Taman permainan merupakan satu keseronokan untuk kanak-kanak tapi bukan kepada ibu bapa kerana menurut mereka taman permainan boleh mengundang bahaya. Penting untuk ibu bapa memastikan peralatan dan permukaan yang tidak sesuai serta perlakuan cuai yang boleh mengundang bahaya kepada kanak-kanak.
Anda perlu memastikan anak anda menikmati masa mereka sepanjang berada di taman permainan di samping mengelakkan mereka daripada kecederaan dengan mengamalkan cara-cara ini:
Memantau anak anda menggunakan peralatan taman permainan
Cara paling selamat untuk memastikan keselamatan anak anda adalah memantau ketika mereka bermain. Ini tidak susah kerana mereka sentiasa akan memanggil anda untuk melihat mereka bermain. Anda perlu memastikan tiada peralatan yang berkarat atau rosak sebelum anak anda bermain serta memastikan tiada objek bahaya seperti kaca atau permukaan yang tidak rata.
Ajar anak anda untuk berjaga-jaga
Sebelum membiarkan anak anda memasuki taman permainan, buka semua rantai atau gelang yang dipakai oleh mereka untuk mengelakkannya tersangkut pada apa-apa peralatan. Jika terdapat golongan umur kanak-kanak yang pelbagai, ajar anak anda untuk bermain di kalangan kanak-kanak seusia mereka. Ajar anak anda bahawa menolak, menarik, bersesak-sesak di taman permainan boleh mengundang bahaya.
Ads
Pilih kawasan bermain berdasarkan umur anak anda
Pastikan anak anda menggunakan peralatan yang sesuai dengan umurnya. Kawasan khas untuk kanak-kanak berumur di bawah 5 tahun seharusnya diwujudkan dan dibaikpulih.
Untuk bayi yang baharu belajar berjalan, kawasan permainan haruslah mempunyai kawasan dan permukaan yang sesuai dan lembut untuk memudahkan mereka.
Jika bayi anda sudah boleh mengawal tindak-tanduk mereka dan boleh duduk dengan sokongan (biasanya berumur sekitar 9 bulan), boleh cuba menggunakan buaian yang mempunyai sokongan yang selamat.
Pastikan permukaan dan kawasan permainan tersebut selamat
Elakkan taman permainan yang mempunyai tapak permukaan yang keras seperti konkrit, rumput, berbatu atau bertar.
Sebaliknya gunakan taman permainan yang mempunyai tapak permukaan seperti pasir dan getah. Tikar getah, rumput tiruan dan apa-apa material artifisial juga merupakan tapak permukaan yang selamat dan tidak memerlukan penyelenggaraan yang kerap.
Pastikan taman permainan tersebut diperiksa dan diselenggara oleh pihak berwajib
Pastikan dengan pihak sekolah atau pusat penjagaan untuk memastikan mereka mempunyai taman permainan yang sesuai mengikut umur kanak-kanak dan mempunyai penyelenggaraan yang baik.
Jika terdapat apa-apa bahaya di kawasan taman permainan, laporkan segera kepada mereka dan halang anak anda menggunakan taman permainan tersebut sehingga diselenggara.
Laporkan apa-apa bahaya kepada organisasi bertanggungjawab untuk taman permainan tersebut (contohnya sekolah, rukun tetangga atau majlis bandar raya).
Khusus bagi semua ibu. Nak sentiasa sihat, ceria, semangat, kuat, positif, dan bahagia, sebelum tidur mesti amalkan zikir Fatimah setiap hari.
Menerusi perkongsian dari Ustazah Asma’ Harun, zikir ini sebenarnya lebih baik dari seorang pembantu, yang mana ia akan meringankan tugasan kita sebagai ibu. Boleh buatkan kita lebih kuat dan sentiasa dipermudahkan urusan walaupun dalam keadaan kita rasa susah.
Nabi juga berpesan bacalah sebelum tidur Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali,Allahuakbar 33 kali. Masya-Allah besar ganjarannya buat diri kita.
Bila kita selalu buat dan amalkan sebelum tidur, anak-anak yang mendengarnya pun rasa seronok. Boleh buat sekali dengan anak-anak dan pasangan kita. Selepas itu salam dan masuklah tidur seperti biasa.
