Apakah Ujian Apgar Pada Bayi Baru Lahir? Skor Apgar Kurang Dari 5, Bayi Memerlukan Bantuan Pernafasan!

Share

Ujian Apgar ialah ujian yang dilakukan bagi menentukan sama ada bayi baru lahir memerlukan bantuan perubatan seperti pernafasan selepas dilahirkan. 5 perkara ini mama papa perlu tahu.

Selepas dilahirkan keadaan bayi anda amat kecil dan seluruh tubuhnya diselaputi oleh bahan berminyak putih yang dikenali sebagai verniks. Sebaik dilahirkan dan disambut, bayi akan diperiksa oleh pakar pediatrik. Ujian yang dilakukan dikenali sebagai Apgar.

Terdapat beberapa kriteria akan diperiksa seperti tindak balas, aktiviti otot (tone muscle), pernafasan, degupan jantung dan warna kulit akan diperiksa.

 

Menurut Pakar Pediatrik Avisena Specialist Hospital,  Dr Roliza Ibrahim, ujian Apgar dilakukan di peringkat awal untuk mengetahui sama ada bayi memerlukan pemeriksaan lanjut atau tidak. Dalam ujian Apgar, doctor akan membuat skor semasa melakukan pemeriksaan. Skor paling tinggi adalah 10 untuk lima jenis pemeriksaan.

SKOR APGAR KURANG 5 BAYI PERLU BANTUAN PERNAFASAN

Ujian Apgar akan menentukan sama ada bayi memerlukan rawatan oksigen atau bantuan pernafasan pada masa itu. Jika skor Apgar kurang daripada 5, mungkin bayi perlu diberi oksigen, bantuan pernafasan atau CPR. Jika skor lebih daripada 5, doktor hanya akan mengesat dan membersihkan bayi.

Bila skor rendah ia tidak semestinya menunjukkan bayi sakit. Ini kerana ada sesetengah ibu yang telah diberi ubat pelali beberapa jam sebelum bersalin. Jadi bayi akan sedikit sebayak terpengaruh daripada kesan ubat tersebut.

 

Doktor akan memberi ubat pada bayi, dan selepas itu dia akan menangis menandakan keadaannya tiada masalah.

Bayi yang lahir pramatang akan dijangkakan mendapat skor Apgar yang tidak tinggi.

“Bila buat ujian Apgar ia hanya memberi panduan sama ada perlukan tindakan ketika itu atau tidak tetapi tidak semestinya bayi itu tidak sihat dan akan menghadapi masalah kesihatan. Tetapi jika skor apgar terlalu rendah, doktor boleh agak sama adabayi boleh terus hidup atau tidak,” kata Dr Roliza.

#1. Warna kulit

Jika berwarna biru atau pucat, skor yang diperoleh 0. Jika biru di hujung kaki tangan tetapi badan berwarna merah jambu, skor adalah 1 dan jika keseluruhan badan berwarna merah jambu maka skornya adalah 2.

 

#2. Degupan jantung

Jika tiada degupan semasa skor Apgar dilakukan, doktor akan pegang pada tali pusat untuk periksa degupan, jika masih tiada maka skornya adalah 0. Sekiranya degupan perlahan iaitu kurang daripada 100 per minit, skor ialah 1 dan jika degupan jantung lebih daripada 100 per minit, skor ialah 2.

#3. Kadar pernafasan

Jika bayi keluar tidak bernafas, skor ialah 0. Ada bernafas tetapi perlahan, skornya 1 dan jika bayi terus menangis dan bernafas elok maka skornya 2.

#4. Tone muscle

Jika lembik, skornya 0. Sekiranya ada gerakan di hujung kaki tetapi badannya lembik, skor adalah 1. Jika keluar bayi menangis, kaki dan tangan bergerak aktif maka skor ialah 2.

 

#5. Tindak balas terhadap tiub

Bayi baru lahir dipenuhi air, jadi doktor akan menyedut hidung dan mulut menggunakan tiub suction. Jika bayi diam semasa disedut, skornya 0. Jika bayi menunjukkan mimik muka maka skornya 1. Jika semasa disedut, bayi batuk atau bersin maka skornya 2.

Jika jumlah skor Apgar keseluruhan bayi tiada masalah maka dia tidak memerlukan rawatan selanjutnya.

Artikel berkaitan: Mustahaknya Berat Badan Sebagai Petunjuk Kesihatan Bayi. Mama Papa Jangan Pandang Remeh!


Selain itu, jom mama papa kita belajar untuk membedung bayi dengan langkah dalam video di bawah ini.

Published by
Azma ML