Anak Suka Tarik Rambut Sendiri Bila Menangis Ada Sebab!

Share

Adakah anda mendapati si manja gemar menarik rambutnya sendiri? Melihatkan tabiat yang mungkin berlarutan pada bayi agak merisaukan anda. Anda mungkin khuatir ada masalah di sebalik tabiatnya itu tetapi sebenarnya menarik rambut adalah keadaan biasa pada anak kecil. Malah kebanyakan bayi akan berhenti sendiri daripada kebiasaan ini.

Mengapa bayi menarik rambut?

Bayi daripada usia sebulan hingga 2 tahun menarik rambut untuk memujuk diri sendiri seperti perbuatan menghisap jari. Malah si bayi mungkin menghisap jari dan menarik rambutnya sendiri atau rambut si ibu dengan tangan yang lain. Bayi anda mendapati tabiat ini dapat menenangkannya dan selalunya melakukannya sebelum tidur atau ketika tertekan. Namun, dalam sesetengah bayi, tabiat menarik rambut ini membawa kepada obsesi yang dinamakan trichotillomania.

Apa itu trichotillomania?

Trichotillomania adalah istilah perubatan yang merujuk kepada tabiat menarik rambut, bulu kening, bulu mata atau bulu badan lain sehingga menyebabkan tompok botak yang ketara. Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami trichotillomania menarik bulu badan atau rambut dengan terlalu kerap hingga mempunyai tompok botak, hilang bulu kening, bulu mata dan sebagainya.

Bukan seperti tabiat menarik rambut bayi yang akan lenyap dengan pembesaran mereka, trichotillomania hanya berlaku dalam 1% daripada populasi umum dan dianggap sebagai masalah psikiatri yang memerlukan terapi.

Apakah punca trichotillomania?

Apabila seorang kanak-kanak gemar menarik rambut sejak usia bayi lagi, anak kecil tersebut mungkin berbuat demikian tanpa berfikir. Pada usia tiga tahun, kanak-kanak boleh memahami jika ibu bapa bertindak balas terhadap apa yang mereka lakukan.

Jika ibu bapa kelihatan risau dan memberi tindak balas tiap kali melihatnya menarik rambut, dia akan belajar untuk menarik perhatian ibu bapa dengan kelakuan ini.

Menarik rambut digunakan kanak-kanak sebagai cara tambahan selain menjerit dan mengamuk sewaktu tantrum. Anak kecil biasanya meramas rambut manakala yang lebih besar mencabut rambut mereka.

Trichotillomania boleh berlaku tanpa mengira usia. Tetapi dalam kalangan mereka yang gemar menarik rambut sejak kecil, obsesi ini membawa kepada trichotillomania pada usia 9-13 tahun. Punca sebenar trichotillomania adalah kompleks dan mungkin dicetuskan oleh tekanan psikososial dalam keluarga, seperti berpisah daripada penjaga, penjaga atau kanak-kanak dihospitalkan, kelahiran adik baru, cemburu dengan adik-beradik, pindah ke rumah baru, atau masalah dengan prestasi sekolah. Persekitaran dan genetik juga dipercayai mungkin memainkan peranan.

Bagaimana mencegah trichotillomania?

Sama ada tabiat menarik rambut dalam bayi anda adalah fasa sementara atau masalah jangka masa panjang adalah sukar untuk diramalkan. Apa pun, lebih baik untuk anda mempelajari beberapa kaedah untuk mengalihkan tabiatnya daripada menarik rambut.

Salah satu cara terbaik untuk membuat bayi anda berhenti menarik rambutnya adalah mengalihkan perhatiannya sehingga dia tidak memikirkannya. Sekiranya anda menyedari bahawa bayi anda sedang cuba untuk mencapai rambutnya, berikan dia mainan keciluntuk bermain.

Anda juga boleh mempertimbangkan alternatif lain yang memberikan sensasi seperti rambut. Contohnya bulu pelepah, anak patung berbulu, sehelai kain satin, berus rambut atau berus gigi bayi.

Anda boleh mencukur atau memendekkan rambutnya agar tidak dapat ditarik. Tetapi ia tidak akan berkesan jika anda tidak mengusahakan mengalihkan perhatiannya daripada tabiat tersebut. Bayi anda akan mengulang tabiatnya apabila rambut tumbuh kembali.

Anda tidak perlu cuba mendisiplinkan anak anda. Menangkap tangannya atau menempis tangannya dan mengatakan ‘tidak’ tidak akan membantu. Bayi anda masih belum memahami disiplin dan larangan. Sebaliknya, perlahan-lahan leraikan tangannya daripada rambut dan alihkan perhatiannya tanpa memberikan hukuman.

Sumber: Hello Doktor

 

Published by
NuFa