Amalkan surah Al-Mulk
Sebagai ibu bapa, dunia hari ini banyak cabarannya. Anda sebaiknya mengamalkan surah Al-Mulk. Boleh dibaca lepas waktu solat Maghrib atau Isyak.
Lagi satu sebelum nak tidur pun boleh baca surah 3 Qul, ayat kursi dan baca zikir Fatimah. Macam biasa jangan lupa untuk salam dan minta maaf seisi keluarga. Suami dan isteri minta maaf, ibu anak minta maaf, ayah anak minta maaf. Susuli dengan peluk cium di dahi kemudian tidur.
Kalau kita sentiasa bersiap sedia setiap malam seperti ini, ia dianggap kita dah bersedia untuk mati tidur (mati sementara) sebelum jumpa mati yang sebenar.
Kita buat persiapan ini, insya-Allah bila menghadapi mati yang sebenar kita akan lebih buat persiapan.
Biasanya kita dengar orang yang nak meninggal dia macam tahu nak meninggal, siap minta maaf, bayar hutang dan bagi wasiat. Tak lama lepas tu Allah jemputnya. Ini contoh orang yang setiap malam sebelum tidur dia buat persiapan itu.
Insya-Allah kalau kita amalkan ini setiap hari walaupun 5 minit, automatik rahmat Allah turun, ”penyakit” dalam rumah tangga kita keluar. Binatang berbisa, gangguan jin atau iblis semua akan keluar.
Biasakan baca surah Ar-Rahman untuk anak-anak
Ibu sekalian, selain amalkan zikir Fatimah, ibu dan suami boleh baca surah al-Mulk. Panggillah anak sekejap, letak tangan atas kepala baca lah surah Ar Rahman ayat 1-4.
Wajib baca! Kalau malas atau nak cepat sekalipun bacalah sekurangnya sekali sehari. Boleh buat masa anak nak pergi sekolah atau ketika waktu berehat dengan anak-anak.
Tak kisah anak yang kecil atau dah besar, mesti buat untuk mereka. Kesannya tengoklah dalam masa seminggu atau dua minggu nampk perubahan anak. Mereka akan jadi anak yang cinta al-Quran dengan sendirinya dan mudah-mudahan elok akhlaknya.
Sumber: Ustazah Asma’ Harun
Kredit Gambar: google
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hubungan suami isteri bukanlah hubungan peringkat atasan dan bawahan, juga bukan seperti hubungan pemerintah dengan rakyatnya. Kehidupan suami isteri mesti diliputi rasa cinta dan kasih sayang. Pergaulan di antara keduanya adalah pergaulan persahabatan. Keduanya akan saling memberikan kedamaian dan ketenteraman.
Allah SWT menjelaskan bahawa peruntukan asas dalam sebuah perkahwinan adalah kedamaian dan dasar dari kehidupan suami isteri adalah ketenteraman (TMQ ar-Rum [30]: 21).
Supaya ketenteraman, kecintaan, kasih sayang dan kedamaian itu wujud dalam kehidupan suami isteri, Allah SWT pun telah menetapkan aturan yang perlu dipenuhi, iaitu berupa pemberian hak dan kewajipan yang perlu dijalankan oleh pasangan masing-masing.
Namun dalam praktikalnya, ketenangan dan kedamaian tidaklah mudah untuk diraih. Tidak sedikit perkahwinan mengalami konflik dan permasalahan yang boleh mengancam keharmonian rumahtangga, bahkan tidak jarang yang berakhir dengan perpisahan dan perceraian. Salah satu yang mencetuskan munculnya badai ini adalah buruknya komunikasi di antara suami isteri.
Romantik Dalam Pernikahan
Kehidupan rumahtangga tidak seindah bayangan dan tidak semulus harapan. Kadang masalah muncul silih berganti kerana perbezaan visi dan misi keluarga, tidak sepadan watak di antara pasangan, campur tangan pihak keluarga, masalah anak, kesulitan ekonomi, dan lain-lain. Bahkan pengaturan aktiviti dakwah pun boleh dianggap sebagai masalah.
