Tidak sedikit pun rasa menyesal di hati seorang ibu yang melahirkan seorang bayi perempuan tiada tempurung kepala sehingga menyebabkan otak berada di luar.
Suri rumah, Norwati Saad, 35, melahirkan bayi comel diberi nama Nur Annissa Zaki sejak 4 Ogos lalu, diuji dengan kecacatan pada tempurung kepala bayinya yang dinamakan ‘holoprosencephaly,’ selain mengalami lelangit sumbing serta memiliki enam jari pada tangan kanan.
Katanya, pihak hospital turut memaklumkan jangka hayat anaknya tidak lama, bagaimanapun dia dan suami, Zaki Rosly, 40, hanya mampu berserah kepada ALLAH SWT dan berharap anaknya terus hidup sihat seperti bayi lain.
“Saya anggap ini anugerah tidak ternilai ALLAH SWT beri kepada kami suami isteri lebih-lebih lagi anak perempuan pertama dalam keluarga memandangkan empat anak saya yang lain adalah lelaki,” katanya yang menetap di Kampung Kuala Linggi, Masjid Tanah, di sini hari ini.
Norwati berkata, sejak mengetahui keadaan fizikal bayinya dia telah belajar untuk menerima hakikat itu dengan hati terbuka sehinggalah melahirkan Nur Annissa secara normal dengan berat lebih 2.6 kilogram.
“Sedih memang sedih, tapi saya dah bersedia sejak kandungan berusia tujuh bulan lagi dan apa sahaja yang ALLAH SWT berikan saya terima serta reda,” katanya.
Sementara itu, suaminya, Zaki Rosly, 40, yang bekerja sebagai operator kilang di Tangga Batu berkata, anaknya juga tidak minum susu melalui puting botol disebabkan masalah lelangit sumbing dan hanya diberi minum menggunakan cawan sukatan plastik.
“Setakat ini pun pihak hospital tidak memaklumkan kami perlu menjalani rawatan susulan dan kami sendiri tidak tahu apa yang boleh kami buat. Cuma di bahagian kepala Nur Annissa, kami letakkan kapas serta pakaikan sarung kepala disebabkan keluar cecair berwarna kekuningan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang atau menghulurkan bantuan boleh menghubungi beliau melalui nombor telefon 01161673662 atau akaun bank BSN 0411729000088130
Sumber: Sinar Harian