Autisma merupakan “neurodevelopmental disorder” yang mana dicirikan dengan gangguan interaksi sosial, komunikasi sama ada verbal atau bukan verbal, dan perbuatan yang terbatas dan berulangan. Ciri-ciri autisma boleh dikesan dan diperhatikan pada kanak-kanak tersebut sebelum berumur 3 tahun.
Autisma berlaku apabila sel saraf dan sinaps di otak kanak-kanak tidak berhubung secara normal. Namun begitu, penyebab dan mekanisma bagaimana autisma memberikan kesan masih belum dapat dikenalpasti.
Mengikut kajian statistik yang dijalankan, autisma berlaku kepada 1-2 orang untuk setiap 1000 orang di dunia dan ia berlaku 5 kali ganda kepada kanak-kanak lelaki berbanding kanak-kanak perempuan. Di Amerika Syarikat sahaja, CDC melaporkan bahawa 1.5% kanak-kanak, atau 1 dalam setiap 68 kanak-kanak; dipercayai mempunyai autisma.
Ciri-ciri Autisma
Setiap satu pesakit autisma adalah istimewa, dan setiap mereka mempunyai ciri yang berbeza berbanding yang lain. Kebiasaannya ciri tersebut muncul ketika berumur 6 bulan, dan jelas pada umur 2-3 tahun dan seterusnya hingga dewasa. Autisma tidak dibezakan dengan hanya satu simptom, tetapi 3 simptom yang kebiasaanya ada dikalangan kanak-kanak autisma:
Interaksi Sosial
Gangguan terhadap interaksi sosial merupakan faktor yang menjadikan autisma istimewa berbanding penyakit yang lain. Masalah perkembangan interaksi sosial jelas diperhatikan sejak dari kecil lagi. Kanak-kanak yang mengalami autisma akan kurang atau tidak memberikan respon terhadap rangsangan sosial; seperti tidak memberi respon apabila nama dipanggil, kurang membuat hubungan mata, dan tidak mampu melakukan aktiviti yang mengekspresikan perasaan atau kehendak, seperti menunjuk kepada barang yang diingini.
Bagi kanak-kanak yang mempunya autisma high-functioning, mereka mungkin boleh mempelajari sesuatu seperti kanak-kanak normal tetapi, mereka didapati merasa lebih kesunyian dan keseorangan disebabkan oleh kekurangan kebolehan untuk bersosial.
Walaupun terdapat kepercayaan bahawa kanak-kanak autisma suka bersendirian, namun kepercayaan ini adalah tidak tepat; dan ibu bapa perlu memainkan peranan untuk memastikan kanak-kanak dengan autisma tidak menjadi tertekan dengan memastikan mereka belajar untuk bergaul semaksimum yang mungkin dengan kanak-kanak biasa dan orang dewasa.
Komunikasi
Hampir kebanyakan dari mereka yang mempunyai autisma tidak mempunyai kosa kata yang mencukupi untuk perbualan harian. Kesukaran untuk membina ayat untuk berbual akan lebih mengganggu kemahiran komunikasi mereka. Keadaan ini boleh dikesan sejak dari tahun pertama kelahiran; yang mana termasuklah lambat melakukan “babbling”, lambat menyebut perkataan pertama, pergerakan yang janggal, tidak mampu untuk menumpukan perhatian pada orang dan aktiviti serta corak suara yang tidak sekata.
Pada tahun kedua dan ketiga, kanak-kanak autisma akan kurang melakukan “babbling”, banyak menggunakan pergerakan badan (gesture) untuk berkomunikasi seperti menarik tangan untuk meminta sesuatum, dan tidak boleh melakukan pemerhatian bersama (joint attention), contohnya kanak-kanak tidak akan melihat objek yang ditunjuk, sebaliknya memandang tangan, dan lain-lain lagi.
Disebabkan oleh masalah tumpuan yang dihadapi, kanak-kanak autism sukar untuk memahami arahan yang diberikan dan mereka juga akan mempunyai masalah untuk mengingat perkataan atau ayat yang panjang. Ciri-ciri lain yang biasanya ditunjukkan oleh kanak-kanak autisma adalah mengulang perkataan atau ayat yang didengar yang dikenali sebagai ‘echolalia’tetapi bukan pada situasi atau konteks yang betul.
Perlakuan berulang
Terdapat beberapa kelakuan berulang yang dilakukan oleh kanak-kanak dengan autisma, namun kelakuan ini dikategorikan seperti berikut:
Stereotaip (stereotype) | Pergerakan yang berulangan Contoh: mengibas-ngibas tangan, menepuk tangan, me nggeleng kepala, menggerakkan badan ke depan dan belakang |
Kelakuan kompulsif (Compulsive behaviour) | Kelakuan yang dilakukan mengikut peraturan-peraturan tertentu Contoh: menyusun permainan secara bertimbun atau dalam satu garisan lurus. |
Kesamaan | Tidak menerima perubahan Contoh: berkeras agar perabot di rumah tidak ditukar, berkeras agar tidak diganggu |
Kelakuan ritual | Melakukan aktiviti harian yang sama mengikut jadual Contoh: memakan makanan berwarna oren setiap isnin, memakai baju biru setiap hari |
Kelakuan terhad | Terdapatnya had untuk fokus, minat dan aktiviti Contoh: minat yang mendalam kepada satu cerita televisyen, permainan atau aktiviti |
Mencedera diri | Kelakuan yang boleh menyebabkan kecederaan kepada diri sendiri atau orang lain. Contoh: mencocok mata, menggores kulit, menggigit dan menghantukkan kepala. |
Walaupun kelakuan ini juga ada berlaku kepada kanak-kanak biasa, namun ia kerap berlaku dan lebih teruk pada kanak-kanak autisma.
Penyebab Autisma
Penyebab kepada autisma masih kekal sebagai satu misteri. Banyak kajian giat dijalankan untuk mengetahui penyebab utama penyakit ini, seterusnya membolehkan langkah mencegah atau mengubati dirangka.
Namun walaupun penyebab autisma masih belum diketahui, para saintis mempunyai beberapa teori penyebab kepada autisma. Antara teori yang popular adalah:
- Mutasi genetik
- Pembentukan sinaptik yang abnormal
- Kesan teratogenik (bahan penyebab kecacatan kelahiran pd kanak-kanak)
- Suntikan vaksin (vaksin berlebihan, bahan pengawet di dalam vaksin dan vaksin MMR). Namun begitu teori ini terbukti tidak benar.
- Penyebab persekitaran (contoh: pemakanan, penyakit berjangkit, keracunan metal berat, asap kenderaan, fenol di dalam plastik, alkohol, merokok, pengambilan dadah)
Diagnosis Autisma
Diagnosis adalah berdasarkan pemerhatian terhadap kelakuan kanak-kanak tersebut, tidak seperti penyakit-penyakit yang lain. Seseorang kanak-kanak tersebut dikatakan mengalami autisma apabila dia menunjukkan 6 simptom autisma; termasuklah dua simptom dari gangguan interaksi sosial, satu simptom dari gangguan komunikasi serta satu simptom kelakuan berulang dan minat selektif
Berikut merupakan beberapa contoh mudah kelambatan komunikasi kanak-kanak dengan autisma:
- Tidak melakukan “babbling” (membebel) sehingga berumur 12 bulan
- Tidak melakukan pergerakan seperti melambai dan menunjuk sehingga berumur 12 bulan
- Tidak menuturkan sebarang perkataan sehingga berumur 16 bulan
- Tidak menuturkan dua perkataaan gabungan sehingga berumur 24 bulan
Semua simptom ini haruslah mula diperhatikan sebelum berumur 3 tahun, jadi intervensi awal dari ibu bapa adalah perlu. Sekiranya seseorang kanak-kanak itu didapati menunjukkan perkembangan sosial yang berbeza dari kanak-kanak lain, ibu bapa dinasihatkan agar segera membawanya berjumpa dengan pakar kanak-kanak dengan segera untuk mendapatkan nasihat dan ujian, sekiranya perlu.
Pengurusan Autisma
Tujuan utama dalam pengurusan kanak-kanak autisma adalah untuk mengurangkan permasalahan komunikasi dan tekanan di dalam keluarga; selain dari meningkatkan kualiti hidup dan kebolehan untuk mereka berdikari sendiri. Tiada satu rawatan yang tetap bagi autisma, kerana rawatan dilakukan berdasarkan keperluan seseorang pesakit dan kebiasaannya akan berbeza dari seorang ke seorang.
Walaupun autisma tidak dapat disembuhkan, namun dengan pembelajaran khas dan terapi yang berterusan (pertuturan dan carakerja), kanak-kanak dengan autisma dapat dibantu agar mampu untuk berdikari menguruskan diri sendiri, bersosial dan mendapatkan skil yang akan membantu dalam pekerjaan. Terdapat beberapa laporan yang mengatakan kanak-kanak yang menerima bantuan dari peringkat awal dapat mengurangkan simptom dan kelakuan tidak normal.
Beberapa pendekatan yang boleh digunapakai termasuklah:
- Analisis perlakuan
- Pengajaran berstruktur
- Terapi bahasa dan pertuturan
- Terapi skil sosial, dan;
- Terapi carakerja
Terdapat beberapa laporan yang mengatakan kanak-kanak yang menerima bantuan bagi terapi perlakuan sejak dari awal lagi, dengan kekerapan 20-40 jam seminggu selama beberapa tahun; adalah berkesan untuk mengurangkan simptom yang dialami mereka yang mempunyai autisma.
Autisma: Masa depan
Walaupun masih belum menemui kaedah atau ubat yang mampu menyembuhkan autisma, namun dengan latihan pertuturan, kognitif dan kelakuan, kanak-kanak yang mengalami autisma boleh dibantu untuk mendapatkan skil penjagaan diri, sosial dan pertuturan. Pengesanan dan intervensi awal boleh membawa perubahan kepada kanak-kanak autisma.
Bertindak segera. Ia mampu membawa perubahan kepada kanak-kanak autisma.