Anemia atau kurang darah di kalangan ibu hamil tidak boleh dianggap remeh sebab kesannya cukup bahaya pada bayi. Bagi kebanyakan ibu mengandung, ibu akan rasa mudah letih, berasa tidak sihat, emosi mudah terganggu dan tubuh lemah.
Penyebab utama anemia di kalangan ibu mengandung adalah kekurangan zat besi.
Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.
Anemia Bahaya Kepada Ibu Hamil
Sekiranya zat besi atau vitamin B12 dan folat tidak dibekalkan dengan cukup, penghasilan darah merah mungkin tidak cukup untuk keperluan. Bila jangkamasa kandungan semakin meningkat isipadu darah makin bertambah dan ini menyebabkan pencairan darah berlaku.
Walaupun sel darah merah makin bertambah, namun penghasilan plasma darah lagi bertambah dan menyebabkan keadaan yang kita panggil anemia relative atau fisiologi.
Di kalangan populasi yang cukup zat besi, seseorang itu dikatakan mengidapi anemia bila tahap hemoglobin kurang dari 11 g/dl semasa trimester pertama, 10.5 g/dl semasa trimester kedua dan 10 g/dl dalam trimester ketiga.
Ketahui Penyebab & Langkah Rawatan
Penyebab-Penyebab Anemia Semasa Mengandung
Kekurangan Zat Besi
Terdapat 75-95% wanita yang mengandung mengidap anemia disebabkan oleh kekurangan zat besi. Wanita yang mengandung sentiasa mengalami kekurangan zat besi untuk menampung keperluan semasa mengandung.
Wanita yang mengandung disarankan agar meningkatkan pengambilan zat besi dalam diet harian mereka. Pemeriksaan darah perlu dijalankan secara rutin semasa lawatan pertama ke klinik ibu mengandung. Nilai MCV kurang dari 80 fL dan MCH kurang dari 27 pg menunjukkan kemungkinan anemia dengan saiz darah merah yang kecil dan pucat.
Tahap hemoglobin yang kurang dari 7g/dl mesti dirujuk untuk siasatan lanjut dan rawatan susulan. Siasatan lanjut seperti kajian tentang zat besi dan analisa haemoglobin perlu dijalankan untuk memastikan kekurangan zat besi atau Talasemia.
Gejala-gejala anemia adalah seperti letih, tidak bermaya, sakit kepala, pening, berdebar-debar dan sesak nafas.
Anemia boleh menyebabkan komplikasi seperti kelahiran pra matang, kematian bayi dalam kandungan dan kemurungan selepas kelahiran. Kesan pada bayi pula boleh menyebabkan tumbesaran yang terbantut, kerencatan perkembangan akal dan psikomotor.
Rawatan zat besi secara rutin adalah disarankan dalam program penjagaan ibu mengandung. Sekiranya, ibu-ibu mengandung tidak dapat mengambil zat besi dengan cara biasa, maka disarankan pengambilan suntikan zat besi yang akan dilakukan di klinik atau hospital. Pihak doktor akan berbincang dengan pesakit sebelum terapi dijalankan.
Ada lagi cara lain yang kita boleh lakukan untuk meningkat paras haemoglobin iaitu dengan pemindahan darah.
Ads
Anemia Kerana Kekurangan Folate dan Vitamin B12
Kekurangan vitamin B dan folat lebih jarang ditemui berbanding dengan kekurangan zat besi. Walau bagaimana pun, pemberian folat disarankan untuk semua ibu mengandung untuk mengurangkan risiko kecacatan saraf tunjang (neural tube defect) pada bayi.
Kekurangan vitamin-vitamin ini akan menyebabkan anemia ‘non-pernicious megaloblastic’ dengan MCV lebih dari 100 fL. Sekiranya anemia yang berlaku kerana kekurangan ketiga-tiga zat ini, zat besi, folat dan B12, MCV akan menunjukkan bacaan yang normal (normocytic anaemia). Sekiranya pesakit mempunyai paras folat yang rendah, beliau perlu mengambil dos yang lebih tinggi.
Pesakit yang mengalami kekurangan vitamin B12 memerlukan siasatan lanjut untuk memastikan paras ‘intrinsic factor’ (yang diperlukan untuk penyerapan vitamin B12). Keadaan di mana berlakunya kekurangan ‘intrinsic factor’ ini dipanggil ‘pernicious anaemia’. Tetapi setengah ujian contoh nya Schilling test hanya dapat dijalankan selepas kelahiran bayi kerana ianya melibatkan penggunaan bahan-bahan radioaktif.
