Bermula dari kehilangan dan kemudian ditemui meninggal dunia dalam keadaan tragis, ibu kepada kanak-kanak Nur Aisyah Aleya akhirnya memberikan kenyataan.
“Naluri saya kuat mengatakan anak saya sudah tiada apabila anak lelaki suspek berusia empat tahun memberitahu Aleya dah mati,” kata Rosmaliah Samo kepada Berita Harian.
Rosmaliah, 31 tahun adalah ibu kepada Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, yang mayatnya ditemui dibuang di Jalan Gunung Raya semalam.
Ibu ini berkata, dia mula berasa ‘sesuatu’ apabila berkunjung ke rumah pasangan suami isteri yang mengasuh anaknya itu di kuarters hospital pada 22 Februari. Dia bagaimana pun dimaklumkan yang mereka sudah menyerahkan Nur Aisyah Aleya kepada orang lain.
“Kawan lelaki (suspek) ada datang ke hostel (asrama) berhampiran tempat kerja berjumpa saya, namun berdolak dalih memberitahu anak saya sihat di bawah jagaannya dan dia akan bawa bertemu saya tidak lama lagi.
Rosmaliah memberitahu bahawa dia dan suspek berkenalan empat bulan lalu. Suspek juga membawanya pulang tinggal rumah serta memperkenalkan Rosmaliah sebagai rakan kepada isterinya yang juga jururawat.
Rosmaliah berkata, sepanjang tinggal di kuarters hospital itu, hubungannya dengan isteri kawan lelakinya adalah baik, namun isterinya mula mengesyaki sesuatu selepas mereka kerap berbalas mesej.
Dia kemudian keluar dari rumah berkenaan sejak 27 Januari lalu untuk bekerja di kedai makan berkenaan dan sepanjang tempoh itu dia tidak pernah bertemu Nur Aisyah Aleya.
Disebabkan rindu untuk bertemu dengan anak, Rosmaliah telah pergi ke rumah suspek dan isteri pada 22 dan 23 Februari lalu. Tetapi dia kecewa apabila dimaklumkan Nur Aisyah Aleya tiada dalam jagaan mereka.
“Pada 28 Februari lalu, kawan lelaki dan isterinya datang bertemu saya dan memujuk kembali tinggal bersama mereka, tetapi saya enggan kerana mereka tidak mahu memberitahu di mana anak saya berada,” katanya.
Rosmaliah mendakwa, sepanjang tinggal di kuarters berkenaan, anaknya pernah ditampar beberapa kali di depan matanya malah dia pernah dipukul lelaki itu.
Selain itu, seluruh badan anaknya juga pernah ada kesan lebam dan kesan dicucuh api rokok selain kulitnya melecur seperti disiram air panas.
“Ketika tinggal bersamanya di kuarters itu, saya cuba untuk melarikan diri tetapi lelaki itu menghalang dan meletakkan mangga pada pintu rumah.
“Isterinya (suspek) pernah memberitahu yang suaminya juga pernah membawa perempuan lain pulang dan tinggal bersama di kuarters itu sebelum ini menyebabkan saya tak kisah apabila dia bawa saya pulang ke rumah itu.
“Dia seorang yang panas baran dan suka pukul kalau tak ikut cakap dia malah isterinya juga pernah menjadi mangsa dan saya kurang yakin isterinya terbabit bersubahat dalam perkara ini,” katanya.
Rosmaliah berkata, selama ini anaknya tidak pernah mempunyai penyakit sawan seperti yang didakwa suspek dan mungkin itu alasan yang diberikannya sebaik melihat anak saya sudah meninggal.
Rosmaliah dijangka membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) di Hospital Langkawi, untuk membantu siasatan pihak berkuasa.
Artikel berkaitan: Hanya Cebisan Rambut Dan Tengkorak Aisyah Di Temui. Terbongkar Selepas Ibu Buat Laporan Polis
Sumber: Berita Harian