Kelahiran yang dibantu lazimnya melibatkan penggunaan forsep atau ventouse atau lebih dikenali sebagai vakum. Kedua-duanya merupakan alat yang dilekatkan kepada kepala bayi supaya dia boleh ditarik keluar.
Proses kelahiran yang memakan lebih masa daripada yang dijangkakan perlu disegerakan untuk mengelakkan komplikasi yang tidak diingini.
Forsep digambarkan seperti senduk salad atau penyepit gula kiub yang besar. Hakikatnya, ia terdiri daripada besi tahan karat dengan dua bahagian yang bersilang. Bahagian hujungnya melengkung bagi membolehkan ia “memeluk” kepala bayi.
Ventouse pula mempunyai mangkuk yang bersambung kepada pam vakum kecil dan mempunyai pemegang yang boleh ditarik. Mangkuk ini akan diletakkan di atas kepala bayi. Dalam pada itu, perlu anda tahu bahawa terdapat beberapa jenis mangkuk ventouse. Anda perlu tahu jenis-jenis mangkuk ini kerana penggunaannya akan dipengaruhi oleh posisi bayi ketika ia hendak digunakan.
Salah satunya ialah mangkuk plastik lembut. Ia dikatakan kurang menyebabkan sebarang kecederaan kepada kepala bayi, tetapi lebih berisiko untuk mudah terlucut. Antara lain ialah mangkuk plastik separuh tegar yang lazimnya didapati paling berkesan. Satu lagi ialah mangkuk logam yang tidak akan terlucut tetapi mempunyai potensi paling besar menyebabkan trauma ke atas kepala bayi.
Tentu anda mahu tahu, apakah keadaan yang menyebabkan proses kelahiran bayi anda dibantu bukan? Jangan khuatir, kerana dalam keadaan sebegitu, doktor akan berbincang dengan anda terlebih dahulu tentang penggunaan alat bantuan kelahiran yang bersesuaian. Hal ini bergantung kepada keadaan seperti:
Biarpun dalam keadaan yang semakin mendesak demi menyelamatkan bayi, ada ketikanya ada doktor akan menerangkan kepada anda mengapa dia berpendapat kelahiran menggunakan bantuan forsep perlu dijalankan. Apa-apa pun, ia bergantung pada keadaan semasa.
Doktor akan memastikan bahawa bayi berada dalam kedudukan yang baik untuk membolehkan forsep digunakan. Anda perlu meletakkan kaki ke dalam penyandar di tepi katil (posisi litotomi) dan bahagian hujung katil itu akan ditanggalkan.
Tiub kecil yang diberi nama kateter yang terikat pada satu beg akan dimasukkan ke dalam pundi kencing untuk membolehkan anda mengosongkan isinya. Sementara itu, kaki anda akan ditutup dengan cadar yang steril.
Anda akan diberi ubat bagi melegakan kesakitan. Ia mungkin bius setempat di dalam faraj, epidural atau bius spinal.
Kemudiannya, doktor perlu melakukan episiotomi bagi melebarkan pembukaan serviks supaya forsep boleh diletakkan di keliling kepala bayi. Setelah forsep dipasang dan kontraksi mula datang, doktor akan menarik kepala bayi sambil anda meneran bagi membantu bayi bergerak turun melalui saluran kelahiran agar selamat dilahirkan.
Ramai wanita mengadu tidak selesa dengan kelahiran forsep berbanding ventouse. Namun yang demikian, kadar kejayaan forsep adalah lebih tinggi berbanding ventouse.
Kebanyakan doktor lebih cenderung untuk menggunakan ventouse untuk proses kelahiran menggunakan alat bantuan. Hal ini kerana, anda kurang mengalami kesakitan semasa dan selepas melahirkan berbanding penggunaan forsep. Kemungkinan anda memerlukan episiotomi juga kurang. Sama juga halnya dengan risiko sebarang koyakan pada perineum.
Mangkuk ventouse akan diletakkan di bahagian atas kepala bayi. Jadi, ia tidak memerlukan ruang yang banyak. Doktor kemudiannya akan menyedut udara keluar dari mangkuk vakum itu dengan menggunakan pam vakum yang digerakkan oleh kaki atau pam tangan. Bunyinya agak bising tetapi tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan.
Apabila mangkuk itu sudah dipasang dengan kemas, doktor akan menyuruh anda meneran setelah kontraksi berlaku dan dia akan menarik mangkuk itu untuk membantu bayi keluar.
Ada kalanya mangkuk itu terlucut daripada kepala bayi. Terutamanya jika bayi bersaiz besar atau berada dalam posisi di mana mangkuk itu tidak boleh dipasang dengan kemas. Oleh itu, ia perlu dipasangkan semula.
Jika bayi berada dalam posisi yang membuatkan kelahiran lebih sukar, maka ventouse yang diperbuat daripada mangkuk logam atau mangkuk plastik separuh tegar akan digunakan. Hal ini kerana ventouse jenis ini lebih sukar untuk mudah terlucut.