Ada beberapa perkara rawak yang suka dilakukan oleh anak membuatkan anda kurang senang seperti memanjat jeriji pintu, membuka dan tutup pintu peti sejuk; mengoyak kertas, menarik kertas tisu daripada kotak, minum air dan menggunakan penyedut minuman kerana faktor keselamatan dan bersepah. Tapi tahukah anda ia memberikan faedah kepada perkembangannya. 

Ada di antara ibu bapa kerap mengeluh bila anak suka menerokai dan membuat sesuatu di luar kebiasaan. Alasannya kerana bimbang keselamatan anak dan segala sepah kekotoran perlu dibersihkan. Maka bertambah lagi tugas yang perlu dilunaskan.

Anda perlu tahu, segala aktiviti yang dilakukan anak itu ada faedah dan sudut positifnya. Anak anda sebenarnya tidak nakal! Dia sedang melatih dan menajamkan beberapa kemahiran yang bermanfaat untuk perkembangan dirinya.

Memanjat

Perbuatan memanjat di dalam rumah mahupun di taman permainan sebenarnya memberikan faedah. Perbuatan yang paling disukai ialah memanjat bahagian jeriji pintu, ia mungkin berbahaya tetapi ada kesan positifnya kepada perkembangan otot dan pergerakannya. Antara kebaikan yang diperolehi daripada aktiviti memanjat ialah:

  • Kemahiran menyelesaikan masalah.
  • Koordinasi mata tangan.
  • Kekuatan otot tangan yang bakal membantu perkembangan motor halus.
  • Stimulasi sensori pergerakan yang melibatkan verstibular dan propioseptif.
  • Kawalan keseimbangan tubuh.
  • Menguatkan otot kaki.
  • Mengukuhkan kekuatan otot utama (core muscles) yang penting untuk si kecil duduk lama di tadika kelak.
  • Anak akan belajar kesedaran penjagaan keselamatan diri.
  • Kesedaran kepada tubuh dan anggota.

Membuka dan tutup pintu peti sejuk

Selain itu, kanak-kanak pada peringkat ini juga sungguh berminat untuk membuka pintu peti sejuk dengan kerap. Malah, ada ibu bapa yang terpaksa menggunakan pengunci khas untuk mengelakkan peti ais dibuka oleh si manja terlalu kerap! Si kecil mungkin tertarik dengan elemen kejutan yang ada di dalamnya atau mungkin kerana terpesona dengan ciri magnetik pintu peti ais yang boleh tertutup dengan mudah. Antara kebaikan yang diperolehi daripada aktiviti membuka dan tutup pintu peti sejuk ialah:

  • Koordinasi mata tangan.
  • Asas sains iaitu rasa sejuk di dalam peti sejuk dan suhu bilik di luar.
  • Penemuan iaitu keadaan dalam peti sejuk gelap apabila mula-mula dibuka dan lampu menyala menyebabkan keadaan cerah dan terang.
  • Mengukuhkan kekuatan otot utama (core muscles).

Mengoyak kertas

Mengoyak kertas ialah salah satu aktiviti kesukaan si cilik selain menconteng. Surat khabar dan pamplet menjadi sasarannya. Silap hari bulan, buku sekolah abang dan kakak atau buku rekod kesihatannya juga boleh dikoyakkan! Kegemaran ini terjadi pada sesetengah kanak-kanak bermula dari usia bayi lagi. Antara kebaikan yang diperolehi daripada aktiviti mengoyak kertas ialah:

  • Rangsangan stimulasi auditori apabila mendengar kertas dikoyak.
  • Menggalakkan pinch grasp atau mencubit apabila anak mengoyak menggunakan jari dan bukan dengan cara menggenggam penuh dengan tapak tangan.
  • Menajamkan koordinasi motor halus.
  • Pembelajaran tentang sebab-akibat.
  • Sebagai latihan koordinasi mata tangan.

Menarik keluar kertas tisu daripada kotak

Si kecil memang suka menarik tisu daripada kotaknya sejak daripada usia bayi. Memang anda akan marah kerana ia akan menyebabkan pembaziran. Antara kebaikan yang diperolehi daripada aktiviti menarik keluar tisu dari kotak ialah:

  • Belajar mengenai sebab akibat.
  • Merangsang kemahiran sosial dan komunikasi.
  • Meningkatkan daya kreativiti.
  • Asas kemahiran sains dan matematik.
  • Eksplorasi kemahiran pra-akademik.
  • Melatih pinch grasp atau mencubit semasa menarik kertas tisu daripada kotaknya.
  • Memahirkan koordinasi motor halus.
  • Koordinasi mata tangan.
  • Kemahiran menyelesaikan masalah.

Suka minum air pada cawan

Bila anak ingin minum air pada cawan berbanding botol, itu tandanya anak makin membesar dan ingin mencuba sesuatu yang baru! Air tumpah, terpercik atau lelehen terkena pada pakaian mungkin akan berlaku. Tetapi sabarlah kerana ini adalah fasa yang perlu dilalui si kecil untuk memahirkan beberapa elemen penting untuk perkembangan dirinya. Antara kebaikan yang diperolehi daripada perbuatan minum air pada cawan ialah:

  • Merangsang koordinasi oral motor.
  • Menggalakkan stimulasi visual spatial di mana si manja boleh melihat berapa banyak air yang tinggal di dalam cawan.
  • Meningkatkan kekuatan tangan dan kawalan tangan dengan menganggar berapa banyak kekuatan perlu dijana untuk menggerakkan cawan ke mulut.

Suka minum menggunakan penyedut minuman

Apabila berpeluang makan di luar, maka si kecil pun sibuklah untuk minum. Ia memberikan banyak faedah asalkan minuman yang diminum bukan minuman ringan, terlalu manis atau terlalu panas. Risiko air tumpah dan mengotorkan baju memang ada, jadi anda perlu siap sedia sepasang lagi baju semasa keluar makan di luar sebagai ganti.

Ambil langkah berhati-hati kerana penyedut minuman juga boleh melukakan tekak sekiranya dimasukkan terlalu dalam. Sebaik-baiknya ajar si kecil sedut pada hujungnya sahaja. Ini adalah masanya untuk anda menyediakan sebuah botol dengan isian air kosong sebagai bekalannya semasa keluar.

Antara kebaikan yang diperolehi daripada aktiviti minum menggunakan penyedut minuman ialah:

  • Rangsangan sensori proprioseptif di dalam mulut semasa menyedut. Ini meningkatkan kesedaran pergerakan lidah, bibir dan pipi.
  • Kawalan lidah dan rahang semasa minum.
  • Melatih penafasan semasa menghisap dan menelan.
  • Menggalakkan rangsangan oral motor yang membantu si kecil yang cerewet makan atau tiada selera makan.

Tinggalkan Komen