
Anak selalunya kuat meragam bila bersama ibunya. Memang rata-rata ramai ibu-ibu mengalami masalah ini. Anak akan ‘menjadi lebih baik’ bila bersama bapanya elok sahaja duduk diam.
Bukan sedikit ibu-ibu yang terpaksa melalui situasi ini. Anak-anak akan ‘buat perangai’ bila bersama mereka. Ada yang terlebih manja, sikit-sikit menangis, merengek dan sebagainya.
Anak Selalu Meragam Bila Dengan Ibu
Sebenarnya mengikut kajian yang dilakukan oleh sekumpulan pengkaji dari Jabatan Psikologi University of Washington, prestasi kanak-kanak akan menurun sehingga 800% (8 kali ganda) apabila ibunya berada di dalam bilik yang sama.

Lebih mengejutkan, kajian mendapati jika kanak-kanak berusia 10 tahun dan ke bawah, peratusnya meningkat dua kali ganda menjadi 1600% (16 kali ganda)!
Kajian tersebut dijalankan ke atas 500 buah keluarga yang mengukur kebergantungan kanak-kanak itu, menangis dan merengek, menjerit, percubaan berlaku kasar, terlupa cara untuk berjalan atau bercakap dan bersikap seperti orang bodoh.
Dengan Bapa Elok ‘Baik’
Menurut Profesor dalam bidang Perkahwinan dan Psikologi Keluarga, Dr.K.P Leibowitz, dalam kajian tersebut mereka mendapati kanak-kanak yang berumur 8 bulan boleh bermain dengan riang dan gembira tetapi apabila melihat ibunya masuk ke dalam bilik itu, perangai mereka berubah 99.9%.
Mereka mula menangis, melepaskan apa yang mereka pegang dan meminta perhatian ibunya dengan tergesa-gesa. Baki 0.01% pula mempunyai masalah penglihatan, tetapi apabila mendengar suara ibu, mereka mula melemparkan barang dan meminta makanan walaupun sebenarnya mereka baru sahaja makan!

Salah seorang daripada ayah yang terlibat dalam kajian tersebut (mempunyai 3 orang anak) sangat terkejut dengan laporan kajian dan berkata “Saya selalu tertanya-tanya kenapa isteri saya tak dapat menyiapkan kerja rumah. Rupa-rupanya kelemahannya adalah anak-anak dan dalam masa yang sama magnet mereka adalah ibunya. Ini kerana anak-anak berkelakuan baik ketika dengan saya.”
Ramai suami atau ayah yang mungkin tidak tahu tentang fakta yang ditemui dalam kajian ini kerana si anak cuma buat perangai apabila bersama dengan ibu sahaja.
Kajian ini juga mendapati jika dalam situasi untuk membetulkan disiplin anak-anak, 100% (semua sekali) lebih responsif kepada kata-kata yang diucapkan dengan nada normal daripada seseorang selain daripada ibunya! Malah untuk mendapatkan respon yang sama pula, seorang ibu dalam kumpulan itu harus meninggikan suaranya pada si anak.
Jadi, lepas baca hasil kajian ini janganlah ayah cakap ibu cepat manjakan anak sampai jadi mengada-ngada. Sebenarnya ibu itu sendiri macam magnet kepada anak-anak. Asyik nak melekat je!
Sumber: ohsemama via Pa & Ma Kredit foto top image: Freepik
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
4 Amalan Ibu Ini Yang Mengajar Dua Anaknya Hafaz Al-Quran Di Usia Setahun Lebih Boleh Diamalkan

Anak yang sering kali diperdengarkan bacaan al-Quran sejak kecil berpotensi untuk celik al-Quran dengan mudah. Amalan ini jika dibuat berterusan sangat elok.
Jadikan amalan ini kebiasaan dalam diri anak-anak. Apa yang dikongsikan oleh Puan Siti Aminah Sulaiman kepada dua anaknya sehingga boleh menghafaz al-Quran boleh dilakukan oleh semua ibu bapa kepada anak masing-masing.
InshaAllah saya akan kongsikan ilmu bagaimana saya ajar anak saya Nursolehah menghafaz al-Quran dari bayi. Ilmu ini sangat MAHAL dan biasanya saya hanya kongsikan ketika seminar saja.
Tapi hari ini saya kongsikan buat tatapan semua supaya setiap ibu ayah dapat melahirkan anak yang CINTA al-Quran.
Pada pendapat saya kita tak perlu jadi seorang Hafizah atau Hafiz al-Quran baru kita layak untuk ajar anak hafaz al-Quran.
Melihat kepada latar belakang saya sendiri dari bidang Audiologi dan suami dari bidang medical, kami juga mampu didik kedua anak kami hafaz al-Quran dari kecil (dengan Izin Allah). Yang penting ialah TAHU kaedah yang betul
Ini pendekatan yang saya gunakan:

1) MULA SEAWAL YANG MUNGKIN
Mengajar anak menghafaz sebaiknya bermula seawal yang mungkin dari anak masih bayi lagi.
Setiap kali saya menyusukan anak saya Nursolehah, saya akan pastikan diri saya mengalunkan surah-surah pendek yang saya hafaz.
Cukuplah dengan kita bacakan surah-surah lazim seperti al Fatihah, 3 Qul dan surah pendek lain dari Juz Amma.
Saya lebih gemar gunakan suara saya sendiri memandangkan sepanjang 9 bulan anak berada di alam rahim, dia sudah ‘kenal’ dengan suara ibunya.
Anak yang baru lahir paling selesa dengan suara ibunya.
2) KETIKA ANAK BERUMUR 1 TAHUN 6 BULAN
Pada usia Nur solehah menjangkau 1 tahun 6 bulan, saya mula ajar dia untuk sebut satu persatu ayat-ayat al Quran.
Kenapa pada usia 1 tahun 6 bulan (18 bulan)?
Saya lihat kepada carta perkembangan bahasa, purata bayi normal yang berumur 18 ke 24 bulan boleh menghasilkan 2-3 suku kata perkataan.
Contoh 2 suku kata ialah:
/a-ba / / a-ma / /a-tok/
Jadi apa yang saya buat dirumah ialah saya pecahkan sebutan ayat-ayat dalam surah kepada 2-3 suku kata, dan saya lihat anak saya boleh ikut walaupun pelat pada awalnya.
Setiap kali saya baca, saya beri peluang anak ulang semula apa yang dia dengar.
Tipsnya ialah pastikan anak MESTI nampak pergerakan mulut kita supaya dia boleh tiru sebutan ayat al-Quran.
Contoh untuk Basmallah:
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Pecahkan kepada 2-3 suku kata:
Bismil-lah / hir-rah-mah/ nir-ra-him/
KESILAPAN BESAR yang biasa kita buat ialah bila kita bacakan ayat penuh kepada anak (tanpa pecahkan kepada suku kata),
Maka apa yang berlaku ialah anak tidak dapat ikut sebutan kita kerana anak hanya mampu hasilkan 2 suku kata saja pada umur ini.
Menggunakan kaedah ini,
dengan Izin Allah Nursolehah sudah mampu hafaz dengan lancar al Fatihah, 3 Qul ,Al Kafirun, Al Bayyinah, Al Masad dan surah dalam Juz Amma.
Boleh lihat pada video bacaan Surah AL Bayyinah.
3) KERAP PERDENGARKAN BACAAN AL-QURAN
Apabila anak berusia 2 tahun saya kerap pasangkan dia murattal al-Quran.
Saya hanya download saja apps Juz Amma Mishary Alafasy MP3 di phone. Kualiti bacaannya sangat bagus.
Saya cadangkan yang baru hendak bermula ajar anak hafaz untuk download apps ini.
Pastikan kita perdengarkan anak dengan bacaan dari Qari yang sama, kerana anak menghafaz dengan intonasi dan lengguk Qari yang mereka kerap dengar, maka jika kita kerap tukar Qari akan menganggu daya ingatan anak pada surah yang sedang mereka hafaz.

4) PASTIKAN SELALU SEMAK BACAAN ANAK
Ingatan anak kecil ni ibarat “sponge”. Mereka sangat mudah ingat apa yang mereka kerap dengar.
Tetapi mereka juga sangat cepat lupa kerana anak yang menghafaz melalui kaedah Audio ini selalunya simpan maklumat di Short Term memory.
Short term memory ini sifatnya mudah ingat tapi cepat hilang.
Maka untuk kita kekalkan hafazan mereka, penting untuk kita selalu semak semula hafazan anak.
Pengalaman saya sendiri ketika ajar Nur Solehah menghafaz, jika saya tertinggal untuk semak bacaan dia dalam masa 2 minggu saya dapati banyak ayat yang dia sudah lupa atau tertukar dengan surah lain.
Jangan risau atau lemah semangat bila anak lupa apa yang mereka hafaz, anggaplah ianya peringatan dari Allah untuk kita lebih dekat dengan al-Quran.
Ini salah satu tanda kasih sayang Allah pada kita, melalui anak-anak kita sendiri.
Alhamdulillah kini pada usianya 4 tahun dia sudah menghafaz Surah Taha bersama dengan abangnya dan juga surah Al Kahfi.
Semoga perkongsian kali ini memudahkan pembaca yang ingin mengajar anak sendiri hafaz al-Quran dirumah.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Semua Anak Lalui Fasa Nakal, Ini Cara Mereka Nak ‘Explore’ Jadi Bijak

Menangani anak-anak yang nakal merupakan satu tugas yang mencabar kepada ibu bapa. Kalau dilihat daripada perkembangan anak-anak, memang semua anak-anak akan melaluoi fasa ini.
Ya, semua anak akan mengalami fasa ‘nakal’ atau aktif sebenarnya. Kita yang sudah jadi mak ayah pun sama juga. Menurut Terapis Cara Kerja, Puan Maryam Jamadi, fasa ‘nakal’ ini selalunya bermula semasa fasa autonomi (18 bulan – 3 tahun) dalam perkembangan emosi dan sosial.
Anak akan mula mengamuk apabila tidak mendapat apa yang dikehendaki, nak lari ke sana ke mari ke tempat yang dia mahu, ambil apa yang dia mahu dan sebagainya. Waktu inilah fasa kritikal membentuk tingkahlaku anak. Kalau mak ayah abaikan waktu ini, tingkahlaku negatif anak akan menjadi semakin berpanjangan.
Berikut dikongsikan tip penyelesaian masalah tingkahlaku anak yang biasa ada pada semua anak. Sesuai untuk anak berumur 18 bulan ke atas. Tip ini adalah perkongsian daripada Puan Maryam Jamadi

MASALAH ANAK DAN PENYELESAIAN
1. Anak terlampau aktif di luar rumah
Ramai orang ingat semakin kita kurung anak, semakin anak dapat dikawal. Sebenarnya tidak, semakin kita kurung semakin anak susah dikawal. Konsepnya sama dengan semasa anak baru “dapat kaki”, asyik nak berjalan sahaja sampai dah tak fikir apa-apa. Tetapi pasti sampai satu masa, anak akan mula kurangkan aktiviti berjalannya berbanding masa mula-mula “dapat kaki”. Betul tak?
Agak-agak kalau kita sekat anak dari berjalan dengan ikat kakinya, dia akan berhenti berjalan? Masa diikat sahaja anak berhenti berjalan, bila buka ikatan lagi kuat anak nak berjalan. Sama juga bila kita kurung anak, bila dilepaskan makin susah dikawal.
Dunia ini terlampau kecil bagi anak sehinggakan benda kecil pun dapat buat anak bahagia. Bawa pergi “shopping mall”, tak beli apa-apa pun anak dah bahagia sehingga nak lari kesana kemari.
Percaya tak kalau saya kata, ada perbezaan tahap aktif pada anak jika kita bandingkan anak yang mak ayah bawa keluar setiap hari dan anak yang mak ayah bawa keluar sebulan sekali? Sangat-sangat berbeza. Sebab itu, setiap kawasan perumahan pasti ada taman permainan kerana taman permainan adalah keperluan WAJIB untuk perkembangan anak-anak kita.
Kalau perasan anak susah dikawal apabila pergi ke taman permainan, bawalah mereka ke sana selalu. Kalau anak susah dikawal apabila pergi pasaraya, bawalah mereka pergi untuk “window shopping”. Tetapi kalau perasan anak sangat susah dikawal semasa di luar rumah, saya sarankan cari tempat yang:
– Kurang padat supaya anak mudah dikawal dan tidak mengganggu orang lain.
– Selamat (tiada barang mudah pecah dan tajam).
– Ada kawasan lapang untuk anak berlari. Kalau anak lari laju, mak ayah pakailah kasut sukan supaya senang nak kejar.
– Keluar dengan pasangan atau kawan supaya ada orang lain, elakkan bersendirian.
– Pakaikan “baby harness”.

