Anak Selalu Sakit, Selalu Demam Rupa-Rupanya Berpunca Dari 6 Perkara Ini! Mak Ayah Kena Alert

Share

Sistem pertahanan badan bagi bayi dan kanak-kanak adalah masih belum matang dan ia akan berkembang selari dengan tumbesaran mereka.

Baca: “Hamil Anak Perempuan, Naik Kurap Satu Badan. Suami Suka Tengok Cermin & Mengemas”

Jadi, sekiranya kanak-kanak kecil mengalami jangkitan demam selsema, sungguhpun mencapai sehingga 5-6 kali setahun, ia masih dianggap normal.

Namun pasti ada tanda tanya, adakah anak selalu sakit disebabkan cara penjagaan yang salah atau masalah pada persekitaran yang tidak sihat?

Jika anak selalu sakit, cuba periksa 6 perkara ini terlebih dahulu.

1. Terdedah pada virus di pusat jagaan

Menurut pakar, pusat penjagaan kanak-kanak boleh diibaratkan sebagai lubuk virus dan bakteria yang boleh menyumbang kepada penyakit seperti selsema dan penyakit tangan, kaki dan mulut. Anak-anak kecil yang bergaul bersama lebih mudah dijangkiti kuman. Mereka juga masih kecil dan sering lupa untuk menutup mulut dan hidung ketika bersin atau batuk. Oleh itu, kuman lebih mudah tersebar.

Ingatkan pada anak anda untuk basuh tangan selepas pulang dari taska dan segera tukar baju. Pastikan taska tersebut mengamalkan kebersihan pada cara penyediaan makanannya, persekitarannya dan pada anak muridnya.

2. Selalu makan makanan ringan

Makanan ringan bukan sahaja tidak berkhasiat, malah menjadikan anak lebih cenderung dijangkiti penyakit. Kuatkan sistem imuniti anak anda dengan memberikannya makanan kaya ‘phytonutrien’. Menurut pakar pemakanan, makanan kaya phytonutrien mudah dikenali kerana warnanya yang terang. Buah-buahan dan sayuran yang kaya phytonutrien ialah seperti beri biru, keledek, tomato dan bayam.

Lebihkan juga pengambilan makanan kaya Vitamin C seperti buah oren, vitamin D seperti tuna dan bijirin serta probiotik yang terdapat dalam yogurt untuk sistem imuniti yang lebih kuat.

3. Anak tak cukup tidur

Jangan biasakan anak tidur lewat dengan gajet di tangan atau menonton televisyen sehingga lewat malam. Ajarkan juga dia supaya lakukan kerja sekolah lebih awal supaya tidak perlu bersengkang mata untuk siapkannya.

Kanak-kanak yang tidak cukup tidur membuatkan aktiviti sel darah putih yang melawan penyakit hilang kesannya. Untuk anak di bawah umur 13 tahun, pastikan mereka mendapat tidur 10 jam sehari. Corak tidur yang konsisten dapat menguatkan sistem imuniti dalam badan mereka.

4. Anak kurang bergerak aktif

Tidak kiralah kanak-kanak atau dewasa, bersukan adalah cara terbaik untuk kekal sihat bertenaga. Asyik terperap saja di rumah menonton kartun.

Ajak anak anda ke taman permainan atau keluar bersiar-siar.Menurut kajian, bila anak lebih aktif bermain, sistem imunitinya menjadi lebih aktif bagi melawan jangkitan virus.

5. Berkongsi barang

Anak-anak kecil suka menerokai dunia sekeliling dengan menyentuh objek dan berinteraksi dengan orang lain. Mereka juga suka berhubung dengan kanak-kanak lain dengan berkongsi mainan dan makanan.

Biasakan anak untuk selalu membasuh tangan selepas bermain. Bekalkan mereka dengan ‘hand sanitizer’ jika perlu. Ingatkan mereka untuk tidak menyentuh muka sendiri jika tangan tidak bersih kerana virus lebih mudah masuk melalui mata, hidung dan mulut. Latih mereka untuk tidak berkongsi cawan, straw dan berus gigi.

6. Mangsa asap rokok

Satu lagi perkara yang mungkin anda terlepas pandang adalah tentang bahayanya asap rokok terhadap bayi dan kanak-kanak. Tidak kiralah sama ada anda merokok di hadapan atau di belakang anak, situasi ‘secondhand smoker’ tetap akan menjejaskan kesihatan mereka.

Ini kerana, anak-anak memiliki organ dan sistem pernafasan yang sangat sensitif. Bahkan, DoktorBudak.com melaporkan bahawa kanak-kanak yang tinggal bersama perokok ini lebih berisiko mengalami jangkitan kuman pneumonia dan kematian mengejut.

Jika pasangan anda adalah perokok tegar dan masih belum boleh berhenti merokok, ingatkan mereka untuk mandi dan menukar pakaian setiap kali sebelum memegang bayi.

Sistem Imunisasi Anak Sedang Berkembang

Mengelakkan anak dari penyakit bukan perkara mudah. Kita juga perlu faham yang anak kecil lebih sering sakit kerana sistem imunisasinya sedang berkembang. Kekerapannya untuk jatuh sakit akan semakin berkurang apabila anak semakin membesar.

Ibu bapa perlu berikan yang terbaik untuk mengekalkan kesihatan anak. Biasanya penyakit anak akan baik sendiri dengan penjagaan rapi oleh ibu bapa. Jika penyakit berlarutan agak lama, segeralah dapatkan nasihat doktor.

Sumber: zuriat.my

Published by
NuFa