Seharusnya sebanyak dan sesulit apapun masalah yang dihadapi tidak akan menjadi beban yang memberatkan apalagi membawa kepada perpecahan keluarga. Syaratnya, suami isteri mampu mendudukkan persoalan secara berkadaran sesuai dengan tuntutan syariah, boleh menyatukan pandangan atas semua permasalahan tersebut, serta mempunyai komitmen yang sama dalam penyelesaiannya. Sebaliknya, jika mereka tetap berkeras pada kehendak dan pendapat masing-masing yang didorong oleh penguasaan emosi dan mementingkan diri, maka permasalahan remeh pun akan berubah menjadi badai yang boleh memporak perandakan bangunan rumahtangga. Pada titik inilah pentingnya dibina komunikasi yang harmoni dan berkesan di antara suami isteri. Komunikasi ini akan mampu menyatukan dua hati yang berbeza, mencari titik temu pendapat yang tidak sama dan melahirkan komitmen untuk sama-sama menyelesaikan masalah demi mempertahankan keutuhan rumahtangga dalam suasana sakinah, mawaddah dan rahmah.
Komunikasi Berkesan
Dalam teori komunikasi terdapat beberapa ciri yang boleh menentukan komunikasi berkesan iaitu:
1) Hormat. Sikap, tatapan, intonasi, sapaan serta kalimat yang digunakan suami/isteri ketika berkomunikasi dengan pasangannya perlu menunjukkan rasa hormat, tidak mengganggu apalagi menjatuhkan.
2) Empati. Kemampuan suami/isteri untuk meletakkan diri pada situasi atau keadaan yang dihadapi oleh pasangan sehingga keduanya akan memahami apa yang sedang dirasakan pasangannya. Tidak menunjukkan rasa gembira ketika pasangan sedang kesal atau bersedih. Tidak menghukum kesalahan yang dilakukan kerana masih belum jelas.
3) Mendengar. Komunikasi suami/isteri dapat didengar atau difahami dengan baik oleh pasangannya. Hal ini penting diperhatikan kekerapan suara dan jarak di antara keduanya (berbicara dengan menatap muka); tidak saling menjerit, memberi tumpuan dalam perbincangan; tidak mengajak bicara serius apabila pasangan sedang sibuk dengan urusan lain yang tidak mungkin ditinggalkan.
4) Clarity. Keterbukaan dan ketelusan. Suami isteri perlu menjauhkan syak wasangka terhadap pasangan.
5) Humble. Rendah hati. Suami isteri tidak bersikap angkuh kepada pasangan.
Penghambat Kejayaan Komunikasi
Berikut adalah beberapa faktor penghalang yang sering berlaku dalam komunikasi suami isteri:
1) Suami/isteri menyalahkan pasangan (blaming partner). Tidak menunjukkan kesalahannya secara khusus. Akhirnya, pasangan akan tetap menganggap dirinya benar dan tidak menyedari kesalahan yang telah dia lakukan. Salah satu contoh adalah tuduhan bahawa suami/isteri telah melanggar undang-undang syariah kerana telah mengabaikan kewajipannya, namun tidak disertai penjelasan atas kesalahannya.
2) Saling menyalahkan dan sentiasa mencari-cari kesalahan pasangan. Biasanya diawali dengan persepsi bahawa pasangannya salah, padahal boleh jadi kemungkinan dia benar. Oleh kerana gaya saling menyalahkan ini, komunikasi tidak akan mampu mengungkap kebenaran. Hal ini terjadi sebaliknya, mereka akan terus bertelingkah serta menganggap pasangannya keras kepala dan tidak boleh dinasihati.
3) Meluat terhadap kritikan atau nasihat yang disampaikan oleh pasangan. Perkataan apapun yang disampaikan oleh pasangan akan diterima sebagai cacian yang menyakitkan. Mereka sukar menyedari kesalahan bahkan yang sering terjadi mereka mudah tersinggung.
4) Qiyasy-syumuly. Menganggap salah semua yang dilakukan/dikatakan pasangan, padahal boleh jadi kesalahan yang dilakukan hanya satu/beberapa kali sahaja.
