Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang sebelum ini berjuang melawan kanser hidung kini berdepan ujian baharu apabila menjadi mangsa buli di sebuah sekolah agama. Lebih memilukan, akibat kejadian itu, si kecil ini disahkan mengalami gegaran otak dan masih berisiko mengalami sawan jika jatuh atau pengsan.
Ibunya, Siti Suhana Misdi, 39 tahun, meluahkan rasa pilu kerana anak yang baru pulih 80 peratus daripada kanser, terpaksa menanggung pula penderitaan dibuli hingga menjejaskan emosi dan pelajarannya.
Dipukul, Ditendang, Dipaksa Berbogel
Kejadian berlaku sekitar jam 5 petang, 21 Februari lalu. Mangsa didakwa dipukul, ditendang, dihentak kepala, malah lebih menyayat hati, dia turut dipaksa menanggalkan pakaian oleh seorang murid Darjah Enam. Serangan kejam itu berpunca daripada rasa tidak puas hati pelaku terhadap kakak mangsa yang menolak lamaran cintanya.
Ads
Akibat kejadian, anak kecil ini dirawat di sebuah hospital swasta dari 12 hingga 26 Mac lalu dan doktor mengesahkan dia mengalami gegaran otak. Menurut ibunya, beliau hanya mengetahui cerita sebenar selepas anak perempuannya memberitahu kerana terlalu risau dengan keadaan adiknya.
Luka Belum Pulih, Jadi Mangsa Buli Kali Kedua
Lebih memilukan, penderitaan anak kecil ini tidak terhenti di situ. Pada 7 Ogos lalu, dia sekali lagi menjadi mangsa buli, kali ini di sebuah sekolah kebangsaan di Skudai sekitar jam 10 pagi.
“Anak saya kini sukar fokus dalam pelajaran dan tidak lagi aktif bersukan. Doktor maklumkan proses penyembuhan gegaran otak boleh ambil masa hingga tiga tahun serta berisiko sawan,” kata ibunya.
Ads
Sebagai seorang ibu, hatinya luluh melihat anak yang masih lemah akibat rawatan kanser, menjadi sasaran kerana keadaannya yang dianggap lemah oleh rakan-rakan sebaya.
Tanggungjawab Semua Pihak
Kes sebegini perlu membuka mata semua pihak. Buli bukan sekadar “gurauan”, ia adalah penderaan fizikal dan emosi yang mampu menghancurkan masa depan seorang anak. Ibu bapa perlu lebih peka dengan tanda-tanda anak dibuli seperti:
Ads
Enggan ke sekolah atau sering beri alasan sakit.
Tiba-tiba jadi pendiam atau murung.
Hilang minat terhadap pelajaran dan aktiviti harian.
Mempunyai kecederaan tanpa sebab munasabah.
Pihak sekolah pula tidak boleh memandang ringan isu ini. Setiap laporan buli perlu disiasat serius dan langkah pencegahan mesti diutamakan supaya keselamatan anak-anak terjamin.
Semoga kisah ini membuka mata kita semua. Hentikan buli, lindungi anak-anak kita – kerana mereka amanah Allah yang paling berharga.
Tindakan seorang bapa meninggalkan dua anak kandungnya yang juga anak istimewa tanpa sebarang pengawasan wajar, membawa dirinya ke muka pengadilan.
Thaha Abdul Latef, 39, seorang akauntan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan.
Foto sumber daripada BERNAMA
Menurut pertuduhan pertama, Thaha didakwa sebagai seorang bapa telah meninggalkan anak lelakinya lelaki berusia 10 tahun tanpa menyediakan apa-apa keperluan mencukupi untuk pengawasan yang berpatutan bagi kanak-kanak itu.
Pertuduhan kedua pula, dia didakwa telah melakukan kesalahan sama terhadap anak perempuannya berusia 12 tahun.
Ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norazlin Othman, tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
Menurut fakta pertuduhan, kesalahan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Elmina Valley, Seksyen U16, Shah Alam sekitar jam 4 petang pada 15 Mac lalu. Thaha didakwa gagal menyediakan keperluan pengawasan sewajarnya kepada kedua-dua anaknya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh, dengan syarat tambahan untuk melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sebagai langkah kawalan.
Kes ini dijadualkan untuk sebutan semula pada 4 September 2025.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sedihnya bila baca pengakuan ini. Dari seorang abang untuk adiknya yang merupakan seorang doktor. Yang kini sedang bertugas memerangi wabak koronavirus. Dari awalnya si abang menceritakan kisah mereka semasa kecil sehingga adiknya berjaya melanjutkan pelajaran dalam kursus perubatan di Ireland.
Lebih menyayat hati apabila si abang menjadi wali ketika hari pernikahan adiknya. Betapa berat hati seorang abang untuk melepaskan adiknya kepada seorang lelaki. Kemudian diteruskan dengan cerita adiknya yang merupakan seorang doktor yang bertugas sebagai frontliner.
Ikuti pengakuan ini.
Sebenarnya aku takde nak buat confession apa-apa. Cuma nak bagi penghargaan pada adik aku yang sangat-sangat aku agung. Maaflah confession ni panjang sedikit ye. Sikit pengenalan diri. Aku Hafiz. 32 tahun. Masih bujang. Ok setel pengenalan. Coretan ni aku khususkan buat adik aku Hafizah.
Sebab aku tau dia rajin baca dan komen-komen di page ni. Ok aku mulakan. Dik. Takde orang yang aku agung dalam dunia ni melebihi kau. Aku nak kau tau dari mula kau lahir sampailah sekarang. Kaulah satu-satunya orang yang aku ada dalam dunia ni. 4rwah mak meninggal masa umur kau 5 tahun. Kau kecik lagi dik.
Hingus pon meleleh lagi. Tapi kau dah hilang kasih agung seorang mak. Aku sampai sekarang ingat lagi. Aku peluk kau depan jenazah mak. Kau tanya aku.
“Kenapa orang balut mak?”
“Kenapa orang ikat mak?”
“Kenapa abang menangis?”
Kau Lagi Kuat Dari Aku
Kau lap air mata aku dengan bantal busuk kau. Kau pujuk aku. Kau peluk aku. Walaupon masa tu kau tak tahu apa-apa, tapi kau dah tunjuk kau lagi kuat dari aku. Tapi lepas sehari kau tanya bila mak nak bangun. Bila mak nak balik. Kau kata kau rindu mak. Kau melalak depan aku.
Depan abah. Tapi masa tu abah ada dik. Abahlah yang pujuk kau. Tenangkan kau. Bagi kau paham walaupon kau tak mengerti apa-apa lagi masa tu. Sedih aku tengok kau dik. Hari-hari kau tunggu mak balik. Tanya pasal mak. Sampai aku tak tau nak jawab apa kat kau. Tapi alhamdulillah lama-lama kau paham jugak yang mak dah takde.
Hiduplah kita tiga beranak dik.Kau mesti ingat kan. Abah punya garang.. Allahu. Hari-hari aku kena balun sebab degil. Kau yang datang selamatkan aku dari kena dengan abah. Abah tak pukul kau dik. Sebab kau baik. Tak macam aku. Nakal. Degil. Pantang dapat keluar. Memang maghrib la baru balik. Kau tak macam aku. Kau main keliling rumah je.
Kau Tenangkan Abah, Bila Dia Pukul Aku
Kawan-kawan kau yang datang main dengan kau. Tu sebab kau tak pergi jauh. Jangan aku. Habis segala kebun getah orang aku masuk. Balik kena tibai dengan abah. Kau jugakla yang tenangkan dia..hahaha.. Terima kasih dik. Kau ingat lagi tak dik. 16 tahun lepas. Aku umur 16 tahun. Kau 11 tahun. Abah pengsan masa tu dalam bilik air.
Aku kaget dik masa tu. Keras kejung je kat situ tengok abah. Tak tahu nak buat apa. Tapi kau pandai dik. Kau tenang. Kau pegi lari rumah jiran kita panggil diorang datang tengok abah, bawak abah pergi hospital. Tapi tu la. Allah lagi syg abah dari kita kan. Abah meninggal masa kat hospital. Tapi kali ni kau dah faham.
Walaupon umur kau baru 11 tahun, tapi kau matang dik. Kau kuat. Walaupon kau menangis peluk aku, tapi kau tenang hadap benda tu. Aku yang tak kuat dik. Aku yang lembik masa ni. Macam-macam aku fikir. Kita dah takde sapa-sapa. Kau dengan aku dah jadi anak yatim piatu.
“Abah Dah Takde. Tapi Adik Ade Kau Ada Lagi Bang.”
Tapi kau steady dik. Ayat kau memang power. Sampai sekarang aku ingat lagi ayat kau. “Abah dah takde. Tapi adik ade kau ada lagi bang. Jangan tinggalkan adik tau. Kalau kau takde adik takde sapa-sapa lagi dah dalam dunia ni.” Sedih aku dik. Abah pergi tak tinggalkan apa-apa untuk kita. Yang ada tanah getah 2 ekar. Tapak rumah.
Tu jelah. Itu pon ramai je sedara-sedara kita yang tanya. Kau ingat kan dik. Diorang datang rumah kita tanya pasal tanah tu. Aku hambat diorang dengan parang masa tu. Nasib baiklah kau ada dik. Kalau tak memang dah kedalam aku masa tu.. Hahaha.. Lepastu kita janji kan. Apa jadi pon biar kita hadap sama-sama. Jangan kita pisah walau apa pon jadi.
Lagipon masa tu rumah arwah abah ada. Bukan kita takde tempat berteduh pon. Meeting kita dua beradik tu kau ingat lagi tak? Yang masa aku nak berenti sekolah sebab nak motong getah tu? Punya beria kau halang. Susah betul aku nak yakinkan kau. Bukan apa dik. Kita masa tu dah tak ada sapa-sapa.
Kau Sekolah, Aku Kerja
Kalau aku sekolah, kau sekolah, sapa nak bagi kita makan? Akhirnya kau beralah jugak. Tepat sebenarnya keputusan aku dik. Antara kita berdua kau yang pandai. Aku ni belajar manjang fail je. Baik aku berenti. Keje carik duit kan. Masa tu la kau buat perjanjian. Aku keje, kau uruskan rumah. Gelak je aku masa tu. Umur kau baru 11 dik. Nak basuh tangan dekat singki pon kau tak berapa nak sampai masa tu.
Ade hati nak uruskan rumah konon, hahaha.. Tapi kau usaha. Belajar masak. Belajar guna mesin basuh. Kagum jugaklah aku walaupon kadang-kadang kau kata kau masak sambal tapi rasa arang.. Pasal masak nasi pon satu hal jugak dik. Sampai sekarang aku fikir. Apa benda yang kau buat dekat rice cooker tu sampai meletup bende alah tu kau kejekan. Padan muka kau dik.
Lepas tu kau kena masak nasi guna periuk. Tu la sapa suruh kau bagi jahanam rice cooker tu. Tapi aku tak salahkan kau pon dik sebenarnya. Yela kau baru 12 tahun masa tu. Apa je yang kau tau kan.. Takpe dik. Aku faham.. Rezeki kau masa UPSR kau dapat 5A dik.
Memang tepat keputusan aku tak bagi kau berenti sekolah. Menitik air mata aku masa kau berlari cari aku dalam kebun getah bawak slip periksa kau. Busuk-busuk aku dengan baju motong tu kau peluk. Aku bangga dengan kau dik masa ni. Alhamdulillah kau dapat sambung ke SBP.
Kau Tak Malu Ikut Aku Jual Tin & Kotak
Masa ni la kita jual segala harta dalam rumah sebab nak hantar kau. Merata kita dua beradik pusing naik motor dari kampung membawak ke pekan sampailah ke bandar mencari tin kosong dengan kotak nak jual. Kau tak malu ikut aku buat benda ni semua.
Macam-macam orang mengata kita dik. Tapi biarlah kau kata. Demi kau aku pekakkan telinga je dik. Cukuplah ada kau dalam hidup aku. Aku bahagia sangat-sangat dah. 5 tahun kau duduk SBP tu dik. Walaupon kau jauh, tapi aku tak penah lupa kat kau. Dan aku tau kau tak penah lupa aku. Tiap-tiap kali kau balik mesti kau masakkan sedap-sedap untuk aku.
Kau Nak Belajar Jauh Kat Ireland
Sampai tahap kadang-kadang aku duduk sorang-sorang kat rumah aku mengharap sangat kau balik teman aku, sembang dengan aku, masakkan untuk aku, hahaha.. Baru kau tau abg kau ni lonely orangnya..Alhamdulillah. Keputusan SPM kau cemerlang. Kau dapat tawaran pergi luar negara. Ireland. Belajar perubatan. Kali pertama aku dengar ada negara nama Ireland.
Kau kata medic sana bagusla apa la. Aku iyekan je dik. Bukan aku faham pon apa kau cakap. Aku ni orang kampung je. Sekolah pon tak habis. Tapi aku layankan jugak. Walau dalam hati memikir mana nak carik duit hantar kau jauh-jauh ni. Nasib baik kau ada biasiswa.
Keperluan semua alhamdulillah dapat aku adakan untuk kau. Merata kita jalan naik motor abah nak uruskan hal kau dulu dik. Ambik cop sana. Mintak sain orang ni. Aku ikutkan je walaupon aku tak faham. Asalkan kau dapat sambung belajar aku dah cukup gembira. Masa hantar kau dekat airport nak pergi sana, lama kau peluk aku. Kau menangis.
Macam-macam kau pesan dekat aku. Macam aku pulak yang nak pergi jauh. Padahal kau yang nak pergi belajar, bukan aku. Aku kat sini tetap macam ni jelah dik oi. Penoreh getah berkaliber bak kata kau. Kau marah aku sebab aku tak sedih hantar kau pergi. Sebab aku boleh gelak-gelak bahan kau tengah menangis. Kau tak tau dik.
Balik je rumah aku menangis kat bucu katil teringat dekat kau tau. Risaukan kau. Tapi aku percaya dengan kau dik. Aku tau kau akan banggakan aku. 5 tahun kau dekat sana. Sekali je kau balik. Sebab nak jimat duit. Takpe dik aku faham. Aku tau masa cuti kau keje nak cari duit tambahan walaupon kau ada biasiswa.
Tapi aku silap dik. Rupanya kau kumpul duit nak belikan aku tiket kesana tengok kau konvo. Fuh bangganya aku dapat tengok kau dik. Menitik air mata aku tengok kau pakai jubah tu ambik skrol. Tak sia-sia aku dating dengan pokok getah hari-hari nak bagi kau belajar. Lepas majlis tu kau bawak aku pusing-pusing negara tu.
Kau Tanya Aku Bila Nak Kahwin, Rupanya Kau Yang Nak Kahwin
Boleh tahan sejuk kat sana. Cantik sungguh negara dia. Seronok betul aku. Sampai lupa la macam mana bau getah sekerap.. Hahaha. Tahun lepas kau ingat tak dik. Kau balik kampung jumpa aku. Kita sembang-sembang. Kau tanya aku bila aku nak kahwin. Aku pelik dengar soalan kau. Rupa-rupanya kau yang nak kahwin.
Kau nak bawak bakal suami kau jumpa aku. Aku ok je dik. Dia pon doktor jugak. Eloklah tu. Sama-sama faham tugas masing-masing. Masa aku walikan kau dik. Sumpah aku tak kuat. Sebak sangat hati aku. Orang yang paling aku agung, orang yang sentiasa ada dengan aku susah senang, nak aku serahkan dekat orang lain. Orang luar pulak tu.
