Anak saya umur 4 tahun. Memang mudah terpengaruh dengan sikap sepupunya. Bagaimana cara untuk atasi sikap-sikap negatif yang dia tiru daripada orang lain? Saya pula tak suka ajar anak dengan cara menjerit dan memukul.
Pernah tak anda alami atau saksikan kejadian seperti ini berlaku pada kanak-kanak ataupun anak anda? Ini saranan daripada Ibu Rose.
Saranan Ibu:
Terangkan Kesalahan
Pertama betulkan dan terangkan mengapa salah sehingga anak itu faham. Apabila dia sudah 3 tahun,ini bermakna otak berfikirnya sudah mula berkembang. Puan nyatakan hukuman sekiranya dia terus melakukan. Pastikan ia adalah hukuman yang membina dan bukan meruntuhkan self-esteem anak itu.
Hukuman
Jika dia terus melakukan, maka lakukanlah hukuman itu bila sudah 3 kali mengulanginya. Jangan kasihan atau cuba melengahkan. Lakukannya terus!!!!
Anak perlu tahu, setiap perbuatannya itu, dia lakukan atas pilihannya. Maka dia juga perlu tahu setiap pilihan ada natijahnya.
Dan setelah menghukumnya, beri dia RUANG UNTUK MEMPROSES perasaannya.
Mungkin dia akan marah pada anda atau jika anda lakukan dengan betul, dengan menggunakan ‘sandwich’ method yang Ibu pernah share, maka kemungkinan besar dia akan merasakan kasih-sayang anda yang sangat besar kepadanya.
Jika dia marah, maka BIARKAN dulu dia memproses perasaannya. Selepas beberapa minit, anda datang dan cerita balik mengapa dia perlu dihukum.
Yang penting, bila menghukum, nyatakan yang salah ialah PERBUATANNYA. Dia insan yang baik dan anda sayang kepadanya.
Menghukumnya itu bukan bermakna anda tidak sayang. Sebagai ibu dan bapa, anda perlu mendidik dan memimpinnya dia baik, itu adalah tanggung-jawab anda dan anda menunaikannya kerana anda sayang kepadanya dan anda sayang kepada Yang Maha Pencipta.
Semoga perkongsian Ibu ini membantu.
Salam Kasih,
Ibu Rose
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tak Mustahil Anak Seawal Usia 2 Tahun Dah Boleh Menghafaz Al-Quran. Baca Perkongsian Ustazah Ini
Anak usia 2 tahun dah boleh menghafaz al-Quran? Tak mustahil jika ibu ayah ada kemahuan ke arah itu.
Alhamdulillah sudah ramai ibu bapa yang mampu mendidik anak mereka sehingga menghafaz surah-surah pendek pada usia antara 2 hingga 5 tahun. Anak-anak yang masih kecil mampu menghafaz al-Quran bermula usia 2 tahun, percaya tak? Ia bukan suatu yang mustahil!
Tip yang dikongsikan oleh Ustazah Fhadilah Abdul Jamil dapat membantu ibu bapa dalam mendidik anak cintakan al-Quran.
1- Ibu bapa perlu perbetulkan niat dalam diri kerana Allah. Sebab didik/ajar anak kerana mereka amanah dari Allah. Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kita sebagai ibu bapalah yang mencorakkannya.
2- Disiplinkan masa mengajar anak-anak.
(Saya akan mengambil satu waktu dalam tempoh setengah jam- 1 jam ke atas untuk ajar anak-anak mengaji/menghafaz al-Quran setiap hari@ 5 @ 4 kali seminggu secara disiplin).Waktu yang paling sesuai adalah selepas Maghrib atau Zohor.
3- Untuk permulaan ajar mereka mendengar/menghafaz huruf hijaiyyah.
(Setiap hari saya sendiri akan membaca untuk anak-anak huruf alif, ba’,ta’ hingga ya’ menggunakan flash card atau buku)
4- Apabila anak-anak sudah lancar hafaz dan kenal alif -ya’. Bolehlah mulakan membaca surah-surah dari juz ‘amma.
