Keibubapaan

“Anak Saya Pergi Giant Pun Dah Happy.” Datin Shahida Selesa Hidup Bersederhana

Share

Di sebalik kelembutan air muka Datin Sri Shahida, siapa sangka sebenarnya isteri kepada usahawan kosmetik, Datuk Sri Alif Shukri seorang yang tegas dalam bab mendidik anak. Ibu kepada tiga cahaya mata lelaki dan dua perempuan ini mengakui tiada istilah manjakan anak walaupun sekarang ada harta.

Shahida antara salah seorang penerima Pa&Ma Gala 2022 untuk Best Mama Millennial dan secara eksklusif berkongsi kisahnya kepada orang ramai mengenai cara didikannya daripada sisi seorang ibu.

Anak mesti no 1

Sejujurnya Shahida mengakui sangat sibuk tetapi memandangkan anak memerlukan perhatian, nak tak nak memang kena curi juga masa untuk mereka.

“Sejak dari anak sulung lagi, saya akan pastikan anak akan tidur dengan saya dan suami sehingga umur 4 tahun. Dengan cara inilah saya boleh luangkan masa dengan mereka setelah seharian sibuk dengan kerja.

“Bila usia 4 tahun, barulah mereka akan tidur di bilik sendiri. Jika saya outstation sekalipun, anak-anak akan ikut sekali. Dengan cara inilah kami dapat eratkan hubungan, sebab jika hari biasa sibuk,” katanya.

Suka ajar anak ilmu kehidupan

Selain itu, Shahida juga menyatakan ramai orang cakap saya lembut tetapi hakikatnya saya sangat garang dengan anak. Bagi saya ada anak sekali cakap dah dengar, ada anak beberapa kali cakap masih tak dengar lagi. Jadi kita sebagai ibu kena pandai main peranan.

“Rutin harian anak-anak juga setiap kali lepas balik sekolah mesti makan sama-sama, mengaji dan malam tuisyen. Gajet tak dibenarkan dan semua pun dah ada jadual.

“Manakala Sabtu dan Ahad anak-anak dah ada jadual buat kerja rumah. Selalu saya cakap kita bukan kaya selamanya, sebab itu ilmu kehidupan penting. Sebab tu juga saya kena tegas dengan mereka. Saya risau zaman sekarang macam-macam masalah membelenggu anak remaja. Jadi jika tak diberi didikan baik, risau kesan akan datang.

“Jadi saya ajar hidup secara sederhana. Kita ibu bapa kena jadi contoh. Saya lebih suka hidup sederhana dan saya orang yang sangat berjimat.

“Anak-anak pun kalau pergi Giant, Speed Mart bukan main seronok. Mereka lebih suka pergi tempat macam tu berbanding mall besar yang ada jual barangan mewah.

“Anak-anak pun kena belajar susah. Sekarang kita senang, nanti esok lusa kita tak tahu jatuh terduduk. Itu pesanan yang selalu saya cakap pada anak,” ujarnya.

“Pandai satu kelebihan, kekurangan kita raikan”

Shahida berkata, anak-anak pandai satu kelebihan. Namun tak semestinya anak kurang pandai kita sisihkan. Macam saya ada dua anak disleksia iaitu Khadijah dan Ibrahim.

“Sebenarnya kekurangan anak tu kita kena angkat supaya jadi kelebihan. Bagi saya cukup lah pandai membaca, sembahyang dan mengaji serta ada ilmu kehidupan demi masa depan. Bila ada pakej ini, buat apa pun tetap boleh berjaya.

“Walaupun ada bibik, saya akan pastikan anak tak kekok buat semua perkara. Sebab tu mereka selalu diingatkan untuk lipat kain, gosok baju, dan sebagainya. Usia 9 tahun anak-anak saya dah boleh buat semua ini dengan baik. Memang akan ada pembantu yang bagi laporan setiap hari apa anak buat.

“Jika hari cuti, saya akan bawa mereka ke pejabat untuk tolong bungkus barang-barang. Jadi tak lah membazir masa dan mereka akan tahu susahnya nak dapat duit.

“Seboleh mungkin saya nak didik anak-anak jadi lebih baik dari saya dan suami. Jika tak dimulakan dari awal, bila besar lagi susah nak tegur dan ajar.

“Lagi satu prinsip saya biar anak jadi sahabat baik kita selama-lamanya. Kalau dia ada apa-apa masalah tak malu nak bercerita dan berkongsi,” ujarnya.

Ikuti perkongsian lebih lanjut dan tip didikan yang diamalkan Datin Sri Shahida dalam live Pa&Ma Gala 2022 di bawah:

Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Ayuh, belajar cara didik anak untuk menyimpan sejak mereka kecil. Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/ajar-anak-simpan-duit/

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

 

 

 

 

Published by
Wan Amy