaan anak anda dengan cara kerap menghubungi pengasuh bagi mengetahui keadaan kesihatan anak anda. Berikan ganjaran pada pengasuh anda selepas anak sihat sebagai tanda terima kasih kerana menjaga anak anda.
4.MOHON BEKERJA DARI RUMAH
Berbincanglah dengan majikan agar anda dapat bekerja dari rumah. Ada syarikat yang menyediakan pelepasan kepada pekerjanya untuk bekerja dari rumah jika ada hal-hal kecemasan salah satunya bila anak sakit. Dengan cara ini anda bukan sahaja boleh bekerja tetapi dalam masa yang sama dapat menjaga dan memantau keadaan anak yang sedang sakit.
5. PULANG AWAL
Sebagai ibu bekerja, mak perlu buat skala yang lagi penting. Mak datang ke pejabat dan selesaikan tugas yang paling penting dulu. Selebihnya, mak boleh selesaikan keesokan harinya. Jadi selesai kerja, mak boleh minta keizinan bos untuk balik awal, temani anak yang sakit.
6.AMBIL CUTI WALAUPUN ANAK SUDAH BERANSUR SIHAT
Ambillah cuti walaupun anak anda semakin sihat. Selesaikan tugas-tugas anda sepenuhnya supaya anda dapat bercuti dengan ‘aman.’ Luangkan masa dengan anak anda kerana biasanya selepas baik dari sakit seperti demam dan sebagainya, anak ingin dimanja oleh ibunya. Gunakan masa cuti ini untuk ‘menambat’ kembali hati si anak. Mungkin mereka kecil hati kerana walaupun mereka sakit tetapi ibunya tidak berpeluang menjaga mereka.
Semoga tip yang diberikan ini dapat membantu ibu menghilangkan rasa gusar dan bersalah apabila tak dapat bercuti semasa anak sakit. Sememangnya hiba bila melihat anak terpaksa dihantar ke sekolah dan terlantar tidur di kelas dalam keadaannya yang tidak sihat. Moga urusan ibu ayah kelak dalam menjaga anak-anak akan dipermudahkanNya.
Kredit foto (top image): Pexels
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI