Perasaan gementar di kalangan ibu yang pertama kali bersalin adalah suatu perkara yang biasa. Tambahan pula ia adalah pengalaman pertama.
Ingat, pengalaman setiap individu adalah berbeza antara satu sama lain. Jadikan pengalaman mereka sebagai panduan dan persediaan sebelum melalui proses kelahiran.
Dengan mengetahui sedikit sebanyak tentang pengalaman dalam bilik bersalin, dapatlah anda menjangkakan dan membuat persediaan mental dan fizikal.
Bagi anda yang bakal dan cuba bersalin secara normal, berikut adalah antara perkara yang boleh anda jangkakan bakal berlaku semasa di bilik bersalin.
Jangan ingat sebaik sahaja merasai kontraksi dan bergegas ke hospital, anda akan terus dimasukkan ke dalam bilik bersalin.
Tidak. Bukan begitu. Anda akan diperiksa terlebih dahulu. Salah satu rutinnya ialah pemerikaan bukaan serviks. Untuk itu, doktor akan memasukkan jari ke dalam faraj dan mengira luas bukaan serviks ketika itu.
Selepas dimasukkan ke bilik bersalin, jururawat akan memberikan ubat pelawas supaya anda membuang air besar.
Sekiranya boleh, jangan minum terlalu banyak air sebelum ke bilik bersalin. Selain itu, pastikan anda sudahpun mencukur bulu kemaluan. Hal ini dapat memudahkan proses jahitan sekiranya anda perlu melahirkan anak secara pembedahan atau menjalani episiotomi.
Bilik bersalin biasanya sejuk. Ada segelintir ibu bersalin tiba-tiba boleh mengalami peningkatan suhu badan dan demam lantaran tidak dapat menahan kesejukan.
Sesetengah hospital membenarkan suami masuk untuk menemani anda. Jika tidak dibenarkan, anda akan berada di dalam bilik bersalin bersama jururawat sehingga bayi betul-betul bersedia untuk keluar.
Dalam fasa aktif, kontraksi yang dialami semakin kerap dan sakit. Jija ada keperluan, doktor akan menawarkan pengambilan ubat tahan sakit seperti gas entonoks, suntikan pethidine atau epidural.
Namun, ramai yang mengaku bahawa ubat tahan sakit ini amat membantu dalam mengurangkan kesakitan yang dialami.
Jika anda berjaya melahirkan secara normal, bayi anda akan keluar apabila diteran. Sekiranya anda mengambil masa terlalu lama atau laluan terlalu sempit, doktor akan membuat potongan episiotomi.
Jika masih tidak berjaya, doktor mungkin akan menggunakan peralatan seperti vakum dan forsep.
Setelah berjaya dikeluarkan, bayi yang baru lahir akan ditunjukkan kepada anda terlebih dahulu untuk pengesahan jantina. Kemudian, hidung dan matanya dibersihkan sebelum diserahkan kepada anda untuk sesi sentuhan kulit ke kulit.
Namun, hal ini hanya akan berlaku sekiranya bayi dan proses kelahiran tiada apa-apa komplikasi.
Sesi ini amat penting untuk anda dan bayi. Ia dipercayai dapat menstabilkan suhu badan bayi. Inilah juga masanya untuk anda menyusukan bayi untuk kali pertama.
Selepas itu, bayi akan dibawa semula ke nurseri untuk dimandikan dan diazankan oleh suami anda.
Selepas bayi selamat dikeluarkan, proses seterusnya ialah mengeluarkan uri daripada dalam rahim. Biasanya jarak masa melahirkan bayi dan mengeluarkan uri tidak lama. Sekitar 5 hingga 30 minit.
Jika melalui proses episiotomi, luka akan dijahit semula sebaik sahaja uri dikeluarkan. Walaupun sakit, namun tahap kesakitannya tidak teruk. Ramai ibu menyatakan boleh bertahan dengan kesakitan jahitan perineum kerana sakit kontraksi lebih menyakitkan.
Selepas proses ini, anda akan dipantau seketika bagi memastikan rahim mengecut dan tidak berlaku pendarahan. Selepas semuanya selesai, anda akan dibawa ke wad untuk berehat.