Jika anda pernah perkenalkan anak dengan sushi pasti mereka akan menyukainya. Persoalannya adakah boleh berikan anak makan sushi secara kerap memandangkan umurnya masih lagi muda?
Sushi merupakan makanan yang sinonim dengan negara matahari terbit, Jepun. Penyediaan sushi adalah pelbagai tetapi kebiasaannya sushi terdiri daripada nasi dengan campuran cuka bersama bahan-bahan tambahan seperti makanan laut, sayur-sayuran atau buah-buahan tropika.
Kebimbangan para ibu bapa terhadap anak-anak yang menyukai sushi mungkin disebabkan oleh:
- Pertama, adakah anak mereka mendapat zat makanan yang mencukupi kerana menggemari makanan selain ruji penduduk Malaysia iaitu nasi. Secara amnya, bahan-bahan sushi adalah rendah lemak, tinggi protein, karbohidrat, vitamin dan mineral. Sayur-sayuran yang terdapat di dalam sushi menyumbang kepada serat, vitamin dan mineral. Makanan laut mengandungi kebaikan omega-3 yang memberi kebaikan kepada kesihatan jantung.
- Kedua, kebimbangan ibu bapa adalah kerana sesetengah bahan sushi terutamanya yang disediakan mentah boleh menjejaskan kesihatan. Majalah kekeluargaan dari negara Jepun mencadangkan supaya ibu bapa tidak memberikan makanan laut tanpa dimasak kepada kanak-kanak pada usia yang terlalu muda. Ini disebabkan oleh sistem penghadaman mereka yang masih belum matang. Ibu-ibu di negara Jepun memberi anak mereka ikan yang telah dimasak bersama makanan pelengkap lain setelah anak mereka mula makan makanan pejal. Secara amnya, mereka mencadangkan kanak-kanak yang berusia dua tahun setengah ke atas untuk mula diperkenalkan sushi yang mengandungi ikan mentah. Jika ibu bapa masih mahu menyediakan sushi ikan mentah atau sashimi di rumah kepada kanak-kanak sambil anak-anak boleh menikmati kepelbagaian tekstur dan rasa, adalah dicadangkan untuk melayurkannya terlebih dahulu di atas api.
Adakah sushi sesuai dimakan pada setiap hari?
Jawapannya tidak sesuai terutamanya kepada kanak-kanak kerana walaupun sushi rendah kandungan lemak, tetapi kebanyakan sushi adalah tinggi dengan garam dan gula yang digunakan sebagai perasa dan bahan perapan.