Anak yang terlalu clingy adakalanya buat ibu dan ayah hilang punca dan susah nak kendali. Si cilik ini selalu mahu bersama sedangkan mama atau papa ada hal penting yang perlu diuruskan. Dr Putri Afzan Maria Zulkifli, Pengamal Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pengasas Kinderkaizen untuk mengupas hal ini.
Anak yang terlalu clingy kadang kala mencetuskan pelbagai impak positif dan negatif. Clingy atau kebergantungan si anak kepada mama dan papa dalam beberapa hal walau pun dalam perkara yang remeh. Adakah ia berkaitan dengan bonding yang berlebihan atau silap cara anda mendidik? Apakah pula implikasinya pada masa hadapan?
Menurut Dr Putri Afzan, dalam pendidikan awal kanak-kanak, wujudnya satu teori yang bernama attachment atau ‘kelekatan’, yang di pelopori oleh John Bowlby semenjak tahun 1958. Kelekatan adalah apabila satu bentuk ikatan emosi berlaku antara satu individu dengan individu yang lain, dalam hal ini adalah antara ibubapa atau penjaga dan si kecil.
JENIS KELEKATAN
Dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, ada beberapa jenis kelekatan yang dijumpai. Antaranya ialah seperti berikut, yang mana satu berkaitan dengan si kecil anda?
Kelekatan positif ini terbentuk antara interaksi dewasa (ibu bapa) dan anak. Seorang anak akan merasa bahawa ibu bapa atau penjaga mereka adalah seorang yang sensitif, responsif, penuh kasih sayang serta selalu ada dalam situasi yang menakutkan dan ketika berlaku ancaman. Ainsworth (dalam Wade & Travis, 2007) menyebutkan bahawa seorang ibu yang sensitif dan cepat responsif terhadap keperluan bayinya akan menghasilkan kelekatan yang sangat positif.
Resistant attachment (ambivalen) membuatkan anak merasa tidak yakin bahawa ibu bapa atau penjaga akan selalu ada untuk mereka. Disebabkan oleh rasa kurang yakin ini, anak mudah mengalami kebimbangan untuk berpisah (separation anxiety) yang mana akan mengakibatkan mereka untuk sukar di tinggalkan dan menangis.
Selain itu, anak akan cenderung memiliki sifat manja, suka merengek dan sering wujud rasa risau walaupun hanya berada dalam lingkungan yang dekat dengan ibu bapa atau penjaga mereka. Apa yang berlaku dalam diri anak ini adalah perasaan ketidakpastian di sebabkan oleh ibubapa yang tidak selalu ada.
Dan kemungkinan juga, di sebabkan sering ada jarak antara mereka seperti perkahwinan jarak jauh antara ibu dan bapa. Menurut Rothbard & Shaver (dalam Sokolova, 2008) bahawa, anak yang mengalami kelekatan ambivalen akan lebih cenderung menjadi seorang individu yang akan menghadapi kesulitan dalam membina hubungan dengan orang lain (bersosial). Perkara ini terjadi akibat respon yang tidak konsisten dari ibu bapa atau penjaga. Ia seperti situasi kadang-kadang ada, kadang-kadang tidak ada. Kadang-kadang baik, kadang-kadang marah-marah. Ini juga dikatakan sebagai anak yang clingy.
Dalam avoidant attachment, anak tidak merasakan kelekatan dengan ibubapa atau penjaga. Perkara ini berlaku kemungkinan besar kerana ketika anak memerlukan kasih sayang atau perhatian, tidak ada respon di berikan, malah mungkin perasaan tersebut tidak di akui dan ditolak ibu bapa. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh di ambil enteng dan perlu diperbaiki segera.
IMPAK POSITIF KELEKATAN KEPADA ANAK
Ibu bapa perlu ingat, si manja yang mana perasaan mereka di ambil enteng oleh orang dewasa akan cenderung kepada mencari kasih sayang daripada orang luar. Selain itu, mereka juga berkecenderungan untuk mengelak daripada berada berdekatan dengan ibu bapa atau penjaga sendiri. Bartholomew (dalam Baron dan Byrne, 2003) kemudiannya menjumpai empat golongan yang terhasil dari jenis kelekatan seperti berikut:
a)Secure attachment style
Seorang anak yang terhasil daripada kelekatan ini biasanya mempunyai harga diri dan kepercayaan interpersonal yang tinggi, mempunyai pandangan yang positif tentang dirinya sendiri dan orang lain serta mampu membuat hubungan interpersonal berdasarkan rasa saling percaya.
b)Fearful-avoidant attachment style
Anak yang dibesarkan dengan kelekatan ini kebiasaannya mempunyai pandangan yang negatif tentang diri sendiri dan orang lain. Mereka cuba mengelak daripada di tolak dengan cara mengelakkan perhubungan akrab bersama orang lain.
c)Pre-occupied attachment style
Seorang anak dengan kelekatan ini pula mempunyai pandangan yang negatif tentang diri sendiri, tetapi masih mengharap orang lain menerima dan menyayangi dirinya. Mereka berusaha membina hubungan baik dengan orang lain, walaupun jauh di sudut hati, mereka risau ditolak.
d)Dismissive attachment style
Seorang anak dengan kelekatan ini mempunyai karakter positif dalam memandang diri sendiri, merasa berharga dan mudah untuk mewujudkan hubungan baik dengan orang lain. Tetapi, mereka berpandangan negatif terhadap orang lain membuatkan mereka mudah menolak walaupun ianya adalah satu perhubungan yang ikhlas; menjadikan ini satu kelekatan yang negatif.
Maka ibu bapa perlulah mengambil langkah untuk membina jalinan hubungan yang baik kepada anak untuk mengelakkan masalah pada kemudian hari. Bina hubungan menerusi bonding yang berterusan bagi membina rasa percaya anak kepada anda dan seterusnya membantu mereka menguasai potensi diri pada masa hadapan.