Bila anak selesema, mulalah mereka buat perangai, menangis dan merengek tidak selesa. Semuanya kerana rasa tidak selesa, hidung tersumbat ditambah dengan hingus yang keluar tanpa henti. Bila anak asyik menangis tidak selesa, terutamanya waktu malam, mak ayah pun terkesan sama.
Menurut Dr Ezairy M.Sallih, masalah selesema anak jangan dibiarkan terlalu lama kerana akan memberi kesan kepada organ lain. Salah satunya adalah telinga. Nak elakkan anak selesema? Doktor kongsikan tipnya.
Siang tadi semasa saya periksa seorang pesakit ini, dalam diam Tan Sri Profesor Amin datang dari belakang. Dia duk perhati saya bersihkan telinga seorang bayi ini.
Pesakit ini berumur satu tahun dua bulan. Sudah hampir sebulan telinganya berair. Bermula dengan serangan sakit tekak dan demam. Kemudian selesema dan hidung berair yang susah nak berhenti. Pada masa sama telinga pun mulai keluar cecair.
Hari ini ibu bapanya membawa beliau ke klinik kami di PPUM. Selepas saya periksa, saya keluarkan dan sedut semua nanah yang ada dalam telinganya, rupa-rupanya gegendang telinga beliau sudah bocor!
Keadaan ini boleh berlaku kepada mana-mana pesakit terutama pada usia kanak-kanak. Jangkitan ke telinga lebih mudah berlaku kepada anak-anak berbanding kita-kita yang dah ‘tua’ ini.
Saya berikan ubat titis antibiotik untuk diletak pada telinganya. InshaaAllah akan sembuh nanti.
Prof Amin sempat pesan kepada ibu pesakit ini, kalau boleh waktu pagi itu mandikanlah dengan air suam-suam. Supaya gejala selesema ini mudah terkawal. Suam bukan panas ya. Ini petua orang tua yang tak salah kalau nak amalkan.
Penghawa dingin juga perlu berpada-pada untuk bayi dan kanak-kanak. Biasanya anak kita jadi selesema tak berhenti ini bukan sahaja sebab sejuknya aircond itu, tetapi juga sebab habuk dan hama yang terkumpul pada aircond tu melekat masuk pada hidung anak kita.
Semoga keluarga kita diberi kesihatan berpanjangan.