Anak yang terlalu manja dan tak berdikari boleh menjadi punca tak hormat ibu ayah bila mereka besar nanti. Jadi pastikan anda mendidik mereka dengan cara yang betul supaya membesar sebagai anak yang tahu menghormati ibu bapa.
Setiap ibu bapa mengimpikan anak mereka mempunyai kelakuan yang baik, bersopan, beradab dan berdikari. Tetapi kasih sayang ibu bapa kadangkala menyebabkan mereka enggan si anak bersusah payah dengan alasan kasihan.
Ibu bapa sanggup menyediakan keperluan yang cukup untuk si anak kerana mahu yang terbaik buat anak.
Tanpa disedari tindakan tersebut mendorong anak untuk berkelakuan manja dan tidak tahu berdikari. Kalau semua apa yang anak nak dia boleh dapat dan dia tak pernah merasa kesusahan maka akan ‘naik lemak’ anak anda.
Bukan tak boleh sayangkan anak dengan menyediakan keperluan terbaik untuk mereka tapi perlu berpada-pada dan ada hadnya. Jadi, untuk elakkan anak daripada terlalu manja dan tidak berdikari, ibu ayah kena didik mereka cara ini.
1. Jangan terlalu mengikut kehendak anak
Walaupun kita terlalu sayangkan anak tapi bukan bermakna mengikut apa sahaja yang diinginkan si kecil. Sikap ini akan menjadikan anak anda manja dan pemalas. Sebaiknya anda perlu bijak memilih mana satu kehendak anak yang harus dipenuhi atau tidak. Jika sudah terbiasa dengan cara didikan ini, ia akan melatih anak untuk berfikir membezakan antara keperluan dan keinginan.
2. Keterlaluan melarang dan menyekat juga boleh membuatkan perkembangan anak terbantut
Oleh kerana sikap ibu bapa yang sentiasa bimbang akan keselamatan anak maka banyak larangan dan sekatan yang kita berikan pada anak. Sebenarnya memang bagus melarang anak daripada melakukan perkara yang membahayakannya tapi perlu diingat yang anak kecil mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.
Kalau semua dia tak boleh buat dan explore maka dibimbangi boleh membuatnya rasa tertekan dan memberontak. Sebaiknya, anda berikan anak sedikit kebebasan meneroka kawasan persekitarannya tetapi perlu diawasi dan diberitahu sebab akibat mengapa tidak boleh melakukan sesuatu hal yang bahaya.
3. Biasakan anak bersikap jujur
Ajar anak kenapa mereka perlu ada sikap jujur kerana ia dapat mengelakkan anak daripada suka berbohong.
Sikap tersebut sangat berfaedah sekiranya nanti ada sesuatu perkara yang perlu dicegah daripada anak melakukannya dan anda boleh bertindak lebih awal. Selain itu, sikap jujur akan meningkatkan kualiti hubugan antara ibu ayah engan anak.
4. Elakkan mengenakan hukuman fizikal pada anak
Anak yang kerap mendapat hukuman fizikal akan mengalami jiwa yang terluka, emosi yang terganggu dan merasa kurang kasih sayang. Kesannya akan terlihat pada peribadi dirinya bila dia semakin membesar. Anak akan berani melawan anda, memberontak, tidak menghormati ibu ayah sehingga semakin lama tak menghargai anda serta menjauhkan dirinya daripada ibu bapa.
Oleh itu, kawallah kesabaran anda menghadapi kenakalan anak, gunalah cara yang berhemah dan bersesuaian dengan tahap umur anak untuk menegur dan membetulkan kesalahan yang dia lakukan. Ia jauh lebih berkesan berbanding memukulnya tanpa memberi nasihat dan panduan bagaimana membetulkan kesalahannya.
5. Memberikan anak tanggungjawab akan melatihnya berdikari
Jangan biarkan anak membesar tanpa tahu tanggungjawab membantu ibu bapa dengan kerja rumah. Biarpun anak-anak masih kecil dan tak faham lagi tentang tanggungjawab tetapi tak salah mendidiknya dari awal untuk sama-sama menolong kerja-kerja di rumah.
Ini boleh melatih sikap berdikari dan tanggungjawabnya sebagai seorang anak. Berikan tugas yang bersesuaian dengan usia mereka dan jadikan ia sebagai rutin harian supaya mereka terbiasa dan tahu kewajipannya melakukan tugas tersebut.
Jangan lupa melakukan pengawasan dan penilaian terhadap hasil kerjanya. Berikan arahan dengan bahasa yang mudah difahami apabila dia melakukan kesalahan dalam menyelesaikan tugasnya. Barulah dia boleh belajar dan memperbaiki dirinya.
Perlu diingat yang keperibadian anak mesti dibentuk sejak kecil. Cara didikan ibu bapa terhadap anak memainkan pengaruh besar bagi kehidupannya bila dewasa nanti.