Anemia kerana Infeksi
Anemia jenis ini sering berlaku di negara-negara bukan industri. Antara jangkitan infeksi yang boleh menyebabkan anemia adalah HIV, malaria, cacing, hepatitis, TB dan sebagainya. Sekiranya sejarah pesakit menunjukan terdapatnya pendedahan kepada jangkitan ini,maka perlu dijalankan siasatan yang berpatutan.
Talasemia
Talassemia adalah penyakit yang biasa kita jumpai. Penyakit ini terdapat diseluruh dunia, terutamanya di kawasan yang endemik kepada jangkitan malaria, di mana penyakit ini membolehkan pengidap talasemia dilindungi dari malaria. Kawasan tersebut termasuklah kawasan Mediterranean, Afrika Tengah dan sebahagian benua Asia.
Ianya adalah disebabkan oleh pembentukan tidak normal rantai peptid globin yang terdapat dalam haemoglobin. Orang dewasa yang sihat patut mempunyai lebih dari 95% haemoglobin A yang mempunyai 2 rantai ‘alpha’ dan 2 rantai beta peptid.
Ads
Terdapat dua jenis utama talasemia, iaitu talasemia ‘alpha’ dan talasemia ‘beta’. Kedua-dua jenis talasemia ini terbentuk kerana pengurangan pembentukan rantai-rantai tersebut di atas. Bila berlaku kekurangan Hb A yang normal ini, maka pembentukan sel darah merah yang tidak sempurna, pemecahan darah merah dan kekurangan darah merah akan berlaku.
Pembawa gen talasemia biasanya tidak mempunyai masalah dan hanya akan dapat dikesan apabila mereka melakukan ujian saringan FBC.
Pewarisan adalah secara resesif autosomal, iaitu anak lelaki dan perempuan mempunyai peluang yang sama untuk mewarisinya. Dan jika anak-anak mewarisi satu gen talasemia dari ayah dan satu lagi dari ibu, maka anak itu akan mendapat dua gen talasemia. Keadaan ini menyebabkan anak itu adalah pesakit talasemia, berbanding dengan ayah dan ibu yang hanya seorang pembawa.
Kedua-dua jenis talasemia ini boleh dibahagi kepada beberapa peringkat lagi berdasarkan kepada keterukan pesakit dan kekerapan transfusi darah; talasemia minor, talasemia intermedia and talassemia major. Yang paling teruk yang boleh dialami adalah ‘ hydrop foetalis’ di mana janin akan mati dalam rahim atau meninggal semasa dilahirkan.
Pesakit talasemia major akan memerlukan pemindahan darah pada umur setahun ke atas bila mana haemoglobin fetus ditukarkan ke haemoglobin dewasa yang tidak normal.
Manakala pesakit talasemia intermedia pula, mereka akan memerlukan pemindahan darah kemudian bila mana mereka semakin dewasa atau semasa jangkitan kuman, mengandung atau semasa pembedahan.
Keadaan seperti ini akan mempercepatkan kadar pemecahan darah merah (haemolysis) dan menyebabkan anemia menjadi bertambah teruk. Pada masa yang sama, kelenjar limpa makin membesar kerana terpaksa bekerja keras untuk memusnahkan sel-sel darah yang kurang sempurna ini. Keperluan pemindahan darah meningkat disebabkan kelenjar limpa semakin membesar dan semakin banyak sel-sel darah berkumpul dalam kelenjar limpa.
Bagi mereka yang mengidap talasemia minor, biasanya mereka tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius dan boleh hidup secara normal. Tapi keadaan mereka boleh menjadi teruk sekiranya mereka mengalami kekurangan zat besi atau gabungan bersama kekurangan folat dan Vitamin B12 yang diperlukan untuk pembentukan sel-sel darah semasa mengandung, jangkitan kuman atau sebarang keadaan yang mungkin mempercepatkat kadar pemecahan sel darah merah.
Walaupun pemindahan darah boleh memperpanjangkan jangka hayat, bila mana digabungkan dengan perawatan mengeluarkan zat besi, ramai wanita boleh mengalami kemandulan pada masa-masa yang lampau. Namun akhir-akhir ini, makin ramai wanita pengidap talasemia boleh mengandung tanpa masalah sekiranya transfusi darah dapat dijalankan dengan teratur.
Jenis-jenis anemia yang lain
Ads
Anemia ‘Diamond-Blackfan’ dan penyakit ‘sickle cells’ jarang dijumpai di kalangan wanita Malaysia. Walau bgaimana pun, dengan bertambahnya rakyat-rakyat dari Africa yang bermastautin di Malaysia, maka tidak mustahil akan berlaku peningkatan anemia ‘sickle cells’ ini.
Bagaimanakah anemia semasa kehamilan dirawat?
Rawatan anemia semasa kehamilan bertujuan untuk memulihkan dan mengekalkan tahap hemoglobin dan zat besi yang mencukupi dalam badan.
*Suplemen zat besi.
*Vitamin B12 atau suplemen asid folik.
*Lebihkan pengambilan makanan kaya zat besi seperti daging merah tanpa lemak, ayam, ikan, sayur-sayuran berdaun hijau, kekacang, dan lentil. Menggabungkan makanan kaya zat besi dengan sumber vitamin C seperti buah sitrus, strawberi dan tomato boleh meningkatkan penyerapan zat besi.
Pemindahan Darah Pada Masa Mengandung
Pemindahan darah mungkin perlu dilakukan sekiranya berlaku anemia yang teruk di kalangan wanita mengandung yang hampir bersalin. Tahap haemoglobin yang perlu untuk pemindahan darah mungkin lebih rendah di kalangan mereka yang mempunyai anemia yang kronik berbanding dengan mereka yang megalami hemolisis akut.
Adalah sukar untuk memberi paras hemoglobulin yang sesuai untuk pemindahan darah. Tetapi adalah penting untuk memberi darah kepada wanita mengandung 34 minggu ke atas yang mempunyai haemoglobin kurang dari 7g/dl. Dan seboleh-bolehnya, anemia yang teruk mesti dirawat sebelum kelahiran bayi untuk mengelakkan komplikasi yang berpunca dari pendarahan semasa kelahiran.
Buat ibu-ibu yang sedang mengandung, datang mengikut jadual kedatangan yang disediakan di klinik ibu mengandung untuk pemeriksaan setiap bulan. Ini adalah sangat penting untuk memastikan keselamatan dan kesihatan ibu dan anak.
Pra-eklampsia adalah keadaan yang disebabkan oleh kehamilan, dan ianya berlaku pada trimester kedua kehamilan lazimnya selepas 20 minggu kehamilan. Pra-eklampsia berkaitan dengan tekanan darah yang tinggi, bengkak yang berlaku secara tiba-tiba dan kenaikan berat badan yang mendadak disebabkan pengumpulan air dalam tubuh, dan kehadiran protein dalam air kencing.
Pre-Eclampsia: Amaran bahaya sebelum dapat sawan ketika hamil
Punca sebenar terjadinya pra-eklampsia masih lagi tidak diketahui.
Apa yang terjadi dalam pra-eklampsia ialah terdapat pengurangan aliran darah ke uri sekaligus membahayakan bayi dalam kandungan . Tumbesaran bayi menjadi terbantut disebabkan kuantiti oksigen dan nutrien yang sampai kepada bayi tidak mencukupi.
Air mentuban juga akan menjadi kurang. Sekiranya tumbesaran bayi menjadi sangat terbantut, bayi boleh mati secara mengejut di dalam kandungan. Maka kehamilan dengan pra-eklampsia akan dipantau dari semasa ke semasa untuk mengesan bayi-bayi yang bakal mengalami komplikasi ini supaya tindakan segera dapat diambil untuk menyelamatkan bayi.
Mengapa perlu tahu mengenai pra-eklampsia?
Pra-eklampsia sangat biasa berlaku di kalangan wanita hamil.
Pra-eklampsia ringan berlaku bagi 7 daripada setiap 100 kehamilan manakala eklampsia (sawan hamil) pula jarang berlaku; hanya 1 dalam setiap 100 wanita dengan pra-eklampsia akan mengalaminya. Hampir separuh kes eklampsia (44 peratus) berlaku selepas bersalin, dalam tempoh berpantang (postpartum).
1 dalam 200 kehamilan (0.5%) akan mengalami pra-eklampsia yang serius ketika hamil. Gejala-gejala pra-eklampsia lazimnya ditunjukkan pada penghujung kehamilan, tetapi ada juga yang menujukkan gejala-gejala selepas bersalin.
Gejala-gejala pra-eklampsia yang serius adalah :
❗️Sakit kepala yang tidak dapat dilegakan oleh ubat tahan sakit ❗️Mata menjadi kabur ❗️Pedih pada ulu hati yang tidak dapat dilegakan oleh ubat-ubatan gastrik ❗️Bengkak pada kaki dan muka yang makin bertambah ❗️Berasa tidak sihat
Gejala-gejala ini adalah tanda-tanda amaran bahaya, dan memerlukan perhatian pihak hospital dengan kadar yang segera. Dalam pra-eklampsia yang serius ini, organ-organ penting di dalam badan – fungsi hati dan buah pinggang mungkin akan terjejas, sekaligus menjejaskan proses pembekuan darah yang normal di dalam badan.
