Anak makin melasak kerap terhantuk dan terjatih sampai benjol. Jangan main-main dengan terhantuk kerana ia boleh mengakibatkan pendarahan pada otak.
Menjadi kebiasaan apabila anak makin membesar dan meneroka. Segenap ruang nak dipanjat dan risiko terjatuh dan terhantuk boleh berlaku.
Terhantuk tidak boleh dipandang ringan. Mungkin ada yang beranggapan tak mengapa anak terhantuk, nanti dia akan belajar sendiri untuk berhati-hati. Hakikatnya terhantuk boleh menimbulkan pelbagai kepada kesihatannya, lebih buruk lagi pendarahan otak boleh berlaku.
Dr Ahmad Zubaidi Haji Ahmad mengulas dalam menjawab persoalan mengenai bahaya benjolan pada kepala anak kerana kerap terhantuk.
Salam doktor. Anak saya berusia 2 tahun dan beberapa kali jatuh ke lantai akibat tergelincir. Apa yang saya risau, apakah ia memberikan kesan pada masa akan datang? Sekarang anak saya sihat. Adakah pada masa akan datang kesannya boleh berbahaya? Terima kasih.
Walaikumusalam.
Lapisan kepala terbahagi kepada kulit, tengkorak dan otak. Apabila kepala anak terhantuk ke lantai atau ke dinding, ia menyebabkan kecederaan kepada kulit, tengkorak atau otak.
Kesan bengkakan (benjolan) atau koyakan (luka) pada kulit sahaja tanpa kecederaan kepada otak biasanya tidak bahaya.Dengan menekan luka atau bengkakan menggunakan kain yang bersih, pendarahan akan berhenti dan bengkakan(benjolan) akan mengecut.
Jika luka terlalu besar dan pendarahan terlalu banyak, bawalah anak ke klinik selepas membalut luka tersebut. Jika tidak dibalut , pendarahan yang banyak berlaku sebelum anak sempat ke hospital.
Benjolan pada kepala hanyalah disebabkan oleh pendarahan yang berkumpul di bawah kulit. Jadi ada darah beku yang tidak berbahaya di antara kulit kepala dan tengkorak. Ia tidak berbahaya dan akan hilang dengan sendirinya selepas 1-2 minggu.
Anak selalu mengadu rasa sakit di tempat benjolan tersebut. Boleh letakkan ais yang dibalut dengan tuala bagi mempercepatkan benjolan tersebut mengecil.
Jika benjolan ini terlalu besar, dan anak menunjukkan tanda-tanda tidak aktif, bawalah ke klinik atau hospital kerana itu mungkin menunjukkan tanda pendarahan dalam otak.
Kecederaan kepada tengkorak dan otak adalah lebih serius. Selalunya ia berlaku bila ada hentakan yang lebih kuat atau terjatuh dari tempat tinggi.
Kedua-dua kecederaan pada tengkorak dan kecederaan pada otak boleh menyebabkan pendarahan dalam otak. Ini kerana otak adalah organ yang lembut dan mudah berdarah.
Antara tandanya ialah:
1. Pengsan.
2. Tidak bermaya.
3. Hilang ingatan atau keliru.
4. Sawan.
5. Muntah.
6. Tidak boleh bercakap dengan betul.
7. Pendarahan darihidung dan telinga.
8. Penglihatan menjadi kabur.
Bawa terus anak ke hospital untuk pemeriksaan. Kecederaan tengkorak adan otak memerlukan pemeriksaan CT scan.
Namun mungkin doktor yang memeriksa tidak menahan anak di wad dan dibenarkan balik kerana tanda-tanda yang disebut tadi sangat kecil dan anak sudah kembali aktif.
Doktor akan menasihatkan agar ibubapa melakukan pemerhatian sekurang-kurangnya 24 jam. Jika ia berulang harus dibawa ke hospital segera.
Jika anak tidak menunjukkan tanda-tanda kecederaan otak’ keberangkalian anak mengalami pendarahan dalaman otak adalah tipis. Insya Allah mereka akan pulih sepenuhnya.
Sumber: Dr Ahmad Zubaidi Haji Ahmad , Ahli Jawatankuasa Pusat, Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM)
Artikel berkaitan: Kalau Anak Sakit & Tunjukkan 3 Tanda Bahaya Ini Tolong Cepat Bawa Ke Hospital. Lambat Bertindak Boleh Bawa Maut!