Bayi dan kanak-kanak kecil suka hisap jari atau apa saja objek yang diletakkan di bibir. Ini adalah refleks semula jadi dan akan berterusan beberapa bulan selepas dilahirkan.
Jadi menghisap jari adalah normal bagi bayi yang baru dilahirkan, dan kalau ia berterusan sehingga usia 2-3 tahun pun adalah perkara biasa. Tidak perlu dipaksa berhentikan tabiat ini. Tiada sebarang masalah akan timbul jika ia berhenti sebelum usia 3 tahun.
Jika ia berterusan selepas usia 3 tahun, beberapa masalah pada aturan gigi akan berlaku:
1- Gigi hadapan akan terbuka dan tidak rapat semasa menggiti (anterior open bite)
2- Gigi kacip atas akan jongang
3- Gigi kacip bawah mungkin akan tertolak kedalam atau keluar
4- Lidah akan terjelir kehadapan semasa menelan dan memburukkan lagi anterior open
bite ini.
5- Gigitan silang dibahagian belakang.
Jika tabiat ini dapat dihentikan sebelum usia 6 tahun iaitu sebelum gigi kacip kekal tumbuh, biasanya semua masalah diatas akan hilang dengan sendirinya. Tiada rawatan yang diperlukan, cuma pemantauan oleh doktor gigi sahaja.
Bagaimana mahu mengatasi atau memberhentikan tabiat hisap jari ini?
Yang terbaik ialah berjumpa dengan doktor gigi. Boleh dapatkan nasihat yang bersesuaian dengan anak anda.
Biasanya cara yang biasa kita buat adalah seperti berikut:
1-meletakkan bahan yang berasa pedas atau pahit pada jari kanak-kaunak. Perlu pantau selalu bila anda guna kaedah ini. Pastikan bahan yang digunakan selamat untuk dimakan, contoh serbuk/air kisar peria atau lada.
2- Balut jari dengan pita pelekat yang berwarna hitam
3- Untuk kanak-kanak yang terlalu kerap atau sentiasa menghisap jari/degil, doktor gigi boleh membuat beberapa alat yang boleh dipasang di dalam mulut.
4- Kalau kanak-kanak telah mula bersekolah, mungkin boleh pujuk dan terangkan kenapa dia mesti berhenti. “peer pressure” di sekolah kadang-kadang boleh menolong kanak-kanak untuk berhenti.
5- Psycological assessment untuk kanak-kanak yang lebih berusia
Sumber: Dr Jenizan Nordin
Klinik Pergigian Ikhlas : Implant,Braces,Restorative & Aesthetic Centre
Bangsar Urban Smile Dental Clinic
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kalau Nak Cantik Dan Kurus, Asam Jawa Wajib Digunakan Masa Dalam Pantang
Sudah menjadi kelaziman buat wanita baru bersalin untuk mengamalkan pelbagai jenis herba dalam makanan dan rutin berpantang.
Tidak kira masyarakat Melayu, Cina, India mahupun kaum-kaum yang lainnya juga mengamalkan amalan memakan herba dan rempah ratus ini.
Sebenarnya herba membantu mempercepatkan proses penyembuhan dan anda boleh kurus dengan cepat jika pemakananan kena caranya.
Bab pemakanan dan kesihatan memang kena dijaga. Apalagi lepas bersalin, perhatian perlu diberikan jika mahu sihat dan bertenaga kembali.
Buat ibu-ibu muda, dikongsikan di sini khasiat herba yang sesuai dimakan ketika berpantang. Selain itu ia juga baik untuk amalam kesihatan seharian.
Halia
Selain membuang angin yang ada di seluruh badan, halia juga boleh menyembuhkan luka. Kalau badan kerap rasa sejuk, elok masukkan halia dalam masakan sebab ia membantu memanaskan badan.
Masalah kembung, sebu dan sakit perut pun tiada apabila mengamalkan halia kerana ia boleh membuang angin daripada usus dan perut.
Selain dihiris halus dan dimakan dengan nasi panas anda juga boleh buat jus atau apa-apa kaedah masakan yang anda gemari.
Khasiat lain yang ada pada halia ialah ia membantu dalam proses penghadaman, menghilangkan bau mulut dan kahak, menambah tenaga, nengekalkan awet muda dan menghalang kedutan kulit.