Pra-eklampsia serius ini jika tidak dirawat boleh menjadi lebih teruk ke tahap eklampsia dimana sawan boleh terjadi. Walaupun ianya jarang terjadi 1 dalam 4000 kehamilan, eklampsia memberikan komplikasi dan impak yang serius kepada ibu dan bayi, dan boleh membawa maut
Anda lebih cenderung untuk mendapat pra-eklampsia jika ini merupakan kehamilan sulung anda atau jika terdapat jarak yang besar, selalunya 10 tahun, antara kehamilan ini dengan kehamilan yang terdahulu.
Anda mempunyai risiko yang lebih jika anda:
✅berumur 40 tahun atau lebih; ✅berat badan berlebihan ketika hamil, BMI 35 atau lebih. ✅mempunyai masalah perubatan yang kronik yang menjejaskan sistem darah anda, termasuk tekanan darah yang tinggi, lupus,masalah buah pinggang, atau diabetes;
kandungan kembar atau lebih; ✅mempunyai sejarah pra-eklampsia dalam keluarga, contohnya, terdapat emak atau kakak yang mengalaminya;
Berbincang dengan doktor anda, tentang faktor-faktor yang anda ada. Setelah penilaian doktor, anda akan dinasihatkan memakan ubat aspirin 75mg sehari sekali dari pada awal kehamilan (12 minggu) sehingga bersalin untuk mengurangkan risiko anda mengalami pra-eklampsia. Suplemen kalsium juga akan turut dimulakan.
Tiada cara yang pasti 100 % untuk mencegah terjadinya pra-eklampsia. Tetapi, cara yang terbaik untuk memastikan yang anda atau bayi tidak dalam bahaya ialah dengan berjumpa doktor anda secara kerap untuk temujanji antenatal anda. Ujian air kencing dan bacaan tekanan darah dijalankan oleh doktor atau jururawat semasa anda hadir untuk temujanji antenatal anda, adalah untuk mengesan tanda-tanda awal pra-eklampsia.
Bagaimana saya dirawat, sekiranya saya mengalami pra-eklampsia?
Jika tekanan darah naik secara sederhana, anda akan dinasihatkan untuk mendapatkan seberapa banyak rehat yang boleh, dan caranya ialah dengan berbaring di sisi kiri anda sebab ini akan membantu aliran darah ke uri. Anda mungkin diminta pergi ke klinik kesihatan setiap hari untuk memeriksa tekanan darah anda.
Sekiranya tekanan darah anda naik melambung, anda akan diminta masuk ke hospital supaya keadaan anda boleh dipantau dengan rapi. Kadar tumbesaran bayi akan diperiksa. CTG (cardiotocography) akan digunakan untuk memeriksa kadar denyutan jantung bayi anda dan kesihatannya secara umum. Tujuannya ialah untuk memanjangkan tempoh kehamilan anda seberapa lama yang boleh, untuk memberi peluang kepada bayi supaya tidak dilahirkan secara pramatang. Ubat untuk mengawal tekanan darah juga turut akan diberikan.
Anda juga akan diberikan suntikan ubat magnesium sulfat. Satu kajian penyelidikan yang besar yang diterbitkan pada tahun 2002 mendapati bahawa jika ibu yang mempunyai pra-eklampsia diberikan magnesium sulfat, risikonya mendapat eklampsia dikurangkan hingga separuh. Anda akan dirawat di wad rawatan rapi untuk ibu mengandung. Doktor juga akan menilai sama anda anda perlu diberikan ubat untuk mematangkan peparu bayi, sekiranya perlu dilahirkan lebih awal.
Sekiranya tekanan darah anda sukar dikawal dengan ubat-ubatan, akan dicadangkan supaya anda supaya menjalani proses induksi (induction of labour) atau melahirkan bayi anda melalui pembedahan caesarean.
Pra-eklampsia hanya akan pulih dengan sendirinya setelah anda melahirkan bayi. Tetapi, anda masih lagi berisiko sehingga empat minggu selepas bersalin, terutamanya jika pra-eklampsia anda itu serius atau dikenalpasti apabila kehamilan anda sudah mencapai minggu ke-37 atau lebih. Anda mungkin perlu meneruskan ubat untuk mengawal tekanan darah walaupun sudah bersalin.
Jika bayi dilahirkan kecil dan pramatang, bayi akan dipantau di unit rawatan rapi bayi sehingga bayi benar-benar sihat dan selamat untuk pulang. Tiada masalah untuk meneruskan penyusuan susu ibu
Segera dapatkan rawatan jika ada gejala-gejala pre eclampsia. Jangan tunggu
Usia kandungan pelakon cantik manis, Fazura kini sudah memasuki usia tujuh bulan. Ada ketikanya Fazura mahupun suami Fattah Amin berkongsi perkembangan terkini tentang perjalanan kehamilan Fazura.
Fattah Amin berkongsi beberapa tips yang diamalkan sepanjang kehamilan isterinya, pelakon Nur Fazura yang kini memasuki bulan ketujuh.
Antara perkara yang selalu diamalkan Fattah adalah membaca surah Yusuf dan Mariam.
“Setiap kali selepas balik kerja, jika berpeluang, saya akan luangkan masa untuk membacakan beberapa surah untuk anak kami di dalam kandungan itu.
“Antara surah yang saya baca adalah surah Yusuf dan Mariam, Insya-Allah, saya percaya akan kebaikan membaca surah-surah ini kepada bayi dalam kandungan,” katanya kepada portal hiburan, Gempak.
Dalam pada itu, Fattah juga akui Fazura menunjukkan sedikit perubahan dari segi ‘mood’ ketika sedang hamil.
Namun, juara Hero Remaja 2012 ini sentiasa bersabar dan melayankan sahaja kerenah isterinya.
“Saya faham, sudah tentu wanita yang sedang hamil akan mengalami sedikit perubahan dari segi mood mereka, begitu juga isteri saya.
“Tetapi, sebagai suami, saya perlu banyak bersabar dan sentiasa berada di sisi dia, layankan sahaja kerenahnya,” katanya lagi.
Terdahulu, pasangan kegemaran ramai ini mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Bagi pasangan suami isteri, kehadiran anak pelengkap rumah tangga. Walau apa pun terjadi, usaha dan doa yang tak putus dianggap kunci kejayaan selagi kedua-duanya normal dan tiada masalah kesihatan.
Apa sahaja rawatan sekalipun yang dilakukan, sama ada rawatan moden atau tradisional, niatnya adalah satu. Dapat seorang pun alhamdulillah!
Ada yang sanggup berhabis duit semata-mata untuk berikhtiar demi memastikan ada penghuni kecil dalam rahim ibu.
Kisah pasangan suami isteri ini yang menanti anak sejak 6 tahun lalu kini berakhir dengan air mata kegembiraan apabila isteri disahkan mengandung melalui rawatan kesuburan yang dilakukan.
Perkongsian video di instagram Dr Thokha Muhammad ini benar-benar menyentuh hati. Benarlah kehadiran anak itu dianggap rezeki dalam keluarga. Bagi orang yang setahun kahwin terus ada rezeki kira bersyukurlah tapi bagi yang lambat penantian itu ibarat satu ujian besar bagi mereka.
Menurut Dr Thokha, 1001 perasaan dalam diri pasangan suami isteri dari Terengganu ketika ingin mengetahui keputusan akhir sama ada berjaya atau tak mengandung selepas menjalani rawatan sebelum ini.
Apa yang membuatkan perasaan si isteri ketika itu berdebar-debar kerana doktor telah berpesan apa saja keputusan mesti terima dengan reda.
Lagi buat si isteri makin risau, apabila doktor sendiri memintanya membuka casing UPT untuk melihat keputusan sama ada positif atau negatif.
“Ya Allah Ya Tuhanku..Abang”
“Ya Allah Ya Tuhanku.. abang.” Tengok dua line terus menangis kegembiraan bersama suami yang setia menunggu di sisi sambil menyebut Astaghfirullahalazim.
Ibarat macam mimpi menjadi kenyataan setelah 6 tahun menunggu si kecil dalam rahim. Ya Allah Engkau Maha Mengetahui Segalanya.
Terima kasih doktor banyak membantu. Perjuangan melalui proses IVF akhirnya dipermudahkan oleh Allah. Sepanjang 6 tahun tunggu baru pertama kali tengok UPT positif. Terima kasih Allah dengan anugerah ini!
Bukan pasangan suami isteri saja yang sebak dan menangis, Dr Thokha sendiri pun turut menitik air mata melihat reaksi suami isteri ini yang cukup bersyukur dengan kurniaan yang ditunggu selama ini.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Rezeki buat rakyat negeri Pahang! Setiap kali Ramadan menjelang, mesti ramai penjawat awam tertanya-tanya, "Bonus raya ada ke tahun ni?". Alhamdulillah, kerajaan akhirnya mengumumkan...