Anak Suka Mengempeng Tapi Tidak Menyusu, Ibu Boleh Cuba Cara Ini

Share

Anak suka mengempeng pada payudara tapi tidak menyusu ialah cabaran buat mama. Mereka akan melekap pada payu dara biarpun sudah selesai menyusu sehingga kadangkala ibu tidak mampu berbuat apa-apa tugas. Ibu mungkin boleh menggunakan cara yang dicadangkan ini sebagai penyelesaiannya.

Apabila dilepaskan puting payu dara daripada mulutnya, dia akan menangis biar pun sudah yakin dia sudah pun lena. Apa yang patut dilakukan agar ia tidak menjadi tabiat buruk kerana keadaan ini menyukarkan ibu untuk bergerak setiap kali sesi penyusuan berlangsung.

4 SEBAB KENAPA BAYI MENGEMPENG
Menurut pakar laktasi, Rita Rahayu Umar, keadaan ini berlaku bergantung pada usia anak. Kadang kala ia adalah biasa bagi bayi yang berusia beberapa bulan memerlukan keselesaan daripada ibunya dan payu dara. Berikut adalah antara sebab terjadinya hal ini;

a)Selama sembilan bulan dia menjadi sebahagian daripada anda dan kini baru beberapa minggu atau bulan menyesuaikan diri dengan keadaan di sekelilingnya.
b)Dia memerlukan momen penyusuan intim bagi mengenang perasaan selesa yang pernah dilaluinya bersama anda.
c)Sesetengah bayi memerlukan lebih keselesaan sewaktu menyusu berbanding yang lainnya. d)Ini kerana mungkin perasaannya lebih sensitif. Tiada salahnya jika bayi hanya boleh tidur lena jika menyusu terlebih dahulu.
e)Kajian menunjukkan anak yang mendapat keselesaan apabila dia menangis, cenderung
untuk menjadi insan yang lebih berkeyakinan diri dan berdikari. Asasnya, jika anda memberi keselesaan kepadanya sekarang, dia akan kurang memerlukannya di masa akan datang.

GUNAKAN PENGGENDONG BAYI
Adalah tidak biasa jika bayi terus mahu menyusu ketika sedang tidur. Untuk itu, ada beberapa perkara yang boleh anda cuba lakukan bagi mengatasi hal ini. Bergantung kepada berapa usia anak, anda mungkin boleh biarkan dia terus menyusu sambil tidur tetapi pastikan dia diletakkan di dalam sling (penggendong). Jadi, anda boleh bangun dan lakukan pekerjaan lain ketika dia tidur.

PERHATIKAN CORAK TIDUR SEBELUM MELETAKKAN KE DALAM PEGGENDONG
Walau bagaimanapun, pastikan bayi benar-benar lena dan tidak lagi menghisap puting sebelum anda cuba mempraktikkan panduan ini. Untuk itu, anda mungkin
perlu menunggu untuk beberapa ketika. Bayi akan melakukan aksi hisapan untuk mendapatkan keselesaan (flutter atau comfort sucking) iaitu hisapan yang lembut dan perlahan-lahan. Apabila bayi baru sahaja tidur, anda dapat lihat dia mengerut mukanya, sebahagian tangan digenggam, bayi menegangkan otot badan serta muka dan
kelopak matanya bergerak-gerak.

CABUT BILA SUDAH TIDUR NYENYAK
Apabila sudah nyenyak tidur pula, anda dapat mengenal pasti dengan melihat corak
pernafasannya adalah biasa, kelopak mata tidak bergerak dan anggota tubuhnya lemah;
tangan terkulai, tiada lagi genggaman tangan serta ototnya lebih relaks. Oleh yang demikian, apabila bayi mula tidur nyenyak, cuba tarik puting dan jauhkan diri
daripadanya secara perlahan-lahan.

GUNAKAN KELINGKING
Satu perkara yang kadang kala membantu ialah sisipkan jari kelingking di dalam mulut
bayi apabila dia sudah tidur. Jadi, anda boleh keluarkan puting payu dara dari mulutnya dan biarkan bayi menghisap jari anda itu. Lama-kelamaan, barulah anda boleh mengeluarkan jari daripada mulutnya. Cara ini membantu dengan memberi sedikit tekanan pada bahagian bawah bibir bayi apabila anda melakukannya. Dengan melaksanakan panduan ini, anda boleh mengelakkan bayi daripada terjaga daripada tidur.

OBJEK YANG MEMPUNYAI BAU BADAN IBU
Meletakkan sesuatu benda betul-betul di sebelahnya yang mempunyai bau badan ibu seperti baju T atau bantal juga dapat membantu.

Ketahuilah, menyusu bukan sekadar membekalkan bayi dengan khasiat yang diperlukannya. Lebih daripada itu, payu dara anda berupaya memberikan keselesaan dan rasa selamat kepada bayi. Masa yang diperuntukkan untuk menyusu bayi adalah sangat singkat tetapi memori kasih sayang yang anda curahkan melalui penyusuan susu ibu akan berkekalan seumur hidupnya. Percayalah, bayi anda dengan sendirinya akan tidur tanpa perlu menyusu pada masa akan datang. Jadi, nikmati momen ini selagi ada.

Published by
Azma ML