Anak Yang Cakap Bahasa “Jerman” Sebenarnya Dia Nak Tiru Kita, Sebab Tu Elak Cakap Panjang-Panjang

Share

Bahasa ‘jerman’ yang dihasilkan oleh kanak-kanak atau secara istilahnya dikenali sebagai JARGON, kita perlu tahu apakah kemahiran yang menyebabkan kanak-kanak melakukannya terlebih dahulu.

Untuk kanak-kanak belajar bercakap, banyak kemahiran yang perlu mereka pelajari. Salah satunya adalah kemahiran kefahaman apa yang disebut oleh orang dewasa dan meniru sebutan orang dewasa.

Kemahiran meniru ada 2 iaitu meniru AKSI dan meniru sebutan VERBAL. Sebagai contoh:

Meniru Aksi
Kemahiran yang perlu kanak-kanak pelajari sebelum usia 1 tahun
Contoh : Kanak-kanak menggoncang rattle selepas orang dewasa melakukannya

Meniru sebutan verbal
Kanak-kanak mula mengeluarkan bunyi-bunyi yang disebut oleh orang dewasa seperti meniru bunyi haiwan “meow” dan lain-lain

Semasa kecil di bawah umur setahun, kanak-kanak ada kalanya hanya meniru apa yang disebut oleh orang dewasa tanpa memahaminya terlebih dahulu.

Mereka mendengar dan menyebutnya sahaja. Setelah beberapa kali mereka mendengarnya barulah mereka mula faham maksud perkataan tersebut dan barulah mereka akan menggunakannya pada situasi yang betul. Pada usia ini juga, kanak-kanak mempunyai kebolehan memori yang sedikit dan kebolehan mereka untuk memahami ayat panjang adalah terhad.

Sebab itulah kita biasanya bercakap dalam bahasa yang ringkas dan pendek-pendek sahaja dengan kanak-kanak.

Contohnya:

Ayat 1: Tengok, kucing……. meow….. kucing
Ayat 2: Tengok tu ada kucing, besarnya kucing tu dia tengah makan nasi dengan ikan

Apabila kita menghasilkan ayat 1 pada kanak-kanak, biasanya kanak-kanak akan tiru perkataan meow atau kucing sahaja. Mereka tidak akan meniru keseluruhan ayat. Bayangkan jika kita menggunakan ayat yang panjang seperti ayat 2, agak-agaknya apa yang kanak-kanak cuba untuk tiru. Ia mungkin akan jadi “hdbbf msmkhd shsd kucing mjdg dybd kdhb”. Itulah bahasa jermannya.

Jadi sebenarnya, kanak-kanak menghasilkan cakap “jerman” adalah disebabkan oleh mereka cuba untuk meniru pertuturan orang dewasa tetapi kebolehan kefahaman kosa kata dan memori mereka adalah sangat terhad. Kita bercakap menggunakan ayat panjang, mereka cuba untuk tiru tapi mereka tidak faham ayat tersebut.

Cakap jerman ini sebenarnya normal bagi kanak-kanak, tetapi ianya akan berkurang apabila kanak-kanak mula menguasai kefahaman bahasa mereka. Tetapi jika selepas 3 tahun masih ada cakap jerman, ianya sudah TIDAK NORMAL.

Bagaimana mengatasi masalah ini? Apa yang boleh ibu bapa lakukan adalah:

-Tingkatkan kefahaman kanak-kanak bermula dengan kefahaman perkataan, frasa pendek dan barulah kepada kefahaman ayat

-Bercakap atau berbual dengan kanak-kanak dengan menggunakan bahasa yang pendek, ringkas dan berintonasi

-Reka perkataan atau ayat apabila kanak-kanak mengeluarkan bahasa jerman. Contohnya kanak-kanak bercakap jerman sambil menunjuk pada bola. Reka apa jua perkataan atau ayat yang berkaitan dengan bola seperti “waaa besarnya bola” atau sebagainya yang sesuai pada situasi tersebut.

Jika situasi ini berterusan, rujuklah pada terapis pertuturan-bahasa untuk khidmat nasihat.
Selamat mencuba.

Sumber: Aishah Kassim
Pakar Pertuturan Bahasa

Published by
NuFa