Bagi yang pertama kali hamil, banyak hal yang belum diketahui lantaran tiada pengalaman. Ada beberapa persoalan yang biasa ditanya daripada Dr Ummul Wahiy Abdul Hakim, doktor pakar O&G di Hospital UMRA, Shah Alam tentang awal kehamilan.
Bergantung kepada kitaran haid. Kalau tahu dan boleh ramal bila sepatutnya haid semula, maka pada hari yang sepatutnya haid, lakukanlah ujian.
Ambil sampel air kencing pertama pada awal pagi, memandangkan ia lebih pekat. Lakukan ujian kehamilan seawal yang boleh kerana langkah-langkah tertentu boleh diambil untuk mengelakkan mudarat kepada kandungan.
Jika hasil ujian negatif, itu tidak bermaksud anda tidak mengandung, HcG mungkin terlalu rendah. Anda boleh mengulangi ujian yang sama pada hari berikutnya. Dalam pada itu, adalah lebih baik jika anda dapatkan kit penguji kehamilan yang sensitif agar dapat mengesan serendah 15u/l HcG.
Setelah sah hamil, jaga kandungan. Jangan lakukan aktiviti yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kandungan. Sekiranya menghidap penyakit tertentu seperti darah tinggi, diabetes, tiroid dan epilipsi, pastikan doktor dimaklumkan mengenainya agar ubat yang perlu anda ambil seharian diubah dos pengambilannya.
Pengambilan asid folik memberi banyak manfaat. Apa yang dimakan di trimester pertama memberi kesan sepanjang tempoh kehamilan dan selepas kelahiran. Jaga pemakanan dengan tidak terlalu mengambil terlalu banyak karbohidrat dan gula kerana dibimbangi ia menjadi salah satu faktor autisme.
Jangan lupa untuk jalani pemeriksaan antenatal untuk pastikan kandungan benar-benar berada di dalam rahim. Hasil ujian imbasan yang dilakukan di awal usia kehamilan paling tepat untuk mengetahui usia sebenar kandungan.
Semua wanita hamil akan alami alahan tetapi berbeza jenisnya. Ia perkara biasa kerana berlakunya perubahan hormon sewaktu kehamilan.
Belajar untuk terima apa jua bentuk alahan yang dialami. Tiada apa-apa yang salah dengannya. Alahan sebenarnya melindungi bayi. Ia bagus kerana apabila anda loya dan muntah lalu teringin makan sesuatu, bererti tubuh kekurangan kandungan nutrien dan ia boleh diperoleh daripada makanan yang diidamkan itu.
Amalkan pemakanan yang sihat iaitu tinggi serat, kurang karbohidrat dan lemak. Lebihkan sayur-sayuran hijau dan kurangkan gula.
Karbohidrat yang diambil berlebihan akan memberi kesan kepada kandungan. Adalah dinasihatkan agar anda turut kurangkan kafein dan adalah lebih baik jika anda ambil makan dan minuman yang tidak bergula.
Jika sedia ada masalah kesihatan sebelum hamil, beritahu doktor segera. Doktor pasti akan menasihatkan anda untuk mengubah cara dan dos pengambilan ubat agar sesuai dengan kegunaan ibu hamil. Hal ini penting bagi memastikan tahap kesihatan anda terkawal. Berbincanglah dengan doktor berkenaan hal ini.
Dalam pada itu, optimumkan kesihatan tubuh dengan melakukan senaman untuk mengurangkan impak masalah kesihatan. Sebenarnya, anda perlu pastikan diri benar-benar sihat sebelum mengandung.
Semua wanita hamil perlu menjalani ujian imbasan nucheal transluscency pada minggu ke-11 hingga 14 bagi mengukur bahagian belakang bayi dalam kandungan. Cecair yang sangat tebal pada bahagian berkenaan boleh menjadi petanda bahawa bayi bermasalah.
Hasil kajian mendapati 50% mengalami masalah kromosom, 25% tidak dapat dijangka masalahnya, 10% bayi meninggal dunia dan 30% bayi lahir normal selepas ujian ini dilakukan.
Selain itu ujian amniosentosis boleh mula dilakukan selepas usia kandungan 15 minggu di mana jarum khas digunakan untuk mengambil air ketuban untuk pemeriksaan selanjutnya di makmal.
Bukan semua ibu perlu melakukannya ujian MGTT. Biasanya yang berumur 35 tahun ke atas, BMI terlebih berat badan dan ada sejarah keluarga wajib melakukannya.
Namun, jika didapati berat badan bertambah berlebihan semasa hamil, anda perlu melakukan ujian ini walaupun tiada faktor risiko yang dinyatakan. Dahulu apabila kandungan berumur 28 minggu ke atas, ujian ini boleh dijalankan. Kini, sebaik sahaja anda tidak lagi mengalami alahan muntah atau loya, maka bolehlah menjalani ujian ini.
Perlu diingati bahawa asid folik sangat penting untuk diamalkan semasa hamil. Banyak kajian membuktikan ia mengurangkan risiko neural tube defect, membantu dalam pembentukan otak, muka, bibir dan saraf tunjang bayi.