Anak kerap mengamuk bukan saja-saja. Tapi ia berpunca dari sikap ibu bapa sendiri yang kerap pukul dan tengking. Macam tak percayakan?
Sebenarnya pada usia 1.5 hingga 3 tahun anak-anak sangat EGO-CENTRIC. Manakala pada usia 3 hingga 6 tahun ini anak-anak sudah mula mahu membina skil interpersonal mereka. Iaitu skil bergaul. Mereka mula belajar untuk bertolak ansur dan ini juga boleh membuat emosi mereka kurang selesa.
Belajar berkawan bagi sesetengah anak agak mencabar emosi.Pada usia ini anak sudah boleh memahami penerangan anda. Oleh itu jika anak mengamuk, anda sudah boleh memberitahu dan menerangkan bahawa mengamuk itu tidak elok. Jika dia mahukan sesuatu maka dia boleh meminta dengan anda dengan baik.
Oleh itu bila anak meminta sesuatu, anda dengarlah permintaannya, jika boleh beri, jika tidak ambillah masa untuk menerangkan dan berilah alternatif lain. Pada usia 3 tahun, anak itu baru hendak belajar memahami permintaan dan perasaan orang lain. Jika anda bersabar mendidiknya dan bertolak ansur dengannya, maka anak ini tidak akan suka mengamuk semasa usia ini kerana dia sudah boleh berkomunikasi dengan anda.
Ambilah secara serius keperluan anak memberitahu perasaannya. Anda TIDAK perlu ikut semua permintaannya tapi anda perlu memberi ruang untuk dia memberitahu.
Anak-anak sangat aktif masa ini dan memerlukan ‘outlet’ sihat untuk tenaganya digunakan. Rancanglah aktiviti lasak utk dia melakukan setiap hari. Memanjat gril dengan selamat boleh menjadi salah satu aktiviti yang boleh dilakukan di rumah.
Walaupun pada usia ini anak boleh dimarah, namun berpada-padalah memarahi anak. Mendisiplinkan anak adalah penting, tapi ingatlah matlamat disiplin adalah untuk anak itu menjadi lebih upaya.
Jika anak pada usia ini mengamuk; anda boleh memujuk, menenangkan sama seperti usia 1.5 -3 tahun. Cuma pada usia ini anda boleh memberi sedikit hukuman untuk dia faham mengamuk itu tidak baik. Hukuman seperti suruh dia duduk senyap di atas sesebuah kerusi yang anda boleh panggilkan nama yang baik ‘ reflection chair’ , Tujuannya, bila dia duduk di situ, dia akan memikirkan perangainya tadi.
Anda juga perlu peka dan menjadi pro-aktif supaya boleh mengelakkan anak itu mengamuk. Contohnya, jika nampak dia sudah letih, ajaklah untuk tidur atau baring dengan anda sekejap dan buat aktiviti relaks.
Sebenarnya, jika pada usia 1.5 hingga 3 tahun tadi bila anak itu mengamuk, dia dikendalikan dengan baik, membina, sabar dan penuh kasih-sayang, anak itu akan kurang mengamuk pada usia seterusnya.
Apa yang menjadi anak itu suka mengamuk ialah pada usia kecil lagi bila anak itu menangis dan mengamuk, jalan penyelesaian yang diambil oleh ibu bapa, pengasuh dan orang dewasa ialah untuk marah, menengking dan memukul. Maka ledakan emosi anak itu menjadi lagi parah dan terbawa terus ke umur seterusnya!
Oleh itu jika anda hendak anak kurang mengamuk, layan dan kendalikanlah dirinya baik-baik semasa dia mengamuk pada usia 1.5 hingga 3 tahun itu. Teach them with reason, they will learn to be reasonable.
Tapi kalau sudah tersilap, maka mulakanlah sekarang. Banyakkan memberi kasih sayang. Memeluk, menyatakan sayang, mendengar rintihan mereka dan sebagainya.
Ibu masih ingat lagi semasa anak-anak ibu pada usia ini, bila mereka terlampau letih atau sakit dan mereka merengek, Ibu selalu katakan kepada mereka, ‘Tak pe, merengeklah, it is okay. Mummy dengar and mummy sayang..’ ternyata bila mereka sudah puas merengek, mereka senyap dan yang penting mereka rasa mereka dikasihi kerana mereka didengari.
Sumber: Ibu Rose