2. Anak pantang tengok sesuatu benda
(Pantang tengok gadget/TV tak termasuk dalam kategori ini ya.)
Contoh: Anak pantang nampak tangga. Semakin mak ayah halang anak naik tangga, selama-lamanya anak akan pantang nampak tangga. Jadi, caranya banyakkan lagi “main tangga” tetapi dengan pantauan dan selagi ia selamat sebab lambat laun anak perlu juga belajar naik dan turun tangga.
Anak saya sendiri, saya dah dedahkan dengan tangga sejak dia umur 6 bulan waktu sibuk nak merangkak tetapi dengan pantauan. Hasilnya umur 1 tahun lebih, anak dah tak “heran” dengan tangga. Tangga tetap ada pagar untuk keselamatan tetapi setiap kali naik dan turun beri anak cuba sendiri, mak ayah jaga di belakang/bawah anak macam penjaga gol.
Sama juga kes anak asyik nak berlari naik turun escalator. Semakin dihalang, semakin anak nak berlari ke sana. Kalau ada yang macam ini, luangkan masa untuk naik dan turun dengan anak berulang kali. Semakin awal kita dedahkan sehingga mereka jemu, semakin mereka kurang berlari ke arah tempat itu tetapi kena hati-hati dengan kaki tersepit di penghujung escalator. Cara saya, saya akan angkat anak sedikit sebelum sampai penghujung escalator.
3. Anak bising di kedai makan
Kadang-kadang ada situasi dimana kita tak boleh elak masa anak tengah ada mood nak buat bising atau mengamuk di kedai makan. Cara terbaik untuk mengawal anak dikedai makan adalah anak pun perlu sibuk makan sekali. Kalau tidak, mak ayah boleh cuba tips di bawah:
-Kenal pasti mood anak sebelum pilih kedai makan.
– Cari meja yang paling hujung dan kawasan kurang padat.
– Bawa mainan jika anak tidak makan bersama mak ayah.
– Elakkan duduk terlampau awal di kerusi bayi untuk elak anak cepat bosan.
– Bawa anak berjalan-jalan keliling kedai makan sebelum makanan sampai.
4. Anak terlampau aktif di rumah orang lain
Kalau mak ayah dah ada pengalaman anak asyik nak panjat meja, ataupun nak ambil barang perhiasan di rumah orang lain sehingga susah dikawal. Beritahu atau tanya dengan tuan rumah dahulu yang kita ada anak kecil yang tengah fasa meneroka supaya tuan rumah dapat bersedia dan simpan harta karun yang berharga sementara mak ayah beraya. Ataupun tanya dahulu, sesuai tak nak bawa anak kecil yang sedang aktif.
Jika anak dah mula memahami arahan, beritahu anak awal-awal “kawasan larangan”di rumah orang lain. Adab dirumah orang perlu sangat ditekankan pada anak dari awal. Sebelum mak ayah makan serentak, minta tolong saudara terdekat untuk tengokkan anak yang sibuk bermain.

5. Anak pecahkan cawan atau pinggan
Senang sahaja, kalau anak masih kerap jatuhkan pinggan atau cawan. Siap-siap bawa mangkuk dan cawan plastik dalam beg sebelum beraya. Air pula tuang sikit-sikit cukup 3 teguk supaya kurang risiko tumpah habis karpet rumah orang.
6. Anak main bersepah
Terapkan dan amalkan kemas mainan selepas main seawal anak umur 18 bulan. Sebelum itu mak ayahlah yang perlu tunjukkan sikap mengemas kerana anak belajar melalui pemerhatian. Lama-kelamaan anak pun akan terikut sama dan berminat nak belajar kemas mainan. Sampai satu masa, kita dah tak perlu membebel minta anak kemas mainan lepas main, cuma perlu puji sahaja.
7. Anak mudah cedera semasa bermain
Apa yang mak ayah boleh buat untuk kurangkan risiko kemalangan anak disamping dengan pemantauan, mak ayah boleh kenalkan unsur-unsur bahaya sebelum anak bermain, boleh kenalkan ciri-ciri:
– Tajam (Buju meja atau permukaan tajam)
– Bahaya (Lintas jalan)
-Tinggi (Meja atau kerusi tinggi)
– Panas (Air panas atau seterika)
– Pedas (Makanan pedas, cili dll)
– Sakit (Baling barang)
Kalau 6 ciri-ciri ini anak dah tahu, insyaAllah mak ayah tak perlu dah asyik nak kata “careful” berjuta kali semasa anak bermain.
Kesimpulannya, yang paling penting mak ayah WAJIB “kenal” anak sendiri. Kena tahu kelebihan dan kelemahan anak supaya mudah kita anak atasi tingkahlaku anak. Tip yang ini sebenarnya sangat mudah untuk dilakukan dan sebenarnya banyak yang mak ayah sudah lakukan tanpa sedar. Pendidikan anak bermula dari rumah, disiplin pun bermula dari rumah. Jangan marah anak letak kasut bersepah kalau kita pun letak kasut bersepah.
Mulakan sejak awal, jangan tunggu jadi buluh baru nak lentur. Masa itu anak pun dah “keras”. Jangan putus asa dalam mendidik anak. Kata-kata kita adalah doa pada anak. Sebab itu orang dulu-dulu bahasakan anak yang aktif ini sebagai “anak banyak akal”. Tak ada pula bahasakan “anak tarzan”, “anak nakal”, “anak degil”, “anak monyet” dan sebagainya.
Anak yang terlampau aktif di mana-mana tempat dan tidak kira situasi juga merupakan tanda-tanda ADHD (Attention Deficit Hyperactive Disorder). Jika mak ayah mendapati anak ada masalah ini dan tidak tahu bagaimana untuk membantu anak, sila rujuk anak kepada profesional.
Sumber: Maryam Jamadi Pediatric Occupational Therapy, BEYOND Home Therapy
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Percayalah, Ibu Yang Suka Bercerita Membantu Anak Lebih Pintar. Baca 10 Faktanya!

Siapa suka bercerita dengan anak? Sememangnya anda ibu bapa yang hebat kalau rajin bercerita atau membacakan buku cerita untuk anak secara konsisten setiap hari.
Kalau kita tengok cara orang putih membesarkan anak, mereka memang suka bercerita atau membacakan buku cerita untuk anak-anak. Kalau anda nak tahu, amalan suka bercerita ini sebenarnya memberi kesan positif terhadap tumbesaran anak.
Anda pasti tidak akan malas hendak bercerita atau membacakan buku cerita kepada anak kalau tahu manfaatnya.
1. ANAK CEPAT BERCAKAP
Mengembangkan kemampuan pertuturan dan memperkaya kosa kata anak terutama si kecil yang sedang belajar bercakap. Perbendaharaan kata baru yang didengar melalui cerita akan membantu memperbanyakkan penguasaan kosa katanya ketika bercakap. Secara tidak langsung kita sebenarnya telah mengajar banyak perkataan baru kepada anak melalui amalan bercerita.
2. ANAK FAHAM BAHASA YANG SUKAR
Melatih dan memperkaya kemampuan berbahasa dan memahami struktur bahasa yang lebih sukar.
3. MENGENALKAN PELBAGAI EMOSI
Bercerita adalah proses mengenalkan bentuk-bentuk emosi dan ekspresi kepada anak seperti marah, sedih, gembira, kesal dan lucu. Ia membantu memperkayakan pengalaman emosinya yang akan mempengaruhi pembentukan dan perkembangan kecerdasan emosionalnya.
Sebaiknya semasa bercerita, berikan penekanan intonasi pada bentuk emosi mengikut jalan cerita. Misalnya dengan menunjukkan mimik muka atau ekspresi yang bersesuaian sehingga anak anda mampu mengenali dan memahami bentuk-bentuk emosi tersebut.
4. ANAK LEBIH CERIA DAN GEMBIRA
Memberi kesan menyeronokkan, bahagia dan ceria terutama bila mendengar cerita kelakar. Secara psikologi, cerita kelakar akan membuatkan anak berasa gembira dan ceria. Secara tidak langsung ia membantu anak memahami nilai-nilai murni yang hendakk diajarkan daripada cerita tersebut.
Namun, jangan sekali-kali bercerita kisah lucu yang memperlihatkan kebodohan atau kekurangan orang lain.

