Anak sering sakit kepala pada usia muda mungkin jarang kedengaran, namun jika ini yang berlaku mama papa memang kena ambil serius. Ia mungkin disebabkan oleh beberapa faktor termasuklah migrain, stress, tekanan darah yang tinggi dan banyak lagi.

Kenali punca sebenar mengapa si kecil anda terus diserang dengan sakit kepala yang kerap untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya daripada pengamal perubatan atau doktor. Seperti yang ditanyakan oleh seorang ibu tentang anaknya yang sering mengadu sakit kepala. Jawapan daripada Dr Hairin Anisa Tajuddin, Pakar Laktasi, Pakar Kanak-kanak, Pusat Rawatan ADDA dan Pensyarah Pediatrik Di Monash University Malaysia mungkin dapat menjelaskan apa yang berlaku.

H: Anak Kerap Sakit Kepala

Adakah kanak-kanak juga boleh mengalami migrain atau sakit kepala yang teruk? Anak saya yang berusia 4 tahun sering mengadu sakit kepala. Apabila saya periksa kepalanya tiada pula luka atau kesan benjolan. Apakah perkara ini serius dan saya perlu membawanya berjumpa pakar?

Aina, Seremban.

Terima kasih atas soalan Puan.

IKLAN

Untuk pengetahuan Puan, kanak-kanak juga boleh mengalami sakit kepala seperti orang dewasa. Malah, penyakit migrain juga adalah salah satu punca sakit kepala di kalangan kanak-kanak. Kajian saintifik menunjukkan bahawa migrain boleh berlaku seawal usia 18 bulan. Kajian juga menunjukkan bahawa migrain boleh berlaku dalam 10 peratus di kalangan pelajar sekolah rendah dan 28 peratus di kalangan remaja berumur 15 hingga 19 tahun. Migrain ini berlaku akibat gangguan kepada sistem peredaran darah di dalam sistem saraf dan otak yang sangat kompleks. Gejala migrain seperti sakit kepala yang berdenyut, selalunya sebelah bahagian kepala sahaja,anak berasa loya, serta sensitif kepda cahaya lampu.

Doktor yang merawat akan memberikan ubat penahan sakit kepala dan pesakit dinasihati untuk rehat dan tidur dalam bilik yang gelap. Ibu bapa disarankan untuk mengenalpasti punca yang menyebabkan serangan migrain ini seperti makanan tertentu, atau anak kurang minum air kosong, atau kurang tidur. Pastikan anak mengambil air kosong yang mencukupi supaya perjalanan darah menjadi lancar, elakkan anak daripada terdedah kepada matahari yang terik dan elakkan anak mengambil makanan yang menyebabkan anak sakit kepala.

Antara punca-punca anak kerap alami sakit kepala

Namun apabila kanak-kanak kerap mengalami sakit kepala, ibu bapa perlu mendapatkan pemeriksaan doktor untuk mengenal pasti punca lain selain migrain. Antara punca lain yang boleh menyebabkan anak kerap mengalami sakit kepala ialah:

  1. Pernah alami kecederaan pada bahagian kepala

Jika anak pernah mengalami kecederaan di kepala akibat terjatuh, terhantuk atau hentakan objek keras. Kesannya mungkin tidak dapat dikesan awal, seperti pendarahan yang sedikit tetapi boleh menyebabkan sakit kepala yang berulang.

  1. Hidap keradangan dalam hidung

Anak yang menghidapi keradangan dalam hidung samada akibat alahan resdung atau jangkitan kuman. Selalunya apabila anak mengalami sakit kepala, keradangan ini berlaku dalam sinus ‘frontal’ di bahagian dahi.

  1. Tekanan perasaan

Tekanan perasaan (stres) dengan pembelajaran yang mungkin terlalu menekankan prestasi tanpa ada kerehatan minda untuk menjalani kehidupan sebagai seorang kanak- kanak yang normal. Contohnya ibubapa kerap menghantar anak-anak ke kelas tambahan dan meletakkan harapan semua A dalam semua matapelajaran tanpa membenarkan anak-anak memilih aktiviti yang mereka sukai dan minati.

  1. Alahan

Alahan kepada beberapa jenis bahan atau protein dalam makanan dan hal ini sangat subjektif di mana alahan adalah berbeza bergantung kepada tubuh masing-masing. Contoh minuman bersoda atau bahan yang mengandungi MSG, kopi atau teh yang mengandungi kafein.

  1. Penglihatan anak yang semakin rabun.

Selalunya kanak-kanak tidak mampu memberitahu bahawa penglihatannya semakin kabur, namun ibubapa akan dapat mengesan perubahan anak kerap menggosok mata dan melihat apa sahaja terlalu dekat walaupun ia boleh dilihat daripada jauh oleh mereka yang mempunyai penglihatan yang normal.

  1. Tekanan darah yang tidak normal samada terlalu rendah atau terlalu tinggi.

Jika tekanan darah yang tinggi, selalunya berlaku kepada anak-anak yang obese dan ada masalah buah pinggang yang terganggu.

  1. Terdapat saluran darah yang tidak normal dalam otaknya seperti (AVM) Arterivenous Malformation.

Selalunya sakit kepala akan datang bersama dengan gejala seperti kebas atau lemah tangan atau kaki, hilang koordinasi badan dan menjadi tidak seimbang (ataxia). Selalunya, apabila AVM pecah, pesakit boleh mendapat sawan dan koma.

  1. Ketumbuhan dalam otak samada ketumbuhan yang perlahan-lahan membesar (benign) atau membesar dengan cepat (malignant).

Jika ketumbuhan itu sejenis yang perlahan seperti vontoh Astrocytoma, sakit kepala selalunya kronik dan berulang kali melebihi sebulan. Namun, barah otak yang cepat membesar selalunya anak mengalami gejala dalam masa yang singkat dan akut (acute) seperti Malignant Ependymoma. Gejala ketumbuhan otak selalunya sakit kepala, kerap muntah, pengsan tanpa sebab jangkitan kuman, lemah mana-mana bahagian anggota badan yang terlibat (bahagian otak yang mengawal anggota tubuh tertentu), tidak selera makan dan berat badan menyusut.

Semua kemungkinan sakit kepala perlu dirujuk kepada doktor pakar di mana kemungkinan untuk melakukan ujikaji dan pemeriksaan yang teliti seperti MRI otak dan mengambil darah. Justetu, nasihat saya, bawa anak kepada doktor pakar kanak-kanak jika gejala yang anak alami mengganggu rutin hariannya. Sekian.