Lada hitam
Ia baik untuk memanaskan badan, menyegarkan tubuh, mengatasi pening, loya, cirit birit dan melawas kencing.
Namun kalau anda kurang tahan dengan ‘kepanasan’ lada hitam, dibimbangi sakit perut pula. Malah jika anda bersalin secara pembedahan ataupun bayi mengalami jaundis, pengambilan lada hitam perlu dielakkan.
Manjakani
Ini merupakan herba istimewa buat wanita. Ia membantu mengeratkan hubungan suami isteri kerana dapat menguatkan faraj.
Ia juga digunakan untuk merawat luka dalaman dan luaran selepas bersalin. Tannin di dalam manjakani dikatakan dapat membantu membaiki tisu rosak selepas bersalin.
Malah, ia dapat mengurangkan lelehan mukus, menstabilkan hormon, melancarkan darah, melawaskan buang air besar dan memberi tenaga badan.
Halba
Halba paling baik untuk mmbantu penghasilan susu ibu dan menghangatkan badan. Anda boleh makan halba begitu sahaja sesudu atau dua sudu sehari.
Serai
Serai membantu mengecutkan rahim yang bengkak selepas bersalin, memecahkan lendir dan darah nifas dalam rahim.
Serai juga merawat bisa otot dan badan, menguatkan saraf yang lemah, mengelakkan angin meroyan, mencegah kehamilan, awet muda, menyihat dan menyegarkan rahim, meredakan sakit kepala, sengal sendi, melawaskan kencing dan pencegah perut kembung.
Asam jawa
Asam jawa adalah pokok seribu guna. Ia elok untuk menurunkan berat badan dengan mengamalkan jus asam jawa setiap hari. Masa berpantang, cubalah dalam kuantiti yang sedikit dahulu. Kemudian tingkatkan ikut kesesuaian badan.
Ia juga elok buat masker kulit. Amalkan sebelum mandi pagi. Lepas bersalin, muka anda akan mulus berseri.
Bawang merah
Semasa berpantang, biasanya sembelit boleh dialami. Dengan memakan bawang merah, ia dapat mengatasi masalah ini.
Selain itu, bawang mencegah bakteria, merawat sengal tulang dan insomnia.
Bawang putih
Bawang putih adalah antibiotik semula jadi, penyembuh luka, menghalang penyakit sengal dan saraf, mengeluarkan angin dan parasit dalam tubuh badan.
Bawang putih membantu mengurangkan stres. Seeloknya bawang putih ni dimakan dengan cara membakar. Rasanya sedap.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Kerap Mengadu Sakit Kepala, Mama Papa Kena Periksa Punca Sebenar Risau Memudaratkan
Anak sering sakit kepala pada usia muda mungkin jarang kedengaran, namun jika ini yang berlaku mama papa memang kena ambil serius. Ia mungkin disebabkan oleh beberapa faktor termasuklah migrain, stress, tekanan darah yang tinggi dan banyak lagi.
Kenali punca sebenar mengapa si kecil anda terus diserang dengan sakit kepala yang kerap untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya daripada pengamal perubatan atau doktor. Seperti yang ditanyakan oleh seorang ibu tentang anaknya yang sering mengadu sakit kepala. Jawapan daripada Dr Hairin Anisa Tajuddin, Pakar Laktasi, Pakar Kanak-kanak, Pusat Rawatan ADDA dan Pensyarah Pediatrik Di Monash University Malaysia mungkin dapat menjelaskan apa yang berlaku.
H: Anak Kerap Sakit Kepala
Adakah kanak-kanak juga boleh mengalami migrain atau sakit kepala yang teruk? Anak saya yang berusia 4 tahun sering mengadu sakit kepala. Apabila saya periksa kepalanya tiada pula luka atau kesan benjolan. Apakah perkara ini serius dan saya perlu membawanya berjumpa pakar?
Aina, Seremban.
Terima kasih atas soalan Puan.