5. ANAK LEBIH KREATIF DAN PANDAI BERIMAGINASI
Merangsang daya imaginasi dan kreativiti anak, menguatkan memori serta membuatkan anak mampu berfikir lebih kreatif dan cerdas. Jalan cerita yang mempunyai pelbagai bentuk emosi dapat meningkatkan daya imaginasi anak sehingga dia dapat belajar dengan cara membayangkan cerita tersebut.
Jangan terkejut kerana satu hari nanti anak kecil anda mampu untuk menceritakan kembali cerita tersebut dengan lengkap. Selain dari itu sesekali biarkan anda bercerita dengan penutup yang tergantung, biarkan akan belajar menjadi kreatif dengan daya imaginasi untuk menghabiskan cerita tersebut.
Secara tidak langsung ia membantu anak melatih daya imaginasi dan kreativitinya. Ia sangat berguna apabila dia melangkah ke alam persekolahan terutama apabila membuat karangan.
6. ANAK MUDAH MENGASIHANI ORANG LAIN
Dapat menumbuhkan perasaan empati dalam diri anak. Oleh itu semasa bercerita terutama jika cerita sedih atau menyentuh jiwa pastikan ia dapat menyentuh perasaannya dan menimbulkan rasa empati.
Sekurang-kurangnya selepas ini jika dia melihat sendiri kisah sedih orang lain, dia mudah berasa simpati dan empati dan terus ingin membantu.

7. ANAK LEBIH CERDAS
Melatih dan mengembangkan kecerdasan anak. Cerita bukan sahaja menyeronokkan anak tetapi mampu memberi manfaat luar biasa bagi kecerdasan anak secara kognitif, emosional, spiritual dan visual.
Dari segi kognitif ia memudahkan proses pembelajaran anak kerana kemampuan berfikir otak lebih mudah menyerap nilai yang terkandung dalam cerita.
Secara emosional pula, cerita dapat mempengaruhi perasaan hati dan mencetuskan perasaan empati dan positif dalam diri anak.
Sementara dari aspek spiritual, cerita boleh mendidik jiwa anak mempercayai kewujudan Tuhan sebagai pencipta yang paling agung dan yang paling layak disembah. Jika kita sering bercerita kisah ketuhanan dan kisah para Nabi, Rasul dan Sahabat, secara tidak langsung mereka dapat mengaplikasikan segala kebaikan yang dipelajari daripada cerita yang didengar dalam kehidupan seharian.
Kisah kehidupan Rasulullah s.a.w, kisah para sahabat Nabi atau para syuhada adalah cerita benar yang tepat untuk merangsang kecerdasan anak.
8. PENDIDIKAN TERBAIK
Bercerita adalah cara terbaik mendidik tanpa kekerasan, menanamkan nilai moral dan etika serta melatih disiplin dalam diri anak.
9. ERAT HUBUNGAN IBU BAPA & ANAK
Bercerita dapat mengeratkan hubungan antara ibu bapa dengan anak. Amalan bercerita dapat memberi peluang ibu bapa untuk menghabiskan masa berkualiti dengan anak terutama bagi yang terlalu sibuk. Dengan membacakan buku cerita ia membuka peluang untuk kita lebih mendekati anak sehingga dapat membina sebuah komunikasi yang baik.
10. BENTUK PERIBADI MULIA
Membentuk peribadi yang baik di kalangan anak. Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membentuk peribadi anak-anak. Sebagai ibu bapa sudah tentu kita mahu anak membesar sebagai insan yang berperibadi mulia. Anak-anak bukan sahaja mahukan ibu bapa memenuhi keperluan material semata-mata tetapi perlu juga memenuhi keperluan rohani.
Jadi, dengan ikatan yang rapat dengan anak ia mampu memberi kebahagiaan yang tidak ternilai harganya. Ia membantu membentuk anak-anak yang membesar dalam suasana positif seterusnya menjadi insan yang berperibadi mulia.
Sebagai langkah awal untuk menanam minat membaca anak, ia perlu dimulakan daripada ibu bapa. Cerita yang menarik mampu membuatkan anak terpaku mendengarnya dan mencambahkan rasa ingin tahu dan ‘ketagih’ terhadap aktiviti bercerita atau membaca buku cerita.
Semakin tinggi rasa ingin tahunya, semakin tinggi pula minat membacanya, sehingga membuatkan dia membesar sebagai anak yang suka membaca dan menghargai ilmu.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