5) Tidak mencari akar masalah. Ketika komunikasi harmoni tidak terjalin di antara suami-isteri, sering keduanya mengelakkan komunikasi yang berterusan. Demi menamatkan perdebatan, sering muncul pengakuan palsu, “Ya, saya yang salah.” Kenyataan ini bukanlah pengakuan sebenarnya. Jauh di lubuk hati yang paling dalam dia tetap tidak menerima perlakuan pasangannya dan cenderung menyalahkannya. Disangkakannya dapat menyelesaikan permasalahan, namun yang terjadi boleh menyebabkan makin terkumpul masalah dan mendatangkan sengketa yang lebih besar.
6) Jangkauan pendek, tidak ke masa hadapan. Perbezaan watak suami isteri sangat memerlukan kesabaran untuk mempertemukannya. Kesalahan yang dilakukan pasangan sekarang insya Allah di masa hadapan akan boleh diperbaiki dengan usaha yang sungguh-sungguh dan disertai kesabaran.
Panduan Komunikasi Berkesan Suami Isteri:
1) Tanamkan dalam hati bahawa suami/isteri adalah sebahagian daripada kita; bukan orang lain, bukan saingan, apatah lagi musuh yang mengancam. Dengan pemahaman ini maka kita akan sentiasa menerima input, kritikan dan nasihat pasangan sebagai sesuatu yang baik untuk keutuhan keluarga.
2) Mengutamakan undang-undang syariah, bukan keinginan dan kepentingan peribadi. Ketundukan terhadap undang-undang syariah akan meringankan kita untuk menerima kebenaran yang disampaikan suami/isteri sekalipun bertentangan dengan keinginan kita.
3) Berupaya melayan suami/isteri dengan makruf. Bagi suami terdapat hadis Rasulullah SAW,
“Orang yang paling baik di antara kalian adalah yang paling baik kepada keluarganya. Aku adalah orang yang paling baik kepada keluargaku” [HR Tirmidzi dan Ibn Majah].
“Andai aku boleh memerintahkan seseorang bersujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku akan memerintahkan wanita sujud kepada suaminya” [HR Tirmidzi].
Dorongan meraih darjat terbaik di sisi Allah SWT akan membantu suami/isteri melayan pasangannya dengan sebaik-baiknya. “Service Excelent” menjadi cita-citanya. Hal ini akan menyebabkan seorang isteri akan berupaya keras taat kepada suaminya dan memasukkan kebahagiaan ke dalam hati suaminya meskipun perlu mengorbankan masa rehat/santai atau kesenangannya sendiri. Sebaliknya, seorang suami akan menjadi orang yang paling lembut, paling memberi perhatian dan paling bertanggungjawab di hadapan isteri dan keluarganya meskipun perlu mengorbankan sebahagian keinginannya.
4) Tidak kaku dalam komunikasi. Kehidupan suami isteri adalah ketenteraman dan ketenangan serta cinta dan saling percaya. Sikap keras hati suami/isteri boleh diluluhkan dengan kelembutan. Keangkuhan mampu ditundukkan dengan ketaatan dan keikhlasan. Prasangka akan hilang dengan keterbukaan. Rasa kesal dan putus asa sirna dengan kesabaran.
5) Meletakkan suami/isteri sebagai manusia biasa yang tidak luput dari kesalahan sekalipun mereka ustaz/ustazah atau aktivis dakwah yang sentiasa mengajak orang menegakkan kebenaran. Kesedaran ini akan membantu kita menerima kesalahan yang dilakukan pasangan, namun tidak membiarkan kesalahan terus berlaku. Kesalahan dan kelalaian harus disertai dengan sikap saling menasihati. Pemahaman bahawa suami/isteri bukan manusia sempurna tanpa cela dan kecacatan akan memupuk kesabaran menghadapi kelemahan dan kekurangan pasangan (Lihat: TMQ an-Nisa [4]: 19).
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Menyentuh bab poligami, kebanyakan lelaki sama ada dalam situasi serius atau sekadar gurauan, masing-masing ada hujah tersendiri. Bukan apa ia antara isu yang paling hangat diperkatakan.
Namun bagi isteri, isu ini cukup sensitif buat mereka. Jika boleh memang tak mahu dengar walaupun selalu diperkatakan akan dapat payung emas jika izinkan suami berpoligami.
Bagi suami, jika niat poligami itu ada, fikirlah sebaiknya. Bukan mudah tanggungjawab itu kerana ia sangat berat. Sekadar cakap memang boleh, tapi nak berlaku adil ia sesuatu yang sukar jika kurang ilmu dan boleh melukakan hati pasangan.
Seperti perkongsian dari Peguam Syarie Kedah, Pulau Pinang, Perlis & Perak, Khairul Fahmi Ramli, untuk berpoligami bukan sekadar kemampuan kewangan semata-mata tetapi ada lagi beberapa faktor yang perlu diambil kira.
Poligami bukan mudah
Sekarang ni trending drama 7 Hari Mencintaiku 2 di TV3. Baru ni saya layan la online bila kelapangan sebab ramai yang menyumpah Mak Leha dan Nurul Ain sebab beria-ia nak suruh Khuzairi poligami. Saya pun tertanya, hebat betul ke Khuzairi ni? Layak ke?
Bila dah sampai episod yang paling terkini, baru la faham. Ohh rupanya Mak Leha ini yang beriya sakan nak menantukan Nurul ni. Si Nurul ni pun boleh tahan gediknya juga la nak dekat suami orang. Cumanya persoalan penting, kenapa yang Khuzairi tak tolak? Mampu ke dia tu?
Sebenarnya, memang ada situasi yang mana mertua mula tidak berkenan dengan menantu sedia ada. Berharapkan pula calon idaman untuk menjadi surihati anak lelakinya. Tengok-tengok, menantu idaman pun tidaklah sehebat mana selepas nikah.
Ramai orang akan ingat, nak poligami ni perkara paling utama adalah kemampuan Kewangan. Salah tu tuan-tuan dan puan-puan.
Di dalam Seksyen 23 (5) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah 2008, ada menyatakan tentang perkara yang perlu dinilai sebelum dibenarkan oleh Mahkamah untuk seseorang lelaki berpoligami. Antaranya :
👉🏻 Perkahwinan yang dicadangkan itu patut atau perlu
maksud yang dinyatakan di dalam perkara ini adalah sekiranya isteri sedia ada tidak mampu melahirkan anak atau uzur untuk bersetubuh atau gila.
👉🏻 Kemampuan kewangan
Lelaki tersebut mempunyai kemampuan kewangan mengikut Hukum Syarak bagi semua tanggungan sedia ada.
👉🏻 Boleh berlaku adil
Mesti mampu untuk berlaku adil dari sudut layanan dan bermalam. Setiap isteri dan tanggungan perlu dilayan dengan baik dan tidak diabaikan.
👉🏻 Tidak menyebabkan darar syarie pada isteri sedia ada
Maksudnya perkahwinan poligami ini tidak akan menjejaskan kebajikan isteri sedia ada. Bahkan mungkin dengan poligami ini akan menyebabkan isteri tersebut menderita.
Daripada alasan-alasan yang diberikan ini, jelas menunjukkan, perkara mengenai poligami ini bukan dilihat kepada satu sudut sahaja iaitu kemampuan kewangan. Ada orang yang dia mungkin mampu untuk menafkahi isteri dan anak-anak sedia ada, tapi dia mungkin sukar untuk berlaku adil.
Apa yang saya lihat berdasarkan pengalaman kes di mahkamah, orang yang benar-benar mampu berpoligami ini dengan baik adalah lelaki yang mampu menguasai dan melayani isteri sedia ada dengan baik dan mampu untuk berlaku adil.
Cuma banyak yang ada sekarang ini, hanya mampu cakap boleh tanggung kewangan dan boleh berlaku adil, tapi selepas kahwin, macam-macam isu rumah tangga yang timbul. Jika dilihat situasi Khuzairi, saya berpandangan dia tidak layak untuk berpoligami kerana ia hanya mahu ikut kehendak ibunya sahaja bukan kerana dia mampu atau Mia ada kemudaratan sebagai isteri.
Ingatlah, kalau tak mampu nak pergi masjid lima kali sehari, tak payah mimpilah nak berlaku adil poligami macam Nabi.
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.