Aqeel Blind Autisme Tapi Mampu Hafal Yasin Seawal Tiga Tahun. Kisahnya Boleh Jadi Inspirasi

Share

Ibu bapa kepada anak yang istimewa, Ahmad Aqeel, 5 tahun iaitu Nur Izzah Mohamad Kamil dan Faiz Mohammad Noor Kamaruzaman, sama-sama berumur 34 tahun pasti dapat menjadi inspirasi buat ibu bapa yang lain.

Hal ini berikutan ketabahan mereka berdua membesarkan Aqeel yang lahir dengan masalah penglihatan. Selain daripada itu, dia juga disahkan sebagai kanak-kanak autisme.

“Aqeel merupakan anak kedua. Ketika di dalam kandungan, doktor tidak dapat mengesan sesuatu yang tidak kena. Sehinggalah waktu dilahirkan, doktor memberitahu, Aqeel tidak membuka mata.

Kemudian kami membawanya berjumpa dengan pakar dan didapati mata kanan Aqeel tiada bebola mata. Ia kosong. Manakala, mata sebelah kiri pula berwarna putih, ada masalah berkaitan dengan saraf. Oleh sebab itu, Aqeel disahkan buta kedua belah mata.” ujar Nur Izzah yang menyatakan anak sulung, Ahmad Abqari, 8 tahun dan anak ketiga, Aisyah Azzahra, setahun dilahirkan normal.

Sokongan Keluarga Dan Semangat Positif

Pada mulanya Nur Izzah mengakui, sukar menerima ketentuan Allah SWT. “Tipulah jika saya dan suami tak sedih dengan apa yang terjadi pada Aqeel. Tapi, kami cepat-cepat buang perasaan negatif yang melanda dan gantikan dengan perasaan positif. Kami reda dengan anugerah ini. Syukur, saya dan suami mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan terdekat. Mereka banyak memberikan kekuatan kepada kami untuk menerima takdir Allah.” luah Nur Izzah lagi.

Tambah bapa Aqeel, Faiz “Turning point kami berlaku selepas berjumpa dengan seorang kaunselor yang kini merupakan pegawai khas kepada Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Encik Mohd Hafiz Halim yang juga merupakan insan kurang upaya penglihatan. Dia jemput saya dan isteri ke rumahnya dan melihat sendiri kehidupannya.

Ternyata ia membuka mata dan minda saya, bahawa anak saya itu mampu hidup normal seperti orang lain. Contohnya di hadapan mata. Encik Hafiz juga memiliki isteri yang sama sepertinya. Namun, mereka berdua mampu menjaga empat orang anak mereka yang dilahirkan normal dengan baik sekali.”

Tidak sekadar kurang upaya penglihatan, Aqeel juga disahkan mengalami austisme. “Ketika berumur enam bulan, saya kesan seperti ada yang tak kena pada Aqeel yang memiliki emosi berlebihan. Masa umurnya setahun, dia suka mengamuk dan menghantukkan kepala. Kami rujuk kepada pakar psikologi di Kajang dan ujian yang dijalankan mendapati Aqeel mengalami mild austisme. Ternyata ini merupakan cabaran yang lebih besar untuk kami. Apa-apa pun, kami tetap cuba untuk kekal positif.” sambung Nur Izzah

Didik Dengan Al-Quran

Biarpun dilahirkan dengan kekurangan daripada segi pancaindera, namun Aqeel seorang anak yang bijak. Pada usia tiga tahun, dia sudah boleh menghafal surah Yasin.

“Pada suatu hati, ketika saya sedang membaca Yasin, Aqeel secara tiba-tiba menyambung ayat yang saya baca sehingga habis surah tersebut. Selain daripada Yasin, Aqeel juga sudah mampu membaca banyak surah yang lain. Walau pun dia masih belum dapat bercakap sepenuhnya, tapi dia sering melafazkan ayat-ayat al-Quran. Orang akan ingat dia bercakap bahasa Arab, padahal dia melafazkan ayat-ayat al-Quran.

“Sebenarnya sejak bayi sehingga sekarang, kami sering pasangkan alunan ayat al-Quran untuk Aqeel. Tidak kira di rumah mahupun ketika di dalam kenderaan. Dahulu, Aqeel sukar hendak membezakan waktu malam dan siang. Jadi dia tidak tidur pada waktu malam. Sebab itu, kami pasangkan ayat suci al-Quran sepanjang malam dan dia akan mendengarnya. Mungkin daripada situ dia dapat menghafal ayat-ayat tersebut.

Remaja cacat penglihatan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, yang pernah dinobatkan sebagai Johan Qari Tilawah Al-Quran peringkat negeri Kelantan 2017 menjadi inspirasi kami sekeluarga. Kami sanggup ke Kelantan, berjumpa sendiri dengan ibu bapa Muhammad Qayyim untuk bertanya bagaimana mereka mampu mendidiknya menghafal al-Quran. Rupa-rupanya caranya ialah dengan memainkan semula perakam suara dan dia akan hafal. Konsep yang sama kami terapkan kepada Aqeel.

Kami telah mengikuti program al-Quran Braille di bawah kelolaan Universiti Saina Islam Malaysia selama setahun. Kami persiapkan diri dengan ilmu untuk membolehkan kami mendidik Aqeel tentang al-Quran.”

Usah rasa malu

“Kami akan melakukan apa saja untuk Aqeel. Memiliki anak istimewa seperti Aqeel tidak bermakna kita kena ‘simpan’ dia di rumah. Kami tak pernah rasa malu nak bawa dia ke mana-mana. Aqeel suka berenang dan dia akan tenang apabila berada di dalam air.

Kami juga menghantar Aqeel ke PDK di Brickfield supaya dia boleh belajar menguruskan diri dan kami mula nampak perubahan positifnya. Abang sulung Aqeel juga sangat menyayangi adiknya ini. Tidak pernah marah walau sekali pun. Mungkin kerana sejak dia kecil kami sudah beritahu keadaan diri Aqeel. Kadang kala, dia bawa Aqeel ke taman permainan dan memperkenalkan Aqeel kepada rakan-rakannya.” kongsi Nur Izzah tentang anak sulungnya.

Bagi Nur Izzah dan Faiz Mohammad Noor, mereka tidak pernah menganggap Aqeel membebankan mereka bahkan satu anugerah dan membawa rezeki untuk mereka. “Kehadiran Aqeel membuatkan kami reda dan lebih dekat dengan Allah SWT. Kepada ibu bapa yang memiliki anak istimewa seperti kami, berusahalah untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak kita. Yang penting, jangan pernah rasa malu dan sedih di atas kurniaan Allah itu. Berdampinglah dengan rakan-rakan yang dapat memberikan sokongan kepada kita.” akhiri Faiz Mohammad Noor.

Kredit: Nurul Azwa, Mingguan Wanita

Published by
Intan Jastina