Untuk pengetahuan Puan, kanak-kanak juga boleh mengalami sakit kepala seperti orang dewasa. Malah, penyakit migrain juga adalah salah satu punca sakit kepala di kalangan kanak-kanak. Kajian saintifik menunjukkan bahawa migrain boleh berlaku seawal usia 18 bulan. Kajian juga menunjukkan bahawa migrain boleh berlaku dalam 10 peratus di kalangan pelajar sekolah rendah dan 28 peratus di kalangan remaja berumur 15 hingga 19 tahun. Migrain ini berlaku akibat gangguan kepada sistem peredaran darah di dalam sistem saraf dan otak yang sangat kompleks. Gejala migrain seperti sakit kepala yang berdenyut, selalunya sebelah bahagian kepala sahaja,anak berasa loya, serta sensitif kepda cahaya lampu.
Doktor yang merawat akan memberikan ubat penahan sakit kepala dan pesakit dinasihati untuk rehat dan tidur dalam bilik yang gelap. Ibu bapa disarankan untuk mengenalpasti punca yang menyebabkan serangan migrain ini seperti makanan tertentu, atau anak kurang minum air kosong, atau kurang tidur. Pastikan anak mengambil air kosong yang mencukupi supaya perjalanan darah menjadi lancar, elakkan anak daripada terdedah kepada matahari yang terik dan elakkan anak mengambil makanan yang menyebabkan anak sakit kepala.
Antara punca-punca anak kerap alami sakit kepala
Namun apabila kanak-kanak kerap mengalami sakit kepala, ibu bapa perlu mendapatkan pemeriksaan doktor untuk mengenal pasti punca lain selain migrain. Antara punca lain yang boleh menyebabkan anak kerap mengalami sakit kepala ialah:
- Pernah alami kecederaan pada bahagian kepala
Jika anak pernah mengalami kecederaan di kepala akibat terjatuh, terhantuk atau hentakan objek keras. Kesannya mungkin tidak dapat dikesan awal, seperti pendarahan yang sedikit tetapi boleh menyebabkan sakit kepala yang berulang.
- Hidap keradangan dalam hidung
Anak yang menghidapi keradangan dalam hidung samada akibat alahan resdung atau jangkitan kuman. Selalunya apabila anak mengalami sakit kepala, keradangan ini berlaku dalam sinus ‘frontal’ di bahagian dahi.
- Tekanan perasaan
Tekanan perasaan (stres) dengan pembelajaran yang mungkin terlalu menekankan prestasi tanpa ada kerehatan minda untuk menjalani kehidupan sebagai seorang kanak- kanak yang normal. Contohnya ibubapa kerap menghantar anak-anak ke kelas tambahan dan meletakkan harapan semua A dalam semua matapelajaran tanpa membenarkan anak-anak memilih aktiviti yang mereka sukai dan minati.
- Alahan
Alahan kepada beberapa jenis bahan atau protein dalam makanan dan hal ini sangat subjektif di mana alahan adalah berbeza bergantung kepada tubuh masing-masing. Contoh minuman bersoda atau bahan yang mengandungi MSG, kopi atau teh yang mengandungi kafein.
- Penglihatan anak yang semakin rabun.
Selalunya kanak-kanak tidak mampu memberitahu bahawa penglihatannya semakin kabur, namun ibubapa akan dapat mengesan perubahan anak kerap menggosok mata dan melihat apa sahaja terlalu dekat walaupun ia boleh dilihat daripada jauh oleh mereka yang mempunyai penglihatan yang normal.
- Tekanan darah yang tidak normal samada terlalu rendah atau terlalu tinggi.
Jika tekanan darah yang tinggi, selalunya berlaku kepada anak-anak yang obese dan ada masalah buah pinggang yang terganggu.
- Terdapat saluran darah yang tidak normal dalam otaknya seperti (AVM) Arterivenous Malformation.
Selalunya sakit kepala akan datang bersama dengan gejala seperti kebas atau lemah tangan atau kaki, hilang koordinasi badan dan menjadi tidak seimbang (ataxia). Selalunya, apabila AVM pecah, pesakit boleh mendapat sawan dan koma.
- Ketumbuhan dalam otak samada ketumbuhan yang perlahan-lahan membesar (benign) atau membesar dengan cepat (malignant).
Jika ketumbuhan itu sejenis yang perlahan seperti vontoh Astrocytoma, sakit kepala selalunya kronik dan berulang kali melebihi sebulan. Namun, barah otak yang cepat membesar selalunya anak mengalami gejala dalam masa yang singkat dan akut (acute) seperti Malignant Ependymoma. Gejala ketumbuhan otak selalunya sakit kepala, kerap muntah, pengsan tanpa sebab jangkitan kuman, lemah mana-mana bahagian anggota badan yang terlibat (bahagian otak yang mengawal anggota tubuh tertentu), tidak selera makan dan berat badan menyusut.
Semua kemungkinan sakit kepala perlu dirujuk kepada doktor pakar di mana kemungkinan untuk melakukan ujikaji dan pemeriksaan yang teliti seperti MRI otak dan mengambil darah. Justetu, nasihat saya, bawa anak kepada doktor pakar kanak-kanak jika gejala yang anak alami mengganggu rutin hariannya. Sekian.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Betulkah Cara Berpantang Orang Dulu-Dulu Relevan Untuk Diikut? Doktor Ini Beri Penjelasan
Berapa ramai ibu-ibu berpantang sekarang yang masih ikut pantang larang orang dulu-dulu?
Mengikut doktor perubatan, tiada salahnya kalau ibu lepas bersalin tidak ikut cara berpantang orang dulu-dulu.
Biasanya ibu lepas bersalin akan mengikut petua dan pantang larang yang menjadi amalan sejak zaman nenek moyang lagi.
Pernahkah kita terfikir apa relevannya setiap pantang tersebut dengan zaman sekarang?
Tetapi bila baca penjelasan oleh Dr Rusyainie Ramli berkenaan dengan pantang larang orang dulu-dulu, tak salah untuk kita pertimbangkan terlebih dahulu sebelum mengikut segala pantang tanpa usul periksa.
Apa yang penting semasa proses berpantang, ibu lepas bersalin hendaklah makan makanan berkhasiat, minum air 2 hingga 3 liter sehari dan buat sedikit pergerakan mengikut kemampuan masing-masing.
ORANG DULU-DULU KATA
1. Minum air banyak nanti urat kembang masa pantang lepas bersalin.
Kenyataan:
Zaman dulu, nak jerang air bukan senang. Nak kena ambil air kat perigi. Lepas tu kena dapatkan kayu dan hidupkan api. Arwah nenek saya pernah mengajar saya jerang air dalam periuk besar, dan bagaimana nak mengelakkan air yang dimasak tidak berbau asap api.
Air yang berbau asap api, rasanya payau. Bayangkan kalau minum air banyak, tak ke kena jerang air. Susah tahu nak menjaganya. Jadi paling senang, orang dulu cakap, jangan minum air banyak.
Kes naya air kena catu macam orang yang fungsi buah pinggangnya gagal. Untuk menghasilkan susu yang banyak, ibu perlu minum air yang mencukupi dalam 2 – 3 liter. Susu badan punya komponen air yang tinggi. Urat? Saya cerita dalam pos lain.
2. Makan ikan atau ayam atau telur nanti gatal tempat luka, tak kiralah sebab pembedahan atau cedera.
Kenyataan:
Zaman dulu, mana ada orang jual ayam dan telur kat pasar macam sekarang. Ayam bela sendiri. Nak ikan kena pergi menjala kat laut atau mengail kat sungai. Ingat senang-senang boleh beli kat kedai. Ayam tu makanan mewah zaman dulu-dulu.
Kalau makan ayam hari-hari, habislah ayam sereban. Bukan boleh sejukbekukan ayam macam sekarang. Jadi, keluarlah petua makan ayam dan telur nanti gatal. Bukan semua kampung dekat dengan laut, nak cari ikan mak ai bukan perkara mudah. Daging lagilah.
Masa hari raya atau kenduri kendara baru dapat rasa. Ikan, ayam, daging dan telur mengandungi protein yang tinggi yang amat diperlukan untuk pembaikan tisu-tisu badan.
Lainlah kalau memang ada alahan makanan tertentu. Atau ada orang memang sistem penghadaman dia tak sesuai dengan sesetengah makanan. Yang tu elak la. Anak saya alahan cili takkan saya nak bagi dia makan makanan pedas. Memang sengaja la kan cari pasal.