Aku hanya mampu doa yang terbaik untuk korang. Maaflah sebab aku emosi masa akadkan kau. Termenangis pulak. Sori ye dik. Banyak sangat kalau nak diceritakan kat sini. Buat masa ni cukuplah setakat ni. Dan tahun ni sekali lagi kau banggakan aku dik. Kau laki bini dipanggil bertugas untuk hadap virus corona ni.
Macam-Macam Kau Pesan Kat Aku
Berjam-jam kau pakai berbalut macam lepat pisang dalam baju plastik kau tu. Tapi kau tak mengeluh. Hari-hari kau WhatsApp aku pesan macam-macam. Iye dik. Aku duduk dalam kebun getah je. Habis motong aku balik. Tak kemana. Janganlah kau risau. Aku bangga dengan kau dik.
Kita bukan orang senang. Kita yatim piatu. Tapi kau mampu buktikan yang orang susah macam kita pon boleh berjaya. Aku doakan kau sentiasa selamat melawan virus ni. Semoga kau dan semua hero-hero kita dalam KKM tabah dan kuat meneruskan usaha korang menyelamatkan negara kita.
Sekian dari aku. Terima kasih sebab sudi baca. Assalamualaikum. Hafiz – iium confession.
Sama-sama kita doakan supaya setiap frontliner yang bertugas sepanjang musim COVID-19 ini sentiasa di bawah perlindungan-Nya. Semoga semua ini akan segera pulih seperti sedia kala.
Sekiranya anda ada sebarang cerita atau pengalaman menarik yang ingin diceritakan, sila kongsikan bersama kami di KONGSI CERITA atau inbox kami di FB Pa&Ma.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Banjir UM Reda! Menerusi kenyataan media menerusi facebook rasmi universiti berkenaan, Universiti Malaya ingin memaklumkan bahawa keadaan banjir sekitar kampus telah reda manakala semua laluan telah dibuka semula.
Universiti Malaya juga mengesahkan bahawa tiada kecederaan atau kemalangan jiwa yang dilaporkan dalam kejadian ini.
Semua staf, pelajar dan pelawat kampus dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta mengelakkan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan diri dan harta benda terperangkap dalam banjir.
Pihak universiti akan memantau situasi dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan kampus terpelihara.
Terdahulu, Tular sebuah video yang dimuat naik di aplikasi X, air banjir sudah memasuki kawasan kampus dan dilaporkan agak tinggi parasnya.
Video berdurasi 22 saat itu memaparkan seorang pegawai keselamatan memberi amaran untuk tidak menggunakan laluan ‘gate’ Kuala Lumpur untuk memasuki Universiti Malaya ekoran paras air tinggi.
Sikap prihatin lelaki berkenaan memberitahu situasi terkini di UM itu membantu kepada pengguna dan pelajar yang bercadang menggunakan laluan berkenaan. Berlatar belakang air banjir, lelaki itu memberi tahu info semasa meredah banjir.
“Kepada semua warga kampus pelajar dan pengguna, jangan masuk melalui ‘gate’ Kuala Lumpur ke dalam UM di sebalah Masjid Ar Rahman kerana banjir yang di paras agak tinggi.
“Air banjir juga turut melimpah di hadapan fakulti undang-undang dan di jambatan lingkungan budi,” katanya
INFO:
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat pagi Selasa di beberapa kawasan dalam negara. Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Yan, Kuala Muda dan Bandar Baharu, Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak), Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau), Melaka, Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru), Sarawak: Bintulu (Bintulu) dan Miri (Subis). Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam
Kisah benar Mas dan arwah suaminya, Muhammad Amir, menyentuh hati ramai apabila suaminya meninggal dunia dalam kemalangan selepas berpatah balik untuk mengambil susu anak. Sebuah kisah kasih sejati dan pengorbanan seorang ayah.