(Saya akan mula ajarkan anak-anak menghafaz surah Al -Fatihah, seterusnya an-Nas dan seterusnya dengan menggunakan sekeping kertas yang ditaip sendiri untuk permulaan)
5- Seterusnya, saya akan ajar anak-anak membaca dengan Muqaddam dihadapan mereka dan saya akan baca satu kalimah atau potong-potong ayat untuk anak-anak ikut saya. Ulang beberapa kali..Sampai jelas sebutannya.
Contoh :
Alham (الحمد)
Dulillah
hi rabbil
‘alamin
6- Apabila anak-anak sudah dapat sebut dengan fasih kalimah tersebut, saya akan baca satu ayat terus tanpa potong dan begitulah ayat seterusnya.
Contoh : Alhamdulillahi rabbil ‘alamin
7- Cara saya menguji tahap ingatan/hafazan mereka adalah ketika mereka sedang membuat kerja mereka/bermain barang mainan atau ketika saya didapur atau saya mengemas atau melakukan kerja rumah atau ketika mereka bersama saya.Suami juga turut membantu untuk mendengar/membetulkan hafazan mereka.Saya akan mulakan ayat pertama/kalimah pertama dari surah-surah tertentu.
Contoh : Surah Al-Masad
Saya baca : Tabbat yada..
Anak ulang dan sambung ayat
dan anak sambung sampai selesai satu surah.
8- Setiap kali anak-anak selesai membaca berikan pujian, doa dan ganjaran buat mereka.
9- Sebagai ibu bapa lazimi membaca al-Quran hari-hari kerana kita adalah idola dan contoh buat anak-anak. Biar sampai anak-anak kecil mampu memberi ingatan pada kita untuk baca al-Quran jika mereka tidak nampak kita baca. Anak-anak saya sendiri kalau tak nampak ummi mereka baca, mereka akan kata, “ummi tak baca quran pun”. Sedangkan saya baca cumanya ketika mereka asyik bermain jadi tak perasan saya baca lepas solat.
10- No gadget, No iPad, no handphone. Saya tak berikan anak-anak bermain atau guna semua ni maksudnya mereka tak boleh pegang. Saya akan kawal sepenuhnya kerana bimbang bila mereka mula bergadget tumpuan mereka untuk belajar akan berkurang. Jangan risau, anak-anak ni cepat je belajar bergadget. Tak rugi pun tak bagi masa mereka kecil. Tapi yang ruginya tak ajar mereka ilmu yang bermanfaat terutamanya membaca dan mengenal al-Quran.
Apa yang penting, sebagai ibu bapa jaga hubungan kita dengan Allah. Selain itu jangan lupa setiap kali berdoa selitkan doa mohon dari Allah supaya jadikan anak-anak dikalangan yang cintakan al-Quran, jadikan anak-anak fasih dan dapat hafaz al-Quran. Yakin dengan doa kita sebagai ibu bapa. Kita berusaha, selebihnya kita tawakal pada Allah.
Sumber: joysofummi.blogspot.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nak Ajar Anak, Biar Dari Kecil. Jangan Dah Besar, Dia Buat Salah Sibuk Nak Marahkan!
Tugas untuk membesarkan serta mendidik anak-anak bukan mudah. Setiap ibu ayah mempunyai pendekatan yang berbeza untuk membentuk sahsiah serta perwatakan anak. Sepanjang tempoh tumbesaran mereka, sangat penting untuk ibu ayah berada di sisi mereka untuk memberi sokongan serta memberi teguran jika ada yang tidak kena.
Memetik artikel dari Smart Parenting, disenaraikan sembilan tabiat ibu ayah yang mereka amalkan untuk membesarkan anak-anak yang berjaya. Berjaya yang dimaksudkan bukan saja dari segi pembelajaran tetapi juga mempunyai akhlak terpuji.
Ayuh, lihat senarai sembilan perkara yang boleh anda lakukan:
1. Suka Bersembang Dengan Anak
Bercakap dengan anak memberi manfaat kepada otak mereka. Jika anda mula bersembang dengan anak-anak sejak mereka kecil, anak akan mengenal kosa kata secara meluas. Perbuatan ibu ayah juga menjadi ‘guru’ terbaik untuk anak-anak.
