Anak Suka Buat Perangai Dan Dengki? Bertindaklah Segera!

Share

Anak suka buat perangai dan dengkikan adik beradiknya yang lain? Jangan abai, periksa segera puncanya.

Tanpa sedar, perasaan dan emosinya terjerut yang kemudiannya akan menjadi punca kepada berontaknya jiwa mereka. Susunan kelahiran boleh memberi kesan kepada anak-anak anda terutamanya anak kedua atau di tengah.

Sindrom anak kedua atau anak tengah adalah masalah besar pada kanak-kanak hingga ada yang mengatakan anak kedua sering menimbulkan masalah dan buat perangai.

Menurut pakar psikologi Kevin Leman dama bukunya, The Birth Order Book,  anak tengah adalah anak kedua yang dilahirkan dalam keluarga lebih daripada dua adik beradik. Ada kala, anak tengah merasa kekurangan dan sentiasa berusaha untuk mendapatkan perhatian ibu mama dan papa. Antara gejalanya ialah;

1.Kurang rasa memiliki

Anak tengah mungkin tidak ada rasa “memiliki” kepada keluarga seperti anak-anak lain. Dia rasa dia perlu berjuang untuk lebih untuk dekat dengan keluarga kerana berasa diabaikan dan ‘tidak diingini’. Kadang-kadang, anak tengah juga merasakan dihimpit di antara adik-beradik yang lain. Dia rasa tiada ruang untuk dirinya di dalam keluarganya!

Cara atasi: Mama dan papa perlu memberikan perhatian. Selalu ajaknya bermain dan ucapkan penghargaan dan memuji mereka agar mereka tidak terpinggir.

2.Rendah diri

Anak kedua atau pertengahan selalu merasakan bahawa dirinya tidak diingini dan mungkin mempunyai harga diri yang sangat rendah. Malah lebih buruk lagi, si kecil membina rasa “tidak diperlukan” dalam dirinya hingga boleh menjejaskan emosinya sehingga dewasa. Hal ini mempunyai kesan yang serius kepada pembangunan keseluruhannya. Dia akan mengalami perasaan rendah diri dalam proses pembesarannya. Keyakinan dirinya juga mungkin tipis kerana perasaan yang terlepas pandang oleh mama dan papanya

Cara atasi: Jangan  membandingkan mereka dengan adik-beradik lain dan cari jalan untuk mengawal tindak balas anak kepadanya supaya dia berasa seiring dengan anda.

3.Suka menyendiri

Selalunya  mereka lebih cenderung menyendiri dalam apa-apa aktiviti serta mempunyai personaliti introvert atau tidak suka bersosial. Mereka merasa seperti orang luar dalam keluarga. Oleh sebab itu mereka suka melakukan semua perkara sendiri seperti memakai pakaian sendiri, makan sendiri atau bermain sendirian.  Suka menghabiskan masa dengan bersendirian kerana berasakan tiada orang mengendahkan dirinya. Dia cuba untuk mencipta dunianya sendiri dan berdikari.

Cara atasi: Adakan waktu khas untuk mama atau papa dengan dia si anak tengah. Luangkan masa untuk bermain bersama-samanya. Main peranan masak-masak atau sekadar membaca bersama-sama. Mama juga boleh mengajaknya keluar berdua sahaja tanpa membawa adik-beradik lain. Katakan hari ini girls day out!

4.Kecelaruan

Kanak-kanak yang menghidap sindrom kedua juga tidak jelas arah tuju. Terdapat banyak kekecewaan di dalam diri mereka dan mereka berjuang untuk mencari arah yang sebenar kehidupan mereka. Mereka tidak selesa untuk berhubungan rapat dan bermesra dengan ibu bapa dan adik-beradik mereka. Ada juga keadaan anak tengah lebih rapat dengan kakak atau abang berbanding ibu dan ayahnya sendiri! Kebanyakan mereka yang mengalami sindrom ini mempunyai risiko kecelaruan untuk menentukan minat, menyalurkan bakat serta tiada arah tuju.

Cara atasi: Mereka mahukan perhatian anda dan kata-kata perangsang. Pandulah potensi dan bakat dirinya kepada bidang yang bersesuaian agar dia boleh melihat jelas masa depannya.

5.Keras kepala dan buat perangai

Selalunya, anak kecil akan percaya apa yang dikatakan oleh ibu dan ayahnya dan benar-benar bergantung kepada kedua-duanya. Tetapi tidak bagi si manja yang mengalami sindrom anak pertengahan ini. Mereka yang sudah menanamkan perasaan diabaikan dan tidak disayangi dalam dirinya berasa sukar untuk mempercayai dan mendengar kata-kata orang lain.  Ada kalanya mereka ini cenderung untuk keras kepala dan enggan mendengar pendapat orang lain.

Cara atasi: Sementelah dirinya dirasakan terabai, kata-katanya juga enggan didengari. Tidak adil bagi si kecil ini. Justeru, biarkan si kecil meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Biar dia merasakan dirinya ‘didengari’. Mintalah pendapatnya dalam apa-apa hal secara spontan. “Apa pendapat kakak kalau ibu pakai baju ini dengan seluar ini?” atau “Abang rasa kita perlu atau tidak bersihkan sangkar kucing kita? Dah kotor ke? Cuba Abang tengok?”.


 

TIP TANGANI AWAL SINDROM ANAK TENGAH

Sindrom anak kedua ini memanglah kelihatan tidak berbahaya namun dalam jangka masa panjang ia boleh menjejaskan emosi dan psikologi si anak. Hal ini memanglah mencabar dan perlukan inisiatif dan tanggungjawab dari ibu dan ayah. Berikut adalah perkara yang boleh untuk menangani tanda-tanda awal sindrom ini.

a)Bersikap adil

Berikan sama rata apa jua barang atau hadiah kepada si manja dan adik- beradiknya. Misalnya untuk hadiah hari jadi si abang mendapat kamera digital manakala adiknya mendapat sebuah basikal baru manakala bagi dirinya hanyalah sebuah buku. Ini jelas tidak adil untuk si anak tengah!

b)Luangkan masa untuk setiap anak

Cuba ingati masa yang anda luangkan untuk setiap anak, adakah seimbang adakah adil? Jika merasakan ada anak yang ketinggalan dalam meraih perhatian anda, maka lebihkan fokus dan masa anda kepadanya untuk tempoh tertentu.

c)Beri perhatian

Misalnya si kecil bercerita kepadanya yang dia berasa sunyi dan ingin memasak atau bermain dengan anda. Ini tandanya dia perlukan perhatian anda. sesuaikan dengan keadaan anda. Biarkan dia membantu anda memasak kerana sekurang-kurangnya anda dan dia dapat meluangkan masa bersama-sama.

d)Bijak guna masa

Masa terhad di rumah menjadi kekangan untuk anda memberikan perhatian kepada setiap anak. Manfaatkan masa di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke tadika atau semasa makan untuk bertanya tentang perkembangan terkini dirinya. Misalnya tentang apa yang dia makan di sekolah, kawan rapatnya hadir ke sekolah atau tidak dan sebagainya. Hal ini menunjukkan anda berminat kepada dirinya dan dia rasa tidak terabai.

e)Cuba empati

Letak diri anda pada kedudukan anak. Dengan ini anda boleh merasakan jika dia sedang cemburu, menjauhkan diri dan sedih dengan tindakan anda. Anda juga boleh mengesan perubahan dirinya dan mengelakkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membuatnya bersedih.

Published by
Azma ML