Anak Tak Selesa, Senak Dan Sakit Tapi Mak Ayah Tak Perasan, Angin Pasang Boleh Undang Bahaya!

Share

Masalah angin pasang yang sering terjadi kepada anak kecil kita selalu dipandang ringan oleh masyarakat. Hakikatnya jika dibiarkan akan menjadi ketidakselesaan kepada kesihatan anak kecil kita.

Masyarakat kita umumnya menamakan penyakit Inguinal Hernia ini sebagai angin pasang. Ia berkait rapat dengan symptom yang ada dengan penyakit ini. Di dalam ilmu perubatan, penyakit ini di namakan penyakit inguinal hernia. Inguinal merujuk kepada kawasan ari ari pesakit dan hernia pula pada takrifannya bermaksud benjolan yang tidak normal yang muncul pada tempat atau kawasan yang tidak sepatutnya berlaku.

Menurut Dr Syariz Izry Sehat, Pakar Bedah Pediatrik, Hospital Pakar Annur Bangi sekitar 3% bayi yang di lahirkan akan mengalami penyakit yang dinamakan angin pasang atau inguinal hernia. Bayi lelaki mempunyai risiko lebih tinggi menghidap penyakit ini berbanding bayi perempuan. Peratusan ini meningkat sehingga 30% sekiranya bayi dilahirkan pramatang kerana proses tumbesaran di dalam badan bayi belum sempurna.

Benjolan yang timbul di kawasan ari ari sebenarnya disebabkan oleh salur ‘processus vaginalis’ yang tidak tertutup sempurna. Salur ‘processus vaginalis’ ini berfungsi sebagai pemandu arah untuk buah zakar turun dari kawasan abdomen ke kantung zakar.

Proses ini sepatutnya selesai dengan sempurna ketika kandungan mencecah umur 30 hingga 32 minggu. Walau bagaimanapun, kadangkala proses tersebut tidak berlaku seperti yang di inginkan. Ini akan menyebabkan salur ‘processus vaginalis’ kekal sebagai satu saluran yang menghubungkan kawasan inguinal ke abdomen.

Saluran yang kekal ini membolehkan organ atau sebahagian usus turun ke kawasan ari ari, dan sekiranya saluran tersebut besar, benjolan boleh dilihat di kawasan ari ari sehingga ke kantung zakar. Untuk bayi dan anak perempuan, benjolan tersebut boleh dilihat di tepi bibir faraj.

Perlu juga saya tekankan di sini bahawa punca penyakit angin pasang yang berlaku di kalangan anak anak dan orang dewasa adalah berbeza. Untuk orang dewasa, sebahagian besar kes inguinal hernia adalah disebabkan oleh keadaan otot di kawasan inguinal yang sudah lemah. Justeru, pembedahan hernia untuk orang dewasa menjurus kepada menguatkan otot di kawasan tersebut

Simptom Penyakit Angin Pasang
Simptom awal adalah wujudnya benjolan sekitar kawasan ari ari. Benjolan ini boleh membuat rasa tidak selesa, senak dan sakit kepada anak anak dan boleh membawa mudarat. Benjolan yang terjadi sebenarnya berkemungkinan mengandungi sebahagian usus, omentum (lemak sekitar usus) atau ovari bagi anak anak perempuan.

Sekiranya dibiarkan tanpa apa apa intervensi, kandungan hernia tersebut boleh tersumbat dan di manifestasikan dengan perut anak yang semakin kembung, sakit, diikuti dengan muntah dan dehidrasi. Cerutan yang berterusan kepada bahagian usus, omentum atau ovari akan mengganggu saliran darah yang sepatutnya diterima dan boleh menyebabkan bahagian terbabit mengalami necrosis (mati).

Sekiranya ibu bapa mempunyai kemusykilan tentang simptom yang di hidapi oleh anak anak, langkah terbaik adalah membawa anak anak berjumpa dengan pakar bedah pediatrik yang terdekat.

Bantulah anak anak anda kerana mereka mengalami kesakitan dan rasa tidak selesa kerana penyakit ini. Ketepikan rasa takut atau fobia anda kerana pakar bedah pediatrik adalah pakar yang cukup terlatih untuk kes kes sebegini.

Published by
SRM