Artikel Lain: [Didik Anak Nilai Murni Dengan Surah Al Fatihah. Cukup Sempurna Untuk Bentuk Akhlak Terbaik]
2. Makan Bersama Satu Keluarga
Makan seisi keluarga dapat menguatkan hubungan antara satu sama lain. Makan bersama-sama membuatkan anak membesar sebagai anak yang bijak dan terasa dihargai.
3. Ajarkan Anak Buat Kerja Rumah
Tiada anak yang terlalu kecil untuk diajar kerja rumah. Apabila dididik untuk membuat kerja rumah sejak kecil, mereka akan belajar tentang tanggungjawab serta kemahiran hidup.
4. Membaca Untuk Anak-Anak
Salah satu amalan yang boleh menggalakkan otak anak berkembang. Rajin membaca untuk anak mengurangkan tantrum mereka dan dapat membentuk emosi serta menyokong perkembangan otak yang sihat.
Artikel Lain: [Tak Ada Niat Nak Marahkan Anak, Tapi Terlepas Juga. Dalam Diam, Dia Kecil Hati Dengan Kita]
5. Biarkan Anak GAGAL
Tidak salah anak merasa kegagalan. Dengan cara itu, mereka belajar lebih banyak dan menjadi lebih baik dari sebelumnya. Ini menunjukkan ibu ayah percaya pada kemampuan anak dan mendidik mereka untuk mengatasi rasa kecewa.
6. Bantu Anak Mahirkan Kemahiran Sosial
Semasa anak masih kecil, ajar pada anak cara bersosial dengan orang lain. Biarkan mereka tahu tentang berkongsi, sensitif terhadap orang lain sera menghormati ruang peribadi rakan-rakan.
7. Wujudkan Hubungan Dengan Anak-Anak
Sepanjang tempoh tiga tahun tumbesaran anak-anak, jalinkan hubungan mesra dengan mereka. Pastikan mereka diberikan layanan serta perhatian secukupnya. Apabila anda menjadi ibu ayah yang sensitif terhadap keinginan anak, ia dapat memberi peluang kepada mereka untuk belajar perkara baharu.
8. Ajar Anak Ikut Peraturan, Bukan PAKSA
Banyak cara didikan dan pendekatan yang diambil ibu ayah. Penting untuk pastikan anda mengajar mereka untuk mengikut peraturan dan jelaskan mengapa ua perlu dilakukan. Bukan paksa mereka tanpa sebarang penjelasan. Ini membuatkan anak jadi bosan dan rasa dikongkong.
9. Kurangkan Penggunaan Gajet
Pendedahan berlebihan pada gajet boleh melambatkan perkembangan otak anak, mengganggu pertuturan serta kemahiran kognitif mereka. Ia memberi efek kepada kemahiran motor mereka sehingga menyukarkan anak untuk memegang pensil. Boleh beri anak tengok gajet, tetapi bukan KERAP dan LAMA.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kanak-Kanak Suka Tengok TV Dalam Tempoh Lama Kurang Daya Imaginasi, Kurang Bercakap – Kajian
Orang dewasa sukar untuk menahan senyum apabila melihat gelagat kanak-kanak yang menari, menggoyangkan pinggang sambil melompat-lompat di hadapan televisyen (TV). Tidak kurang juga dengan aksi kanak-kanak yang meniru lagak superhero yang ditonton di TV. Sememangnya dengan rupa yang bersungguh-sungguh tersebut sukar untuk dilupakan oleh ibu bapa.
Realiti kehidupan
Rancangan kartun sememangnya membuatkan kanak-kanak duduk diam di hadapan TV. Ini membolehkan ibu bapa membuat aktiviti lain seperti memasak, mengemas rumah dan sebagainya. Namun, membiarkan kanak-kanak duduk bersendirian di hadapan TV dalam tempoh yang lama bukanlah suatu tindakan yang bijak.
Rancangan TV Yang Tidak Selamat
Sesetengah rancangan TV tidak selamat dan tidak sesuai untuk kanak-kanak. Contohnya rancangan berunsur ganas, seram dan lucah. Ibu bapa umumnya menyedari hal ini. Namun begitu, masih ramai ibu bapa yang tidak menyedari bahawa terdapat juga rancangan kartun yang memberi kesan negatif terhadap perkembangan pertuturan dan bahasa kanak-kanak. Antara bentuk rancangan kartun tersebut ialah kartun bisu dan kartun yang mempunyai aksi berlebihan.
Kartun bisu
Terdapat kartun yang tidak berkata-kata, tetapi memaparkan pelbagai aksi menarik dan lucu. Lalu berjaya mengekalkan minat kanak-kanak untuk menonton. Kanak-kanak yang menonton kartun sebegini tidak berpeluang mempelajari bahasa dan perkataan baru.
Aksi berlebihan
Selain itu, kartun yang mengandungi banyak aksi dalam satu masa seperti aksi tumbuk, tendang dan tembak yang dipaparkan dengan pantas. juga memberi kesan negatif kepada perkembangan pertuturan dan bahasa kanak-kanak. Kanak-kanak akan meniru aksi sedemikian tanpa menyebut sebarang perkataan yang bersesuaian seperti ‘serang, tembak atau adoi” kerana seluruh tenaga dan tumpuan diberikan kepada pergerakan tersebut
Beza antara menonton dan berinteraksi
Apabila kanak-kanak menonton TV, mereka hanya perlu melihat dan mendengar. Menonton merupakan aktiviti pasif. Kanak-kanak tidak perlu memberi respon. Ini berbeza apabila kanak-kanak berinteraksi. Ini kerana berinteraksi merupakan aktiviti aktif. Semasa berinteraksi, kanak-kanak bukan sekadar melihat dan mendengar, malah mereka perlu memahami dan memberi komen atau jawapan. Selain itu, mereka juga berpeluang untuk menyoal semula. Menonton TV merupakan komunikasi sehala manakala berinteraksi merupakan komunikasi dua hala.
Kesan buruk menonton TV terlalu lama
Kajian menunjukkan bahawa terdapat kesan negatif akibat menonton TV terlalu lama. Kanak- kanak akan kurang bersosial, kurang bercakap dan kurang daya imaginasi.
Kurang kemahiran sosial
Kemahiran sosial penting bagi individu untuk berhubung dengan orang lain. Individu yang mempunyai kemahiran sosial yang tinggi dapat menyesuaikan diri dalam pelbagai persekitaran. Untuk memiliki kemahiran sosial yang tinggi, seseorang kanak-kanak itu perlu sentiasa berinteraksi atau bergaul dengan orang lain di sekelilingnya. Sekiranya mereka banyak menghabiskan masa dengan menonton TV, semestinya aktiviti sosial berkurang. Maka mereka akan membesar menjadi individu yang kurang bersosial.
Kurang bercakap
Menonton TV merupakan aktiviti pasif. Kanak-kanak tidak berpeluang untuk memberi komen atau menyoal semula. Justeru, kanak-kanak akan berdiam diri. Tiada perkataan atau ayat yang disebut. Secara tidak langsung tempoh menonton yang lama mengurangkan masa untuk kanak-kanak berlatih bercakap.
Kurang daya imaginasi
Daya imaginasi melatih keupayaan kreativiti kanak-kanak. Apabila kanak-kanak menonton TV terlalu lama, masa yang sepatutnya digunakan untuk aktiviti berbentuk imaginasi telah berkurang Pelbagai aktiviti sedemikian boleh dilakukan, Contohnya mewarna, membina blok, bermain lego dan bermain olok-olok.
Kurang tumpuan
Ramai ibu bapa menganggap jika anak boleh memberi tumpuan pada rancangan TV bermakna anak mereka mempunyai tumpuan yang baik. Terdapat kajian yang menunjukkan kaitan antara masalah tumpuan dan tempoh masa menonton TV. Dengan bertambahnya tempoh masa menonton TV bagi kanak-kanak, maka berkurangan tumpuan mereka terhadap pertuturan. Mereka kurang berminat dan lambat memberi respon kepada pertuturan atau perbualan. Tidak sekadar berhenti di peringkat ini, masalah tumpuan seterusnya dapat dilihat apabila kanak-kanak sudah berumur pra-sekolah atau awal persekolahan. Mereka didapati sukar menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira.
Kanak-kanak memerlukan masa dan peluang yang cukup untuk berlatih bercakap. Tempoh menonton TV yang lama mengurangkan peluang mereka berlatih bercakap dan akhirnya melambatkan perkembangan pertuturan bahasa.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan terdapat sesetengah rancangan TV boleh membantu perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak. Jadi, ibu bapa perlu bijak memilih rancangan TV yang berbentuk sedemikian.
Selain itu, ibu bapa juga hendaklah bijak mengurus waktu menonton yang sesuai bagi anak dan tempoh menonton TV agar tidak terlalu lama. Dengan cara ini, beberapa kebaikan diperolehi.
Kemahiran bercerita
Kanak-kanak boleh bercerita kepada ahli keluarga tentang rancangan TV yang ditonton mereka. Mereka boleh memberi komen tentang watak yang terlibat. Selain itu, ibu bapa juga berpeluang memberi komen. Dengan ini. komunikasi dua hala akan berlaku antara kanak-kanak dan ibu bapa, walaupun dengan menonton TV.
Menambah perkataan baru
Kanak-kanak juga dapat belajar perkataan baru. Ini kerana terdapat rancangan TV yang menayangkan perkara atau objek yang tiada di persekitaran harian kanak-kanak. Sebagai contoh, kanak-kanak dapat mengenali dan menyebut ‘zirafah,singa dan buaya’ walaupun binatang tersebut tiada di sekitarnya.
Jika tidak menonton TV, apa aktiviti lain kanak-kanak?
Terdapat banyak aktiviti yang boleh dibuat oleh kanak-kanak selain menonton TV. Antaranya ialah seperti berikut:
-Bermain dengan rakan/ adik-beradik/ ibu-bapa/ penjaga
-Membaca buku
-Menolong ibu bapa/ penjaga
-Bermain dengan alat permainan
-Mewarna atau melukis
Realiti hari ini
Realiti hari ini, hampir setiap rumah mempunyai TV. Maka, ibu bapa berperanan penting mengawal tabiat menonton TV anak-anak. Antara tips nya ialah seperti berikut:
Elakkan bayi dan kanak-kanak berusia bawah 2 tahun menonton TV. Sebaliknya galakkan mereka terlibat dalam aktiviti rangsangan fizikal dan interaksi dua hala.
Perhatikan rancangan TV yang ditonton. Jika terdapat unsur yang tidak sesuai, maka ibu bapa mestilah memberi penjelasan.
Tentukan rancangan TV yang boleh dan tidak boleh ditonton.
Ibu bapa mestilah konsisten dan tegas terhadap peraturan yang telah ditetapkan bersama.
Galakkan anak anda menonton rancangan TV berunsur pendidikan. Ini dapat memberi kesan positif terhadap perkembangan anak, termasuklah perkembangan pertuturan dan bahasa mereka.
Kanak-kanak Malaysia juga tidak terlepas daripada perkembangan globalisasi dunia. Hari ini kita dapat menyaksikan kanak-kanak seawal usia 2 tahun bermain telefon pintar, komputer tablet, dan permainan video. Malah terdapat saluran TV yang dikhaskan untuk bayi. Justeru itu, sebagai ibu bapa/ penjaga yang bertanggungjawab terhadap setiap perkembangan anak, sewajarnya bijak memilih yang terbaik demi masa depan mereka.
Rujukan
Christakis D. A. et all, (2004) American Academy of Pediatrics (04092012) Early Television Exposure and Subsequent Attentional Problems in Children, received: Disember 4, 2012, from: http://www.steadyhealth.com/articles/television_impact_ on_children_s_knowledge _ and_ behavior_a680.html
Keim B. (2011, Oktober 18). It’s Official: To Protect Baby’s Brain, Turn Off TV, from: http://www.wired.com/wiredscience/2011/10/infant-tv-guidelines/ (05092012)
Boyse K. (2010, August). Television And Children, from: http://www.med.umich.edu/ yourchild/topics/tv.htm (05092012)
Sumber: Myheatlh Portal
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI