Anak berusia lima bulan. Dia sering demam selepas menerima suntikan imunisasi. Adakah hal ini normal? Apakah cara yang berkesan untuk mengelakkan bayi atau kanak-kanak demam selepas menerima suntikan ini?
Jawapan:
Suntikan imunisasi yang diberikan kepada bayi memang boleh menyebabkan dia demam. Namun yang demikian, anda perlu faham bahawa tidak semua bayi akan mengalami demam dan tidak semua suntikan imunisasi akan menyebabkan seseorang bayi demam.
Demam yang dialami selepas mendapat suntikan imunisasi, biasanya disebabkan oleh reaksi tubuh badan terhadap suntikan tersebut. Jadi, ibu bapa tidak perlu risau jika bayi demam selepas menerima suntikan.
Bagi mengelakkan anak demam selepas menerima suntikan, boleh memberikan ubat demam kepadanya, empat jam sebelum suntikan diterima. Pemberian ubat demam boleh diulang selepas suntikan diberi, sekurang-kurangnya empat jam selepas dos yang pertama.
Jangan risau kerana demam yang disebabkan oleh suntikan imunisasi, selalunya tidak lama dan akan hilang dalam masa satu hari.
Soalan ini dijawab oleh Dr Roliza Ibrahim, Pakar Pediatrik Avisena Specialist Hospital, Shah Alam, Selangor.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Selepas 7 Kali Bedah, Tiada Harapan Sembuh Batrisya Tetap Cinta Hati Kami Selamanya
Menderita masalah Hydrocephalus, pergerakan Tuan Nur Batrisyia Tuan Nasir kini terhad dan hanya mengharapkan bantuan orang untuk menguruskannya.
Kanak-kanak berusia lima tahun itu menderita masalah Hydrocephalus atau kepala besar sejak kandungan ibunya, Nur Suriati Dakta berusia tujuh bulan.
Nur Suriati berkata, doktor mengesahkan penyakit itu sukar sembuh dan kembali normal kerana kepala anaknya semakin membesar selepas lebih tujuh kali melakukan pembedahan.“Kami tak sanggup lagi melihat penderitaan dan kesakitan setiap kali dia menjalani pembedahan dan membuang tiup bagi membuang lebihan cecair dalam kepala,” katanya menerusi laporan Harian Metro.
Katanya, Batrisya yang juga anak bongsunya daripada dua beradik itu dikesan mengalami masalah Hydrosephalus atau kepala besar sejak kandungan berusia tujuh bulan dan bukannya selepas dilahirkan seperti didakwa beberapa pihak.
“Kami terpaksa membawa Batrisyia untuk menjalani rawatan homeopati di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) setiap bulan,” katanya.
Ketika mengulas perasaannya apabila pertama kali diberitahu doktor bayi yang dikandungnya mengalami masalah Hydrosephalus dan kepala besar, Nur Suriati berkata, tiada perkataan mampu digambarkan melainkan sedih, tetapi dia terpaksa kuatkan semangat dan reda menerima takdir Allah SWT.
Katanya, selepas beberapa hari dilahirkan, Batrisya terpaksa dibedah bagi memasang tiup khas dari otak ke perut untuk mengeluarkan lebihan cecair di kepalanya bagi menghalang kepalanya daripada terus membesar.
Meskipun ada beberapa pihak ingin membiayai kos rawatan di luar negara, dia dan suaminya Tuan Nasir Tuan Dalam menolak tawaran tersebut kerana tidak sanggup melihat kesakitan anak mereka.
“Tapi sejak akhir-akhir ini, Batrisya kerap mengalami kekejangan saraf & berjaga malam selepas menjalani rawatan homeopati Hospital Sultanah Nur Zahirah,” ujarnya.
Suaminya memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan, tetapi membelanjakan sebanyak RM700 sebulan bagi membiayai susu khas dan kain pakai buang bagi anak bongsu daripada dua beradik itu.
Namun mereka menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebanyak RM3,000 setahun.
Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian ke akaun Bank Simpanan Nasional Tuan Nasir bin Tuan Dalam No Acc : 11100-41-00032900-7
Sumber: Harian Metro & Gambar: FB Pulau Duyong
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Wanita Ini Kongsi Skim FPP Untuk Bersalin Bayar Murah Tapi Layanan Setaraf Hospital Swasta
Siapa tahu tentang skim FPP? Menariknya ibu hamil boleh bersalin bayar murah tapi layanan setaraf hospital swasta. Siapa tak mahu kan kalau boleh berjimat dengan cara yang bijak.
Rupanya bila anda pilih untuk bersalin di hospital kerajaan ada skim untuk pesakit dengan kadar bayaran yang berpatutan.
Skim Pesakit Bayar Penuh (FPP) adalah cara pesakit boleh mendapat rawatan daripada pakar perubatan pilihan sendiri dan mendapat beberapa kemudahan lain bergantung kepada sumber, bidang kepakaran dan kemudahan sedia ada di hospital berkenaan.
Wah memang rugi kalau tak rebut peluang ini. Boleh jimat duit tapi dalam masa yang sama servis yang diterima sangat memuaskan hati. Siap boleh pilih doktor lagi.
Perkongsian daripada Puan Nurul Diana yang sedang hamil dan telah membuat pendaftaran skim FPP ini mungkin boleh membantu ibu-ibu lain yang nak cuba skim ini juga.
Alhamdulillah settle register skim FPP (FULL PAYMENT PATIENT) dekat HSA harini. Tq kat sahabat yang share posting pasal ni aritu.
Kos bersalin yang lebih murah dari hospital swasta tetapi kita boleh dapat kelebihan yang hampir sama dengan swasta. Memang okey sangat. Iyer lar…macam LD ni company tak sponsor bersalin. Jadi, nak spent duit tu kene buat kire-kire supaya tak membazir & dalam masa yang sama nak jugak rase selesa bersalin baby last ni kan…(iyer ker last
Okey ni LD share sikit kat kawan-kawan ape kelebihan bila sign up kaedah FPP ni.
1. Dapat perkhidmatan Doktor pakar & boleh pilih Doktor. So far LD pilih HSA sebab sini jer ada doc perempuan. HSI takat ni semua lelaki untuk khidmat FPP. Bile dah pilih doc, means doc tu jer yang boleh sentuh/check kita dari first sampai bersalin.
2. Laluan giliran khas untuk appointment dengan doc pakar. Boleh pilih tarikh/hari ikut convenience kita. Yang penting tak payah beratur, set jer masa & tarikh dengan doc.
3. Nikmati wad eksekutif @ kelas pertama (ikut pilihan sendiri). Tapi kat HSA tak ada wad eksekutif, the best wad kelas pertama jer. Pada LD, dah memadai wad first class. Yang eksekutif tu just ade ekstra ruang menunggu khas yang selesa untuk family (fikir balik sape jer yang tunggu aku kan..suami pun teman kat Labour room jer, iuolls bukan ct nurhalijah!
4. Dah nama first class, makan pon mesti sedap dari biasa, I loikkeee!
5. Baby lahir takde cas ekstra bilik ker ape. Free jer. If ade komplikasi, Baby akan dirawat di bawah servis/caj biasa.
Hope info diatas dapat membantu.
Apa Itu Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (FPP)
Perkhidmatan ini disediakan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
a. Taraf “swasta” di hospital kerajaan pada harga berpatutan
Kos keseluruhan rawatan hanya 25%-30% dari hospital swasta
b. Rawatan oleh Pegawai Perubatan/Pergigian Pakar Pilihan
Dilantik oleh Jawatankuasa PPBP Hospital
c. Nikmati kemudahan istimewa
Eksekutif, kelas satu atau yang setaraf
d. Harga yang kompetitif
Lebih murah berbanding hospital swasta
Ini senarai hospital yang menawarkan skim FPP
Semoga dengan adanya info ini ia dapat membantu bakal ibu ayah membuat pilihan bijak dan tidak mensia-siakan perkhidmatan yang disediakan.
Sumber: www.myfpp.com.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Aktif Tapi Sering Alami Kesukaran Bernafas, Apakah Itu Tanda Awal Asma? Pakar Ini Terangkan Apa Puncanya
Kanak-kanak yang sedang membesar memang kita sedia maklum aktif dan suka meneroka. Berlari, memanjat dan banyak lagi aktiviti yang dibuat tidak kira dalam rumah mahupun di luar rumah bersama adik-beradik ataupun rakan yang seusia mereka.
Tapi ada sesetengahnya yang mengalami kesukaran untuk bernafas setiap kali terlalu aktif dengan aktiviti yang dijalankan. Justeru menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa yang melihat keadaan anak sukar bernafas.
Seperti yang ditanyakan oleh seorang ibu tentang keadaan anaknya yang aktif namun ada ketikanya kelihatan tercungap-cungap dan sukar bernafas. Dr Hairin Anisa Tajudin, Pakar Laktasi, Pakar Kanak-kanak Pusat Rawatan ADDA dan Pensyarah Pediatrik di Monash University Malaysia menjelaskan keadaan tersebut.
Anak lelaki saya berusia 6 tahun dan seorang yang aktif. Namun, ada ketikanya dia kelihatan tercungap-cungap dan sukar bernafas. Pernah juga dia mengeluh menyatakan perkara yang sama iaitu sukar bernafas. Adakah tanda tersebut menunjukkan dia mempunyai asma? Mohon pandangan daripada doktor.
Mama risau, Petaling Jaya.
Jawapan yang diberikan oleh Dr Hairin Anisa:
Terima kasih atas soalan Puan.
Kanak-kanak kebiasaannya di peringkat usia begini, amat aktif bermain dan selalu akan keletihan. Namun, mereka tidak sepatutnya mengalami masalah susah bernafas kecuali sebahagian kecil kanak-kanak yang menghidapi penyakit lelah (asma). Jika anak yang tercungap-cungap ketika ligat bermain, mungkin dia terlalu keletihan atau memang dia mengalami sesak nafas.
Bagaimana ibubapa dapat mengenalpasti samada anak terlalu keletihan bermain atau diserang asma (asthma attack)?
Asma adalah sejenis penyakit alahan yang disebabkan oleh tindakan antibodi IgE atau komponen yang terlibat dalam mekanisme alahan menyerang saluran dalam paru-paru (bronkiol). Tindakan ini mengakibatkan keradangan berlaku pada dinding saluran dan menjadikan ianya sangat sensitif. Keradangan pada saluran paru-paru menyebabkannya ianya bengkak dan menghasilkan kahak yang berlebihan daripada biasa. Pesakit asma amat mudah terkena serangan setiap kali terdedah kepada faktor alahan tertentu dalam makanan, cuaca / udara sejuk, minuman atau makanan yang sejuk atau terlalu penat bermain (exercise induced asthma) atau jangkitan virus. Serangan ini akan menyebabkan otot sekeliling saluran bronkiol yang bengkak (akibat keradangan) akan mengecut dan menjadi sempit (lihat gambar). Akhirnya, pesakit akan mengalami gejala batuk dan sesak nafas (bernafas laju dan dada berombak).
Sekiranya anak Puan menghidapi asma, dia akan terlalu mudah terkena serangan (lelah) setiap kali terdedah kepada faktor alahan (seperti yang dinyatakan di atas) selain daripada bermain terlalu aktif. Anak akan berasa sesak nafas, terbatuk-batuk dan kadang kala nafasnya berbunyi seperti wisel halus (wheezing) yang menandakan bahawa saluran bronkial menjadi sempit (bronchoconstriction). Jika serangan yang teruk, anak boleh menjadi kebiruan kerana kekurangan oksigen.
Namun berbeza jika anak hanya mengalami keletihan bermain, dia tidak akan sesak nafas apabila terdedah kepada faktor alahan tertentu yang lain. Maka, untuk pastikan anak mengalami asma atau tidak, bawa anak berjumpa doktor semasa dia mengalami batuk dan sesak nafas untuk mendapatkan pengesahan diagnosis. Jika doktor mendengar bunyi wisel halus dalam paru-paru melalui stetoskop, ini bermaksud anak Puan besar kemungkinan adalah pesakit asma. Maka, rawatan yang sepatutnya untuk asma mesti diberikan oleh doktor.
Oleh kerana penyakit asma ini menyebabkan kanak-kanak mengalami sesak nafas semasa aktif bermain, ibubapa menjadi “overprotective” dan tidak membenarkan anaknya menyertai sukan atau aktiviti yang lasak. Namun, perlu diingat bahawa asma ini ada ubat pencegahan dan ubat untuk membuka saluran paru-paru. Penyakit asma bukan penghalang kepada pesakit untuk aktif bermain dan bersukan. Sekian terima kasih
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI