Lapan tahun tinggal di kandang lembu dianggap selesa buat lima beranak ini. Kita seolah-olah tak percaya tapi realitinya inilah tempat berlindung bagi pasangan suami isteri dan tiga anaknya.
Sejak rumah asal terbakar, kandang tersebut merupakan tempat untuk mereka menginap dan berteduh. Bersimpati dengan nasib keluarga tersebut, penceramah terkenal iaitu Ebit Lew telah berjumpa dengan keluarga terbabit untuk menyelami isi hati dan tampil memberikan bantuan.
Rumah panas, sempit tapi sangat kemas
Menerusi perkongsian Ebit Lew di Facebooknya beliau terkejut melihat ketabahan lima beranak ini tinggal dalam kandang lembu yang sempit.
Beliau juga turut memuji walaupun tempat berteduh lima beranak ini sempit tetapi sangat kemas.
Terkejut tengok 8 tahun tinggal di kandang lembu. Dibersihkan dijadikan tempat tinggal. Tak sangka ada orang tinggal tempat macam kandang atau reban. Ya Allah. Rumah dekat dengan Pantai Cahaya bulan Kota Bharu.
Rumah dulu terbakar. Panas rumah ini. Sempit tapi bersih kemas. Masuk kena tunduk. Rendah sangat. Pasangan suami isteri bersama anak masih kecil. Abang ni buat beberapa jenis kerja.
Anak lelaki 12 tahun dah berdikari
Tadi dah petang. Anak lelaki sulung 12 tahun tolong-tolong jaga kedai orang. Dapat upah rm10 sehari katanya. Sampai petang ini happy keluarga ini. Di sebalik wajah mereka betapa kasihan anak ini.
Rumah ini buat hati ni sayu. Duhai hati betapa berbeza hidup mereka dengan kita. Doakan saya ingin bawa keluarga ini pindah dan mulakan hidup baru demi anak-anak insyaAllah.
Menurut Ebit, lima beranak ini berasal dari Kampung Kuala Besar, Kota Bharu, Kelantan. Mereka terpaksa menjadikan kandang lembu sebagai tempat untuk berteduh selepas rumah yang didiami sejak lapan tahun sebelum ini terbakar. Lebih menyedihkan, kandang lembu tersebut mempunyai ruang yang terlalu sempit sehingga mereka terpaksa menundukkan kepala setiap kali masuk ke dalam pondok berkenaan.
Bawa pindah rumah baru
Masa terbaca orang tinggal di kandang lembu dekat akhbar di Kota Bharu. Saya terbaca rasa sebak. Terus niat nak ke sana. Syukur. Alhamdulillah hari ini kami dapat pindahkan keluarga ini ke rumah 2 tingkat cantik sangat di Tumpat.
Saya dah bayar deposit. Dan akan bayar bulan-bulan InsyaAllah. Saya belikan untuk mereka dan anak-anak. Peti ais,mesin basuh, rice cooker, kipas dll. Beri sedikit duit belanja. Semoga menjadi asbab kebaikan.
Atas keprihatinan dan semangat ingin membantu, akhirnya keluarga ini berjaya dipindahkan ke rumah dua tingkat yang luas dan lebih selesa untuk ahli keluarga berkenaan.
Rumah tersebut terletak di Tumpat. Pada masa yang sama, beliau turut menyediakan kelengkapan rumah dan memberi duit belanja buat keluarga itu.
Sumber: Ebit Lew