3. Minum ais nanti badan sakit, cepat tua dan perut buncit.
Kenyataan:
Zaman dulu, yang mengusahakan ais selalu pakcik Cina yang ada peti sejukbeku yang besar. Saya masih ingat bekas loyang yang besar yang arwah nenek saya gunakan untuk membuat ais. Masa saya kecil dahulu, arwah nenek saya ada peti ais besar. Dia menjual ais yang dikeluarkan dari bekas dan dipotong menggunakan gergaji kecil.
Ada anak-anak kampung datang membeli ais. Kalau bulan Ramadhan, makin laku la ais nya. Harga ais mahal, lebih mahal dari kuih-muih. Jadi, orang dulu-dulu tak bagilah kita minum ais konon-konon macam-macam la alasan.
Untuk wanita kalau kita naik berat badan, lemak memang akan terkumpul kat abdomen, paha, lengan. Tak ada kaitan langsung lapisan lemak tu dengan ais. Sebenarnya tiada kajian saintifik pun yang membuktikan mitos itu benar. Tak nak buncit, pergi buat senaman, bukan dengan sapu produk bani calit.
4. Mandi malam nanti kena paru-paru berair.
Kenyataan:
Zaman dulu, tandas dan bilik mandi dibina di luar rumah. Bayangkan dengan tiada bekalan elektrik, jalan nak ke luar rumah itu kan gelap. Dah gelap, memang kalau ada binatang merayap ke, memang selamatlah kena.
Silap haribulan, salah langkah, terus ke dalam perigi jatuhnya. Sebab itulah orang dulu-dulu buat petua ini, nak mengelakkan kita keluar ke bilik mandi malam-malam. Zaman sekarang pusing pili air terus keluar la air.
Tak payah susah-susah nak ke luar rumah. Siap ada pemanas air lagi yang boleh digunakan dengan memetik suis. Tidak mungkin kita boleh mendapat jangkitan kuman pada paru-paru (penumonia atau paru-paru berair) dengan mandi malam.
Macam mana air nak masuk paru-paru kalau fikir logik sebab bita telan air pun masuk kot esofagus, sedangkan trakea kita sebelah saja dengan esofagus. Kita ada refleks dari saraf kranial yang halang air masuk trakea. Sebenarnya, mandi dengan air suam sebelum tidur merupakan salah satu cara yang dicadangkan untuk mendapatkan tidur yang lena.
5. Jangan sapu rumah malam hari nanti tolak rezeki.
Kenyataan:
Rezeki itu kurniaan Allah SWT pada kita, yang bergantung pada usaha kita selagi daya sebagai manusia. Orang dulu-dulu cakap macam ni, sebab malam-malam mana ada lampu terang benderang macam kita sekarang.
Dulu pakai lampu minyak tanah. Kalau malam-malam kita sapu rumah, memang tak nampak la habuk dan kotoran yang kita nak sapu tu. Bukan sebab sapu rumah belah malam tentukan rezeki kita. Orang yang kerja macam saya, malam-malam lah saya ambil peluang nak vakum dan mop rumah. Siang kan saya pergi kerja.
6. Kalau lepas bersalin, jangan tersadung ibu jari kaki. Nanti bentan.
Kenyataan:
Bentan saya dah cerita panjang lebar dalam topik sebelum ini. Tapi siapa yang pernah tersepak atau tersadung jari kaki, tak kiralah jari kaki mana, sakit sangat ok. Saya pernah tersepak katil bilik tetamu kat rumah saya, sampai patah tulang jari ke-4 kaki kiri.
Saya tak dalam pantang pun tu. Saya yang terlebih cemerkap sampai jadi begitu. Orang dulu-dulu cakap begitu sebab dia nak kita ni berhati-hati la. Orang yang lepas bersalin, dah lah tak sihat sempurna lagi, tambah lagi pasal sakit jari kaki tersadung, tak ke kes naya.
Banyak lagi pantang yang tidak masuk akal yang diamalkan oleh orang-orang kita.
Zaman dah moden. Sains dah maju. Cara hidup juga dah berubah. Lantas, petua-petua yang tidak sahih ini boleh dielakkan kerana sains membuktikan sebaliknya.
Sumber: Dr Rusyainie Ramli
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI